si pemancing itu

Dan di petang itu,
Dia sedang memancing,
Di tepi Nil yang menyimpan mangsanya,
Setia menanti,
Sambil berilham apa yang bakal terjadi.

Dan di petang itu,
Redup cahaya,
Merpati terbang menghampiri,
Bebas benar nampaknya,
Tidak sepertinya,
Masih tetap menanti,
Duduk lesu di atas tikar usang.

Dan di petang itu,
Dia kembali mengamati,
Apakah elok dia memancing begini,
atau,
Terbang bebas persis merpati tadi ?
Dia terus berharap,
Memancing tadi lebih diredhai.

Dan di petang itu,
Dia terus mencipta soal,
Berapa lama lagi ?
Apakah salah umpan yang diberi ?
Atau aku bukan pemancing yang mahir ?
Atau aku hamba yang tidak punya rezeki ?

Dan di petang itu,
Dia melihat lagi,
Pemancing lain pulang,
Tangkapan banyak,
Ada mengucap syukur,
Ada membayang kemewahan,
Apa aku ini tidak cukup maju ?
Atau memang usahaku ini hanya jalanan ?

 ********

Seorang daie itu ibarat pemancing.
Tugasnya memancing sekalian manusia. Lebih tepat, hati-hati manusia.
Umpannya terkadang kena, terkadang tidak.
Ini resamnya.

Dan ada juga yang sudahpun memakan umpan setelah sekian lama,
sengaja melepaskannya kerana umpan itu ternyata kian basi.
Malah, meloyakan tekak mereka !

Untuk membaca takdir atau rezeki yang bakal dapat, memang susah sekali.
Kerana bukan pada tangan kita yang mengawalnya.
Segala usaha dicurahkan tanpa mengharapkan apa-apa balasan.
Sama ada dari mangsa, mahupun untuk diri sendiri.

Jauh sekali untuk mengharapkan penghargaan manusia.
Apatah lagi mengharapkan dakwah ini sebagai sumber rezeki.

Dakwah adalah sumber ruhiyyah bagi seorang daie.
Biar terus gemilang cahaya rabbani dalam diri.
Meskipun seorang atau jamaie, dia tetap menyala dalam kegelapan.
Kerana dia bertahan menggunakan kekuatan imannya yang mantap dan aqidahnya yang jelas.
Fikrahnya akan dibawa akan terus menyucikan dirinya sendiri dan ummah ini !

Tidak dapat tidak, dakwah ini memang memberi manfaat untuk diri kita sendiri.
Ternyata, bertebarannya para dua’t pada medan jihad ini bukan satu kerugian.
Masa dan harta yang dilaburkan memberikan keuntungan yang berlipat kali ganda.

Tiada yang terbaik selain dari ini kerana yang terbaik itulah dari usaha diri sendiri, bukan menumpang atas penat lelah usaha manusia yang lain.

Di kala umpan tidak mengena,
jangan sesekali kau menyimpan pelbagai jenis buruk sangka.
Mungkin kerana selera ikan itu terlalu tinggi.
Maka, wajib bagi kau untuk memberi umpan yang amat berkualiti.

Mungkin juga kerana tempat yang kau pergi tidak strategik.
Ikan-ikan di situ kebanyakkannya sudahpun memakan umpan-umpan yang sebelum ini telahpun datang kepada mereka.

Mungkin juga salahnya pada diri kau sendiri.
Sudahlah umpannya begitu,
cara memancing masih juga tidak diubah dari dulu.

Maka, jangan kau pelik tatkala melihat orang seperti kamu yang juga memancing itu mendapat tangkapan yang lebih banyak.
Mereka merancang dengan jaya dan melaksanakannya.
Mereka terus berfikir bagaimana cara untuk maju ke hadapan.

Semakin banyak langkah yang mereka tapak ke depan, semakin jauhlah kau tertinggal di belakang !

Dan tidak dapat tidak.
Musuh dalam diam juga memerhati mesra.
Menunggu masa untuk menyambar.

Dalam keadaan kita menyampaikan dakwah al-haq ini, ada juga golongan manusia yang juga berdakwah.
Fikrah mereka ini kabur !
Fahaman mereka penuh kebatilan !

Mereka berdakwah kepada golongan manusia untuk semakin menjauhi agama.
Mereka berdakwah kepada golongan manusia untuk kepentingan diri mereka sendiri.

Dengan dakwah yang mereka jalankan, mereka mendapat keuntungan duniawi !

**********

Daie itu akan sentiasa faqir di sisi-Nya.
Dan sentiasa tampak hina.

Jangan sesekali merasa bangga dengan kesedaran atau ilmu yang kau ada.
Taklifan sebagai seorang daie ini bukan persis jawatan-jawatan besar.
Ia adalah satu kerja yang bakal memenatkan kau.

Ia adalah satu kerja yang bakal menidakkan segala kehendak diri sendiri.
Ia adalah satu kerja yang bakal merampas kerehatan dan keselesaan yang sebelum ini dinikmati.

Kerja-kerja dakwah ini bakal mengisi keseluruh kehidupan sehingga nafas terhenti.
Kerana peribadi seorang daie itu bukan sekadar memenuhi isi bumi,
tetapi kehadirannya seolah rahmat bagi alam semesta.

Di mana adanya dia, manusia pasti beroleh cahaya.
Di mana adanya dia, manusia pasti mendengar kebenaran.
Di mana adanya dia, manusia semakin mendapat pencerahan.
Di mana adanya dia, sekeliling peroleh manfaat.

Inilah kitaran hidup seorang daie.
Siang dan malamnya turut berganti sama seperti yang lain.
Dugaan akan terus melintang,
cabaran akan terus menghalang.

Dan dalam kepenatannya itu, dia harus juga berpenat dalam menyerah diri.
Menyimpul segala kekecewaan dan kepenatan pada Tuhan.
Bersujud untuk peroleh semula kekuatan.
Mati syahid sentiasa menjadi permintaan.

Inilah hakikat seorang daie, aura mereka ternyata berbeza dari manusia yang lain !

Malah, mereka wajib untuk menjadikan diri mereka lain dari yang lain !

Yakinlah wahai dua’t,
Apa yang kau tuju bukan di dunia,
Apa yang kau sedang buat bukan satu kerja biasa.

Kerja ini harus kau jaga keikhlasan niatnya.
Kerja ini harus kau jaga kesuciannya.
Kerja ini harus kau jaganya daripada sebarang fitnah.

Yakinlah wahai dua’t,
pulangannya di syurga sana,
Keredhaan-Nya sedang menunggu pemiliknya,
Rasulullah menanti penuh mesra umatnya,
Para sahabat ternanti-nanti siapa gerangan yang mereka cemburui.

Berjalanlah di mana sahaja.
Jalan-jalan besar atau jalan-jalan kecil.
Kutip segala pengalaman sebagai bekalan.
Jadikan  dakwah ini sebagai sumbu kehidupan.

Memancinglah di mana saja lokasi yang kau temui.
Di pantai indah, di tengah pulau ataupun hanya sebatang sungai kecil mengairi bumi.
Selagi ada mangsa, usaha tidak akan pernah berhenti.
Selagi ada mangsa, segala tenaga akan dicurah.
Selagi ada mangsa, kau sentiasa beranggapan peluang sentiasa cerah.

Tanpa dakwah, kau tidak bernyawa.
Tanpanya, hidup kau lesu lemah tidak bermaya.
Tanpanya, cinta kau seolah tidak berbunga mekar.
Tanpanya, hidup kau seolah hilang arah.

Dengannya,

Matlamat perjuangan sentiasa suci.
Tujuan kau sentiasa jelas.
Cinta kau sentiasa satu.

 

sekian,
mylittlepencil~

2 thoughts on “si pemancing itu

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s