harta kita

Bismillah.

Salam dakwah buat semua pembaca.

Hari-hari yang mendatang kebelakangan ini memang memenatkan.
Masa semakin pantas berlari ke hadapan meninggalkan diri ini yang masih terbeban dengan pelbagai jenis tanggungjawab.

Lalu, tertinggal di belakang.
Tenaga empat kerat dikerahkan sebaik mungkin untuk menyelesaikan segalanya.
Mujur, masih ada iman sebagai harta yang paling berharga.

Rasanya, tanpa harta yang satu ini, mungkin pancit di tengah jalan.

Di atas dunia,
pelbagai jenis cara manusia berurusan dengan harta.

Ada yang bekerja keras mengejarnya sehingga terlupa urusan yang lainnya.
Ada yang bertindak menyimpannya, tidak kurang juga ada yang menyedeqahkannya.
Ada manusia  yang berbangga-bangga dengan harta yang ada.
Malah, ada manusia yang sekadar mengumpulnya. Memang hobi mereka untuk melihat harta biar sentiasa ada.
Paling pelik, ada manusia yang bercinta dengan harta mereka !
Mencium-cium harta yang mereka ada.

Namun, cara yang paling baik adalah,
berkerja keras mengumpulnya untuk digunakan pada jalan yang baik,
memberi kepada sesiapa sahaja yang memerlukan,
tidak rasa berat untuk melepaskannya.
Paling penting, jangan pernah cinta terhadap harta yang ada !

Tugas mencari harta adalah sebahagian tanggungjawab kita sebagai seorang khalifah di atas muka bumi.
Mengimarahkan bumi dan berusaha sehabis baik.
Tidak akan ada harta yang turun dari langit.
Sudah tamat zaman mukjizat.
Sunatullahnya, siapa yang berusaha dialah yang akan mendapat hasilnya.

Jangan sesekali tertinggal bahagian di dunia.
Meskipun kau seorang daie.
Kerana segala jenis amal kita di atas dunia akan ditanya.
Jangan memandang enteng pada urusan dunia.

Zuhudnya kita bukan meninggalkan dunia keseluruhannya.
Beruzlahnya kita bukan dengan membenci dunia dan isi-isinya.

Kita berzuhud dengan cara tidak terlalu gembira apabila mendapat nikmat dunia dan apabila kehilangannya tidak berduka.

Zuhud bukan bererti mengharamkan apa yang halal atau mengabaikan harta tetapi menganggap apa yang ada di sisi Allah itulah yang lebih berharga daripada segala apa yang dia ada.

Persis seorang manusia yang berpakaian indah dan bersih tetapi jauh sekali berniat untuk menunjuk-nunjuk.
Inilah zuhud yang sebenar-benarnya !

Beruzlahnya kita bukan menyepikan diri dari masyarakat.
Beruzlahnya kita bukan bererti menghabiskan sepenuh masa berzikir di masjid.

Ini bukan uzlah seorang daie.
Ini hanyalah kelakuan seorang ‘abid yang bermain-main dengan ibadahnya sendiri !

Berbezanya keupayaan fizikal dan rohani kita sepertimana bezanya makanan jasadi dan ruhiyyah kita.

Badan manusia akan tetap memerlukan makanan dari bumi meskipun kau cuba untuk menahan lapar sehingga akhirnya kau yang mati kelaparan.

Manakala, ruhiyyah manusia akan tetap memerlukan peringatan-peringatan dari-Nya meskipun kau cuba untuk lari daripadanya sehingga akhirnya kau mengakhiri nafas dalam keadaan yang alpa.

Masing-masing ada kawasannya !
Masing-masing tidak boleh ditukar fungsinya !

Kesilapan besar akan berlaku andai fizikal dan ruhiyyah itu dipaksa bekerja pada medan yang ianya tidak diciptakan untuk itu.

Sebagai contoh, jika hati yang menggilai harta, pakaian, makanan dan segala jenis keperluan duniawi, itu tandanya fikirannya sedang rosak !
Sewajarnya, dia hanya mengisi bahagian-bahagian tersebut mengikut keperluan jasadi bukan kehendak hatinya.

Dan percayalah, andai semuanya kau penuhi menurut hati, jasad kau tidak akan berjaya menampung keinginan yang terlampau banyak itu !
Jangan menikmati, kerana dengan menikmati akan menjatuhkan darjat seorang manusia dan akhirnya menyebabkan dia sering berlebihan, melampau-lampau dan mengabaikan keadaan ruhnya.

Keutuhan rohani atau ruhiyyah kita yang terasing hanyalah bukti kepada ruhiyyah yang terlampau lemah, tidak mampu untuk bertahan.
Dia mungkin seronok dengan bersendirian, tetapi hakikatnya dia jauh tertinggal daripada orang lain.
Dia mungkin berasa selamat dengan rasa keasingan, tetapi hakikat sebenarnya dia sedang terpenjara dalam sebuah keadaan yang amat menyeksakan.

Aturan hidup kita,
apatah lagi untuk seorang daie, memang ruhiyyah kita desakan terhebat untuk bergerak dan berperanan.

Bergerak untuk membina manusia.
Berperanan dalam menyelamatkan ummah.
Betapa uniknya, dengan ruhiyyah yang kuat ini kita mampu menongkah medan amal yang pelbagai.
Bercampur dan bergaul dengan manusia, mempelajari kerenah mereka.

Kita bukan ahli ibadah yang terpenjara dengan dengan mimpi-mimpi indah khayalan diri sendiri.
Kita bukan ahli ibadah yang merasa selamat dan selesa dengan keadaan diri sendiri.

Percayalah, jika kita bersikap begini,
kita masih lagi sedang lena !

Dan harta seorang daie itu tentulah dakwahnya !

Kita merasa kaya dengannya.
Kita merasa izzah mempunyainya.
Kita merasai megah bersamanya.
Kita terlalu menyintainya tetapi kita mahu orang lain juga menyintainya !

Kerana itu, kita seolah mewariskan harta-harta ini kepada orang lain.
Bertujuan generasi selepas kita akan terus membawanya sehingga puncak  kemenangan.
Agar perwarisan harta ini akan terus terwaris kepada generasi ummah yang terbaik ini !

Kita bersama ‘harta’ ini, tidak akan pernah merasa sengsara seperti manusia yang mempunyai timbunan harta.
Paling tidak pun, kesengsaraan yang dirasa akan tetap mengembalikan kita kepada Allah yang Esa.
Akhirnya, kesengsaraan itu tadi bertukar menjadi gembira.

Sebenarnya, hakikat penjagaan dan pengembangan harta ialah dengan membelanjakannya pada jalan Allah.
Maka, sebaiknya diri engkau sendirilah bahan yang terbaik untuk dibelanjakan !

Dakwah tidak akan bergerak tanpa ada yang menyampaikannya.
Dakwah tidak akan sampai pada telinga manusia yang lain selagi tidak ada yang meneriakkannya.

Bukankah kau yang sepatutnya melakukan sedemikian ?
Belanjakan diri kau untuk jalan dakwah ini.

Korbankan segalanya.
Segala kemahuan dakwah kau turuti.
Segala hajat dakwah kau penuhi.

Jadikan harta dakwah ini adalah wahana yang terbesar untuk memperoleh pahala yang terbesar,
untuk mendapatkan rahmat-Nya dan Firdaus-Nya !

Jauh sekali kita ingin menjadikan harta ini menjadi wahana kejahatan, apatah lagi mengundang kemurkaan Allah !

Dan bersyukurlah,
harta dakwah yang kita peroleh ini bukan hasil ilmu kita,
sepertimana lagak Si Qarun : ” Bahawa harta yang aku peroleh adalah hasil keilmuanku.”

Harta dakwah ini limpah kurnia dari Allah S.W.T.
Tanda Dia sedang memberi kita satu sumber rezeki yang cukup memberi barakah ke dalam kehidupan kita.
Tanda Dia mahu kita bersama-Nya, mengenal jalan-jalan yang lurus.
Tanda Dia memanggil-manggil kita untuk menjadi saff-saff manusia yang menjadi penolong agama-Nya.

Perasankah kita, dengan harta dakwah inilah hidup kita mulai berubah.
Dengan harta dakwah inilah kita menjadi lebih pemurah.
Dengan harta dakwah inilah kita jauh dari menjadi penunggang harta dunia.

Inilah harta dakwah,
Memikat dan menggoda kita dengan cara yang benar-benar berbeza !

Kita tidak akan ditipu dan diperdaya seperti dunia luar.
Malah, ada yang dipergunakan !

Sebaliknya, kita dijanjikan kebahagiaan yang sejati.
Kita dijanjikan kemewahan yang berlipat-lipat kali ganda.
Kita dijanjikan juadah yang paling istimewa iaitu melihat wajah-Nya !

Allah tidak mahu melihat kita menderita tertipu dengan mainan dunia.
” Tipah tertipu ! ”

Allah tidak mahu kita terjerat dengannya kerana kita bakal sengsara.

Berkali-kali telah Dia mengingatkan kita !

Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda gurauan, perhiasan dan saling berbangga di antara kamu serta berlumba dalam kekayaan dan anak keturunan, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani, kemudian (tanaman) itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhaan-Nya. Dan kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang palsu. ( 57 : 20 )

 

Pinggirkan dunia dari hatimu.
Biar kau bebas segera.
Tidak perlu lagi untuk kita merasai derita itu.

Biar kita dengan harta kita.
Biarkan kita dengan hiburan kita.

Katakanlah (wahai Muhammad) : ” Dengan limpah kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah mereka gembira dengan sebab itu (bukan dengan sebab lain). Ia lebih baik daripada (nikmat dunia) yang mereka himpunkan.” ( Yunus : 58 )

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s