gadis berpurdah hitam

Bismillah.

Salam dakwah buat semua.
Moga hidup kamu tidak sunyi tatkala laman penulisan ini tidak diisi dengan bahan bacaan yanng baru.
Sekarang ini, terlalu banyak sumber-sumber yang mendekatkan kita kepada deen kita yang satu ini.

Hanya bergantung kepada kita, sama ada mahukannya atau tidak.

**********

Alkisahnya, baru-baru ini, ayah kesayangan ada menujukan sebuah lagu khas buat anaknya ini.
Jujurnya, tersentuh.
Kami menjadi lebih rapat dari sebelumnya.
Mungkin dia lebih menyukai diri aku yang sekarang berbanding diriku yang dahulu.

Katanya, ini lagu yang dia minat satu ketika dahulu.

Di bawah bangunan berpuluh tingkat
Di tengah-tengah
Kota yang megah
Sedang aku mencari erti
Apa itu indah
Apa itu suci

Lalu melintas gadis berpurdah hitam
Inginku tanya ke mana arahnya
Mungkinkah ada jawapan di sana
Sampaikan
Sampaikan utusan mulia
Sampaikan
Sampaikan itu jawabnya

Duhai gadis berpurdah hitam
Lambang keimanan
Cahaya kesucian
Bawalah aku ke arah tujuan
Ertinya indah kalau beribadah
Ertinya suci bersihkan diri

Kumpulan Kembara
Lagu: M. Nasir / Senikata: S. Amin Shahab 

Kali pertama aku mendengar lagu ini, hati tidak merasakan apa-apa yang luar biasa.
Hanya sekadar lagu yang menyebut tentang manisnya Islam ini.
Islam bermakna penyucian diri dan sememangnya Allah mengehendaki kita untuk senantiasa menyucikan diri.

Kali kedua aku mendengar lagu ini, hati masih lagi rasa biasa.
Cuma terbuai dengan rasa betapa istimewanya diri ini mendapat sebuah lagu dari seorang ayah !

Kali ketiga aku mendengar, aku mula mengambil ibrah.

Pada aku, seorang daie persis gadis yang berpurdah hitam.
Melintas di mana-mana sahaja akan menjadi tumpuan.

Bukan kerana cantiknya kita,
Bukan kerana popularnya kita,

Tapi kerana betapa asingnya kita !

Pakaian kita tidak sama dengan pakaian mereka.
Kelakuan kita dianggap pelik.
Perasaan kita dipermain-mainkan.

Seringkali, kita tersepit antara dua keadaan.
Menyelamatkan manusia dengan cara yang mereka suka sehingga meninggal prinsip-prinsip kita,

atau,

Bersikap tegas dengan prinsip yang ada dan bergantung kepada manusia sama ada mereka menyukainya atau tidak.

Dan pabila kita melintas jalan-jalan dunia ini,
Tidak dinafikan ada manusia yang cuba untuk mendekati.
Mereka ingin meminta tapi tidak tahu bagaimana ingin memulakan bicara.

Mereka tahu apa yang mereka mahukan, tetapi mereka masih malu untuk membuka kata.
Tetapi ada juga manusia yang memang memandang enteng kepada kita.
Bukan setakat menjauhi,
malah mengajak manusia yang lain untuk juga menjauhi kita !

Macamlah kita ini membawa satu jenis virus yang terlampau bahaya sehingga mampu membunuh mereka !
Macamlah kita ini satu kumpulan manusia yang ingin memberi himpunan masalah kepada mereka !

Ya, kadang-kadang beginilah hakikat manusia.

di tengah-tengah kota yang megah

Kita umat pertengahan yang sedang berada di tengah-tengah keadaan dunia yang sedang dikuasai jahiliyyah yang kian menghanyutkan sekalian ummat manusia.

Manusia tidak memberi perhatian kepada suara-suara kita.
Hanya nyanyian-nyanyian jahiliyyah yang mampu menghiburkan hati mereka.

Mereka merasa cukup puas dengan apa yang sajian-sajian dunia.
Makin lama, makin terasa enaknya.
Makin lama, makin rasa ketagih untuk mendapatkannya.

Maka, kita tetap terus bertahan menyajikan makanan penyucian jiwa,
makanan buat ruh-ruh mereka yang terperangkap di dalam sebuah penjara yang cukup menyeksakan itu !
Kita berterusan bekerja dan menghidangkan ma’idah-ma’idah ini walapun terdengar di corong telinga,

” Masakan apa ini, tidak sedap langsung.”
” Mana datangnya masakan sepelik ini.” 

Lalu, kita merintih seorang diri dalam hati.
Alangkah indahnya andai mereka tahu apa yang sebenarnya patut mereka cari.

Di dalam kemegahan jahiliyyah inilah, kita juga patut berasa megah (‘izzah) dengan risalah yang kita bawa.
Kita patut rasa menang dengan tanggungjawab yang tergalas kerana sekurang-kurangnya kita sudah menjalankannya.

Tetaplah merasa enak dengan hidangan yang ada.
Tetaplah tabah membawanya ke mana-mana kerana pasti masih ada manusia yang mahu menerimanya.
Jika hanya seorang manusia pun tidak mengapa !

Bukankah dengan rasa ‘izzah ini kita akan merasa lebih kuat dan keyakinan akan memuncak tinggi ?
Maka, untuk para dua’t sekalian,
jadilah gadis berpurdah hitam yang merasa cukup ‘izzah pada agama Islam ini !

Sampaikan
sampaikan utusan mulia 

Risalah yang terhenti tanggal 1924 dahulu, kini bersambung dan terus bersambung.
Rantaiannya terus memanjang.
Jalanya terus melebar ke pelusuk dunia.
Manusia yang menjadi kuda-kuda tunggangan dakwah kian bertambah.

Menyampaikan,
memang ini tanggungjawab kita.

Walau sepotong ayat.
Jika kau tidak bisa berbicara, tunjukkan melalui qudwah hasanah yang ada.
Jika kau tidak bisa juga, kau sebarkanlah melalui dengan sejumlah wasilah (cara) dengan bakat yang ada.
Jika kau tidak bisa juga, aku juga tidak tahu lagi bagaimana.

Kerana sememangnya tugas kita adalah MENYAMPAIKAN !

Bila kita menyempurnakan tugas ini, barulah kita memulakan langkah membina seorang manusia.
Dan jika kita tidak mula proses menyampaikan, bagaimana manusia yang lain akan mengetahui tentangnya ?

Sampaikan, sampaikan !
Itu jawabnya. 

Jangan pernah kecewa,
kerana masih ada manusia yang memerlukan khidmat kita.

Cuma mereka sedang berada di tengah-tengah kota yang menghanyutkan itu dan tidak tahu ke mana arah yang sepatutnya dituju.
Dan mereka tidak bisa mencarinya sendirian tanpa ada yang menunjukkan jalan.

Orang sesat juga bertanya,
Apatah lagi mereka yang seolah sudah buta dari kebenaran ?

Sedang aku mencari erti
Apa itu indah
Apa itu suci

Ya, mereka dalam keadaan terkial-kial.
Mereka ibarat bayi yang baru cuba untuk bertatih melintas jalan.
Jika tidak tahu melintas dengan betul,

mereka akan mati dilanggar mana-mana kereta yang sedang memecut laju.
Bukan sahaja fizikalnya yang ranap, malah yang dalamnya turut punah !

Itulah dahsyatnya keadaan alam sekarang ini !

Lalu melintas gadis berpurdah hitam

Dia melihat kita berjalan melintasinya.
Masihkah kita mahu hanya melintasinya begitu sahaja ?

Tanpa bertanya ke mana arah tujuannya ?
Tanpa memberitahunya mana satu jalan yang betul ?
Tanpa memberi apa-apa jawapan kepadanya ?

Alangkah sedihnya diri seorang daie andai kau masih begini.
Memang kau tidak bersemangat sebenarnya dalam menyebarkan dakwah ini.
Sepatah haram pun tidak terkata.
Sedangkan manusia itu menunggu-nunggu apa yang bakal kau ucapkan !

Dia telah membuka hatinya.
Dia telah menadahkan telinganya.
Dia masih lagi menanti….

Tetapi, tetap kau masih lagi membisu tidak berkata.
Sehingga kau membiarkan dia melintasi sendirian,
tanpa dia mengetahui apa akibatnya jika dia melintas jalan dunia ini begitu sahaja.

Dan saat dia mula menapak langkah melintasi jalan,
kau masih lagi berdiam diri.

Sehinggalah……….

Sehinggalah………kau mendengar satu dentuman bunyi yang begitu kuat,
Lalu kau toleh ke belakang…….

Kau melihat,
dia sudah terdampar di tengah-tengah jalan,
mengalir keluar darah di setiap penjuru tubuhnya, membasahi pakaiannya.
Sebuah kereta baru sahaja melanggarnya.

Lalu kau meluru laju kepadanya dengan rasa bangga menjadi manusia yang pertama menghulurkan bantuan padanya sedangkan sebenarnya kau sudah terlewat !

” Akan aku bawa kamu ke hospital dengan kadar yang segera. “
” Tak usah. Nyawa aku sudah di hujung tanduk. Aku kesuntukan masa.”

Lalu, dia bertanya kepada kita,
” Mengapa tidak kau beritahu padaku akan bahaya ini ? ” 

Sambil tangannya erat memegang tangan kita.
Dan akhirnya, nafasnya tamat.
Pegangannya lemah dan terkulai.

Kini, siapa pula yang menangis ?
Bukankah kau tahu apa yang ingin disampaikan tetapi kau masih memilih untuk menyimpan kata-kata tersebut dalam hati !

Wahai para dua’t,
Janganlah kau bersikap begini hingga ke akhirnya !

Kelak,
Kau adalah manusia yang mendapat kerugian yang berlipat-kali ganda !

Pastikan di saat kau bertemu Tuhanmu di sana nanti,
Kau adalah manusia yang mulia !

Kau mulia dengan janji yang telah ditunaikan.
Kau mulia dengan segala usaha yang telah dicurahkan.

5 thoughts on “gadis berpurdah hitam

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s