berada dalam amal ini

Bismillah.
Salam dakwah buat semua.

Berada dalam amal dakwah ini,
banyak memberi kita permata-permata pengalaman yang begitu berharga.

Hidup bertambah pengertiannya.
Hidup bertambah manisnya.

Pengalaman-pengalaman ini terlalu mahal aku kira.
Kerana terlalu sukar untuk mendapatkannya di tempat lain.

Di mana lagi hendak mendapatkan kemanisan berukhuwwah kerana Allah jika bukan dari ‘duduk sebentar beriman sejenak’ bersama rakan-rakan usrah ?

Di mana lagi hendak mendapatkan kemanisan menghayati lembaran sirah Rasulullah S.A.W  jika bukan  dari pencerahan dan taujihat dari murabbi/ murabbiyah tersayang yang begitu menyejukkan mata kita ?

Di mana lagi hendak mendapatkan kemanisan rasa ditarbiyyah dengan tarbiyyah Islamiyyah jika bukan dari medan ini ?

Berada dalam medan amal ini,
kita akan menjadi terlalu sibuk dengannya.

Kerana tanggungjawab yang membebankan kita sudah cukup menyedarkan hati kita dari memikirkan waktu-waktu rehat dan waktu-waktu memenuhi kehendak diri sendiri.

Daie, membenarkan amalnya yang berbicara.
Dia tidak akan sesekali tergolong dalam angkatan manusia yang hanya berdakwah dengan menggunakan mulut.
Percakapan yang penuh dengan pencerahan, penuh dengan kata-kata yang menyucikan jiwa,
tapi seakan terlupa telinga dirinya sendiri juga mendengar kata-kata yang sama.

Bila seorang daie itu membenarkan amalnya yang berbicara,
seluruh manusia akan terlopong melihat sebegitu banyak hammasah yang ada pada dirinya.
Dia tidak menghiraukan lagi kata-kata manusia.

Ke mana sahaja tapak kakinya melangkah,
Dengan sesiapa sahaja dia berbual,

hanya dakwah yang dia bawa !

Sampai meremang bulu roma mereka yang melihat.
Manakan tidaknya,
kesungguhan dirinya dalam mengerjakan amal dakwah ini begitu jelas terbukti !
Setiap titik peluhnya, segala lelahnya menjadi bukti buat tatapan manusia.

Wahai manusia,
tidakkah kau berasa cemburu tatkala melihat entiti sebegini.
Begitu qawi iradahnya,
begitu tinggi tummuhatnya !
Setidak-tidaknya, mereka ini menang ke atas diri mereka sendiri !

Tetapi kau tetap berada di takuk yang sama.
Dan pada takuk ini, sebenarnya kau masih tercari-cari apa yang sebenarnya kau mahu dalam hidup.
Pada takuk ini, kau berpening-pening kepala memikirkan keresahan hidup yang tanpa sudah.

Dan akhirnya, kau akan kepenatan begitu sahaja.
Kepenatan sehingga kau lelah dan menjadi mayat hidup di atas muka bumi ini !

Seorang daie itu terus optimis terhadap dirinya sendiri.
Dia berusaha untuk mengawal apa yang boleh dikawalnya.
Apa yang tidak boleh dikawalnya, dia menyerahkan kepada Allah untuk menguruskan segalanya.

************

Amal dakwah kita ini memerlukan amal yang muntij dan berganda.
Muntij memerlukan kepada penyusunan dan pengagihan kerja yang teramat banyak.
Berganda meminta-minta segala jenis pengorbanan dari diri si daie itu sendiri supaya matlamat agama-Nya tercapai.

Amal dakwah ini mutawassil.
Akan terus bersambung kerana pendokong-pendokong agama-Nya akan tetap ada.
Maka, mengapa harus kita yang berusaha keras mencari sini-sana angkatan dakwah ini ??

Dan berdirinya kita dalam jalan ini kerana apa ??

Aku tahu,
medan amal ini telah memberi keyakinan kepada ruh kamu bukan ?
Ia nya telah menyegarkan iman kamu semua yang dahulunya layu.
Ia nya telah memberi cahaya kepada hati kamu yang dulunya malap.
Ia nya telah menjadikan diri kamu seolah lebih berharga memegang gelaran ummah yang terbaik ini.

Mengertilah, bukan ini sahaja manfaatnya kepada kita.
Medan amal dakwah ini telah menjadikan diri kita persis seekor kuda.

Kuda tunggangan perang  yang berlari kencang,
sampai terpercik keluar api dengan pukulan kakinya,
Lalu, menyerbu tengah kumpulan-kumpulan musuh.

Kita berterusan menjadi kuda tunggangan dakwah ini.
Kita menyanggupi dakwah dan tarbiyyah mendahului segala aspek kehidupan kita.
Kita merelakan kehendak agama ini menjadi lebih utama.

Ya, kita hamba kepada dakwah ini !
Namun, bukan seperti hamba-hamba ketika zaman Arab jahiliyyah dahulu yang mengikut arahan tuannya tanpa rela !

Kita mendapat taraf hamba yang lebih mulia.
Hamba yang bekerja dengan penuh keikhlasan.
Hamba yang akan mendapat balasan yang cukup mulia.

Dan sungguh, jalan dakwah ini tidak berniat langsung untuk menyusahkan kita.
Medan amal ini hanya mahu memberi kesenangan di sana kepada kita.

Medan amal ini bukan mahu membunuh kita,
tetapi ianya membukakan peluang untuk kita mati syahid mempertahankannya !

Medan amal ini bukan mahu mengambil harta-harta, masa-masa kita sesuka hati tanpa tujuan,
tetapi medan amal ini mahu melatih kita agar tidak terlalu memperhambakan dunia dan menggandaikannya untuk jalan Allah itulah yang paling mulia !

Medan amal ini bukan mahu menghina kita dengan segala tohmahan yang kita dapat tika melaksanakannya,
tetapi medan amal ini bertindak mengangkat darjat diri dan iman kamu di sisi-Nya !

Medan dakwah ini bukan kemiskinan para pendokongnya saat kamu sendiri yang perlu mempertahankan kemuliaanya,
tetapi medan amal ini mahu memberikan peluang buat kamu untuk membuktikan kamu adalah golongan hamba-hamba-Nya yang benar-benar bekerja !

Mengertilah, inilah sebaik-baik medan buat seorang manusia yang bernama hamba !

Bila kita punyai kefahaman yang cukup jelas,
maka kita akan merelakan segalanya untuk medan amal ini.

Dari kefahaman, akan lahirnya amal tanpa henti.
Dan kau pun mula menyerang kumpulan manusia untuk memberikan kefahaman yang sama.
Lalu, membentuk satu batalion tentera yang akan menjulang tinggi kalimah-Nya !

Tidak kau merasa cukup mulia dengan keberadaan diri kau dalam medan ini ?
Bersyukurlah !

Ada lagi manusia di luar sana yang masih tercari-cari.
Ada lagi manusia di luar sana ternanti-nanti tangan-tangan dua’t yang akan menyelamatkan mereka.
Ada manusia di luar sana yang  sedang menunggu kehadiran kita dengan hati dan telinga penuh sedia.

Bayangkan sahaja dengan keupayaan fantasi yang boleh menyuntik semangat anda,
sehingga anda rindu untuk merasa kesakitan dalam medan amal ini.

Taraf hamba yang paling mulia.
Barisan para anbiya’, para sahabat yang menanti anda di syurga sana.
Senyuman Rasulullah S.A.W yang cukup manis buat ummat yang cukup Baginda cintai.

Seharusnya, para dua’t mendidik hatinya untuk sentiasa dia menyedari bahawa dirinyalah yang memerlukan medan amal ini !
Kerana, dia tahu jika dia memilih medan amal yang lain, kemuliaan dirinya tidak akan tercapai.

Keberadaan diri kita dalam medan amal ini adalah satu rezeki yang teramat agung dari-Nya !
Maka, wajiblah kita untuk terus berusaha meneruskannya dan menyampaikan kepada generasi-generasi yang akan datang.

Inilah warisan yang paling adzhim buat manusia.
Hendak mewariskan harta-benda, sudah habis dikorbankan untuk jalan dakwah.
Maka, kesucian medan amal ini sahaja yang tertinggal.

Warisan ini tidak boleh diwariskan begitu sahaja atas nama Islam.
Warisan ini juga bukan warisan sembarangan atas pertalian darah.

Warisan ini adalah warisan kefahaman.
Warisan ini adalah warisan yang penuh cinta.
Warisan ini adalah satu risalah kebenaran.
Warisan ini bekalan buat mereka sampai ke sana nanti agar bisa ke tempat yang sama seperti kita tuju !

Mengapa kita perlu mewariskannya ?
Kerana kemenangan yang mahu kita capai, bukannya satu keajaiban.
Kemenangan yang mahu kita capai itu, bukan juga satu mukjizat.

Kemenangan yang kita kejar itu perlu kepada tenaga-tenaga yang memperjuangkannya.

Yakinlah, kemenangan ini tidak akan datang dari manusia-manusia yang duduk menongkat dagu.
Kemenangan ini juga tidak akan datang dari manusia-manusia yang hanya berdoa dan beribadah sepanjang masa.
Kemenangan ini juga tidak akan datang kepada manusia yang hanya berniat untuk mendapatkannya.

Kemenangan ini hanya akan datang buat manusia yang menggunakan kesempatan yang masih ada untuk beramal sepuasnya !
Mereka kini sedang berada dalam sebuah bahtera penyelamat yang bertindak untuk menyelamatkan manusia yang kelemasan.

Marilah bersama kami, hidup dalam sebuah kehidupan yang bernama, ‘ Kehidupan seorang pendakwah’  sementara peluang masih lagi melambai.

sekian,
mylittlepencil 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s