patah hati

Bismillah.

Salam untuk semua.
Kali terakhir aku menulis pada hari terakhir bulan Mac.
Dan ini adalah entri yang pertama untuk bulan ini.

********

Ya benar, aku sedang patah hati.
Patah hati dengan keadaan yang sama, berlaku untuk pada satu tempoh masa yang lama.

Sudah ramai di sekeliling perasan akan tranformasi yang aku lakukan.
Kurang untuk berkomunikasi.
Kurang untuk melemparkan senyuman.
Kurang untuk berkongsi.

Aku lebih banyak berfikir.
Melayani kemarau panjang dalam hati.
Menikmati kesunyian seorang diri.

Beribu persoalan yang ditanya,

” Mana awak yang dulu ? ”

” Awak dah menghilang terlalu jauh, [mylittlepencil] ”

” Dari UK hari tu akak perasan awak yang lama menghilang.”

Betul. Aku tidak lagi seperti dahulu.
Seorang yang begitu semangat.
Hilang girangnya.
Selalu nampak lemah, tidak bermaya.

Kini, apa yang aku mampu lontarkan adalah kata-kata yang kosong, tidak dari hati.
Bagai madah yang tiada lagu.

Dan keadaan ini sedang memunahkan diriku sendiri.
Apakah aku sedang tersungkur mati ?

Atau, aku sedang sampai di satu persimpangan hidup yang terlalu mendesak ?
Atau, ini satu proses aku dilahirkan semula ?
Atau aku mula menindakkan sunatullah jalan dakwah ini ?

Entah aku sendiri tidak tahu.

Yang pasti,
Aku merasakan impianku punah.
Mimpi aku lebur.
Harapanku sia-sia.

Aku merasakan diri ini tidak berguna.

********

Aku bagaikan sudah terlupa bagaimana rasanya menjadi seorang murabbi.
Aku bagaikan sudah terlupa tugasku adalah membina dan mentarbiyyah.

Sehingga sampai di satu tahap aku selesa menyampaikan dakwah secara umum.
Hanya berceloteh di laman-laman terbuka, tidak perlu khusus kepada mutarabbi (orang yang tertentu).

Sehingga sampai di satu tahap, aku  merasakan aku seorang daie yang tidak punya rezeki.
Rezeki dalam dakwah.

Makan cukup.
Pakaian cukup.
Duit juga cukup.

Tetapi hasil-hasil dakwah entah menghilang ke mana !

Dan bila tidak punya rezeki seperti orang lain, hatiku cepat sekali hancur.
Hatiku cepat sekali kecewa.
Hatiku cepat sekali sebak.

( Apakah aku lupa bahawa hati-hati manusia ini dipegang-Nya ? )

Sedih melihat gerabak dua’t yang melaju ini, sedangkan aku masih berada di tapak yang sama.
Sedih tatkala mengenangkan murabbi-murabbi lain seronok berkongsi rasa mentarbiyyah anak usrah mereka, sedangkan aku tidak mampu berkata apa.

Terasa hidupku ini malam sentiasa, tiada siang menjelma.
Tiada pelangi-pelangi indah.

Sudah terlalu lama aku berada di medan ini.
Berhempas pulas menjala sana-sini.
Masa berganti masa,

aku merasakan begitu sia-sia.
Tetap tiada hasilnya.
Manusia seolah kaku, tiada apa-apa tindakbalas.
Dan mereka ikut  bersama aku merasa selesa.

Aku merasa selesa baik sendirian.
Dan mereka selesa dengan kegiatan mereka seharian.

Begitulah.

Uzlah seorang daie kononnya !
Padahal aku terasa benar aku sedang cuba lari dari amanat yang aku sedar betapa penting untuk aku menggalasnya.
Dan kini, keluhan demi keluhan yang tercipta.

Dan kekecewaan aku semakin berganda.
Air mata yang disimpan dalam takungan jiwa, akhirnya melebur begitu sahaja.

Hendak diluahkan tetapi tidak tahu bagaimana.
Lalu, rasa itu aku simpan sendirian.

Semangat dakwah aku yang dahulunya membara merah menyala, kini bertukar biru malap hendak padam.

Kata murabbiyahku,
” Al-waqtu ‘ilaj.”

Masa itu adalah ubat.

Benarlah katanya.
Tetapi sebenarnya tetap tidak dapat mengubat kekesalan dalam hati.
Aku hanya bertindak mendiamkan diri saat dia berkata begitu.

Aku kini seolah berada dalam sebuah ambulan, cuma tidak tahu untuk dihantar ke hospital yang mana.
Kesakitan yang amat sangat.
Luka dalam hati sudah makin parah.

Jika tidak diubati segera, maka aku akan mati.
Mati meninggalkan kamu semua dalam medan dakwah ini.

***********

Wahai dua’t,
Kamu yang bergelar murabbi,

Janganlah kamu putus asa dalam membina.
Mutarabbi-mutarabbi yang kamu ada itu adalah rezeki dari yang Maha Kaya.

Diberi-Nya hati-hati insan untuk kau dekati.
Dihadiahkan-Nya jasad-jasad insan untuk kau tarbiyyah menjadi jundi.

Tarbiyyahlah mereka dengan tarbiyyah yang muntij.
Bina mereka dengan penuh keikhlasan dan penuh rasa rendah diri.

Keluarkan kalam-kalam suci yang dapat menyucikan jiwa mereka.
Pupuk rasa rindu agar rindu itu menjadi penguat ukhuwwah kamu bersama.

Meskipun medan menjadi seorang murabbi ini terlalu payah,
tetapi percayalah, apa yang Allah sedang berikan buat kamu adalah satu latihan dan pengalaman.

Jika kamu berjaya dalam latihan ini,
maka, hati mereka akan kau miliki.

Jika kamu pergunakan pengalaman ini sebaiknya,
maka, tidak akan kau ulangi kesilapan yang sama.

Untungnya kamu !

Lemparilah rasa syukur dengan gigihnya usaha kau membina mereka.
Gunakan segala kemahiran dan kebolehan yang ada
Warnai mereka dengan pelbagai warna.

Pegang mereka seerat-eratnya bagaimana eratnya pegangan kau kepada tali-Nya.
Jadilah bagai seorang ibu yang sedang menjaga anaknya.
Jadilah bagai seorang guru yang tidak lokek menyedeqahkan ilmunya.
Jadilah telinga buat mereka, sanggup mendengar apa sahaja.

Sungguh, kebersamaan hati itu harus ada antara kamu kerana itulah ikatan yang menjaga kesucian ikatan aqidah kamu !

Wahai dua’t,
Kamu yang  masih sedang berhempas pulas,

Jangan pernah putus asa.
Andai kau merasa begitu, maka berkongsilah.

Yakinlah,
Kau seorang daie yang sedang merubah realiti.
Dan realiti yang kau sedang cuba ubah, bukanlah satu realiti biasa.

Kau sedang membantu ummah untuk menganjak paradigma mereka !
Kau sedang cuba menyedarkan merea dari lena yang lama !
Kau sedang merubah apa yang sebenarnya cukup payah untuk diubah !

Sempurnanya dakwah bila kau beriltizam dengannya.
Sempurnanya dakwah bila kau tetap bertahan memikul tugas meskipun terasa di bahu berat benar bebannya.
Sempurnanya dakwah bila kau mampu untuk bersabar walau bagaimana dahsyat sekalipun gangguan, siksaan, tentangan dan penolakan yang kau terima.

Jadilah kamu dengan manusia itu sepohon pokok buah-buahan, mereka melemparkannya dengan batu dan dia (pokok) melemparkan mereka dengan buahnya – Imam Syahid Hassan Al-Banna. 

Marhalah taarif  memang satu marhalah yang payah.
Bukanlah bererti kau akan hilang kesusahannya tatkala kau bergerak ke satu marhalah yang lain.

Setiap marhalah punya resamnya, punya cabarannya !

Pada tahapan inilah, kedaieyan kau akan tercabar.
Semampu mana untuk kau memberi segala yang ada.
Semampu mana untuk kau mengeluarkan tenaga.

Pendek kata, selagi belum tutup mata, kerja kerja kerja dan terus bekerja !

Ad-daie illalah mesti mengetahui apa yang diperlukan manusia.
Dia mesti menyiasat dan mencari penyelesaian kepada pelbagai jenis masalah.
Dia mesti bijak mengatur langkah dalam apa yang dilakukannya.

Jauhkan diri dari sifat yang tergopoh-gapah.
Jauhkan diri dari meminta-minta hasil atau natijah dari dakwah yang kau lakukan.
Jauhkan diri kau dari berbesar hati apabila manusia mula mengurumuni engkau mendengar seruan-seruan dakwah.

Segala bicara dakwah kau ini tidak akan sunyi dari gertakan-gertakan musuh Islam.
Maka, bertabahlah  dan bersabarlah !

Jangan cepat celaru.
Jangan cepat melatah.

Yakinlah bahawa kepimpinan jahiliyyah ini akan bertukar tangan.
Matahari sekadar gerhana, bukan tenggelam buat selama-lamanya.
Pelangi masih muncul walau lebat hujan yang melanda.

Jangan terlalu gopoh-gapah !

Ibarat kau sedang memetik buah sebelum waktu ianya masak.

Hai Ikhwanul Muslimin terutama yang gopoh-gapah dari kamu dengarkanlah daripadaku satu kalimah yang tinggi berkumandang dari atas mimbar ini di dalam muktamar kamu yang meliputi ini. Sesungguhnya jalan kamu ini adalah yang telah digariskan langkah-langkahnya, ditentukan batas-batasnya dan aku tidak menyalahi batas-batas itu, dan aku telah berpuas hati dengannya. Kepuasan yang sebenar-benarnya, bahawa itulah jalan yang paling selamat untuk mencapai tujuannya. Ya…..boleh jadi ia satu jalan yang panjang, tetapi di sana tidak ada jalan lain selain itu. Sifat kelakian tidak akan lahir kecuali dengan keberanian, ketekunan, kesungguhan dan amal usaha yang serius dan berterusan. Barangsiapa dari kalangan kamu yang hendak cepat dan gopoh memetik buah sebelum masak atau hendak memetik bunga sebelum masanya, maka aku tidak bersama dengannya sama sekali dan lebih baik baginya meninggalkan dakwah ini lalu pergi mencari dakwah yang lain. Barangsiapa yang bersabar bersama aku sehingga berkembang dan membesar benih itu lalu tumbuh pokoknya, baik buahnya sehingga tiba waktunya untuk dipetik dan diambil, maka ganjarannya terserahlah kepada Allah semata-mata. Kita dan dia tidak boleh lari dari dua kebaikan ini. Sama ada kita menang dan berkuasa atau mati syahid dan berbahagia. (Imam Syahid Hassan Al-Banna)

 

*********

Cuma pesanannya,
jangan kamu contohi aku.

Aku ini terlalu lemah.
Ini situasi dan keadaan yang terbaik ketika ini bagiku.
Ini latihan seorang hamba dari tuannya.

Ambil mana yang jernih.
Buang mana yang keruh.

sekian,
mylittlepencil yang sedang mengubati jiwanya.  

2 thoughts on “patah hati

  1. bagaimana harusku jelaskan perasaan ni beberapa bulan lepas.daie yg kecewa & terluka.
    sampai baru kurasa tatkala ni, aku begitu jauh dari Ar-Rahman.
    bagaimana harusku pinta maaf maaf kpdmu & semua atas pengaruh kelemahan diriku saat itu padamu.& sesalan yg sia2 kini.

    haruskah melutut.atau terus mendiam.@ belanje makan? ;)

    jgn lupakanku dlm doamu utk menjadi menggapai iman spt dulu pd Tuhan yg lebih sangat menyayangimu.
    seperti dulu tatkala iman kita membunga & membuahkan ukhuwah, cinta & redha pd Yg Esa.

  2. bagaimana harusku jelaskan perasaan ni beberapa bulan lepas.
    daie yg kecewa & terluka.
    sampai baru kurasa tatkala ni, aku begitu jauh dari Ar-Rahman.

    bagaimana harusku pinta maaf maaf kpdmu & semua atas pengaruh kelemahan diriku saat itu padamu.& sesalan yg sia2 kini.

    haruskah melutut.atau terus mendiam.@ belanje makan? ;)

    jgn lupakanku dlm doamu utk menjadi menggapai iman spt dulu pd Tuhan yg lebih sangat menyayangimu.
    seperti iman yg kita gapai dulu iman yg membunga & membuahkan ukhuwah, cinta & redha pd Yg Esa.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s