kehidupan dan dakwah

Bismillah.

Salam dakwah buat semua.
Telah  lama tidak meluahkan rasa  hati di ruang penulisan ini.

Ingin menulis, tapi seperti biasa.
Masa dan kewajipan terus meminta-minta.
Dan diri seolah tersepit, antara yang penting dan yang paling cepat untuk diuruskan.
Sentiasa. Sentiasa tersepit.

*******

Dakwah dan kehidupan.

Dakwah itu kehidupan,
atau,
Kehidupan itu dakwah ?

Mana satu idaman kalbu.
Mana satu yang betul.
Mana satu yang benar-benar menepati kehendak iman.
Saya sendiri terkadang  mencari-cari.
Tetapi saya ingin berkongsi apa yang  ada di dada.

Jika dakwah itu kehidupan, maka dakwah itu adalah acuan kehidupan kita.
Jika kehidupan itu adalah dakwah, maka  hembusan nafas kita, setiap amal kita, setiap apa yang mengelilingi kita adalah dakwah.

Kedua-duanya tepat, namun susah untuk ditafsir.
Apatah lagi jika tidak berupaya untuk mendidik hati supaya merasai.
Apatah lagi jika sengaja meletakkan ‘jarak’ antara kehidupan dan dakwah.

Bila kita mula meletakkan jarak, kita sendiri yang sebenarnya semakin jauh.
Bila kita mula membeza-bezakan, kita sendiri sebenarnya yang masih tidak faham.
Bila kita mula tidak faham, memang teramat susah untuk kita mengamalkannya.

Ada dua soalan.
Kita mahu atau tidak ?
Kita faham atau tidak ?

Jawablah  keduanya  dengan hati yang luhur.
Jawablah dengan kefahaman yang telah dibina.
Jawablah dengan iradah qawiyah yang tinggi.

Jawablah dengan jujur !
Itu sahaja yang aku minta.

Jujur  dengan diri sendiri.
Tanya diri sendiri, tanya hati sendiri.
Sama ada soalan tadi berjawab atau tidak.
Atau kau memang sudah tidak mampu untuk menjawabnya.

Jika kau mempunyai jawapan,
Jawapan itu relevan atau tidak.

Apa yang aku fahami,
Dakwah ini adalah kehidupan, dan kehidupan ini adalah dakwah.
Kita tidak dapat lari dari cara hidup ini.
Malah, kita dilarang untuk mengamalkan cara hidup yang lain.

Kita bukan sekadar manusia-manusia baik yang biasa,
Apatah lagi manusia yang berlakon baik.
Kita bukan sekadar manusia yang singgah duduk di muka bumi,
Apatah lagi manusia yang duduk membuang masa.
Kita bukan sekadar manusia-manusia yang menghembus nafas-nafas biasa,
Apatah lagi manusia yang menggunakan nikmat hembusan nafasnya sia-sia.

Kita adalah daie yang mengamalkan cara hidup dakwah sebagai daie rabbani.
Kita adalah manusia yang mengamalkan cara hidup sebagai seorang hamba.

Dakwah adalah kehidupan.
Kehidupan adalah dakwah.

Keduanya perlu.
Perlu untuk aku untuk memahami mengapa aku hidup.
Perlu untuk aku yang masih terkial-kial mencari apa makna hidup dalam dakwah.
Perlu untuk aku yang sedang mengumpul pengalaman-pengalaman hidup yang boleh dijadikan pengajaran.

Kamu pula bagaimana ?

Kehidupan adalah dakwah

Hidup dalam dakwah
Atau dalam erti kata yang lainnya,
Membuat dakwah.

Hidup, maka akan ada hasilnya.
Hidup, maka akan ada peningkatannya.
Hidup, maka akan waktu susahnya.

Inilah erti hidup dalam dakwah.
Kita menjadikan dakwah ini hidup, sehingga kita menjadi benar-benar hidup.
Benar-benar hidup,

menjadi seorang manusia yang tahu tujuan hidupnya.
Menjadi seorang manusia yang faham tanggungjawab dan beban yang ditanggungnya.
Menjadi seorang manusia yang benar-benar pasti akan bezanya kebenaran dan kebatilan.

Bila kita hidup dengan dakwah, maka kehidupan kita adalah dakwah.
Kehidupan kita tidak akan pernah sunyi dari beban-beban dakwah.
Kehidupan kita tidak akan pernah lekang dek ‘panas sejuk’ dakwah.

Dan semestinya, kehidupan kita seperti juga manusia biasa.
Kita akan melakukan benda-benda biasa,
Kita akan menghadapi pengalaman-pengalaman biasa,
Kita akan menikmati perkara-perkara biasa yang menghiasi kehidupan orang lain.

Lalu, bagaimana mahu menjadikannya luar biasa ?

Dengan cara kita belajar dari kehidupan.
Kita fahami kehidupan.
Kita mengamalkan kehidupan yang sepatutnya.

Ada orang, hanya menganggap kehidupan ini hanya satu hiburan.
Ada orang, kehidupan baginya hanya satu nikmat.
Ada orang, kehidupan ini segala-galanya bagi dia.
Ada orang, kehidupan adalah satu bebanan.

Adakah orang-orang jenis ini kita ?
Atau bagaimana diri kita sebenarnya ?

Ada manusia, kehidupan ini adalah satu pahala baginya jika dia benar-benar memanfaat.
Ada manusia, kehidupan ini adalah salah satu cara dia belajar untuk mengenali penciptanya.
Ada manusia, baginya kehidupan ini bukan segala-galanya, hanya sementara.
Ada manusia, dia percaya  kehidupan ini bukanlah menjanjikan bahagia sepanjang masa.

Dan manusia itu adalah kita  !

Jangan kita memperlekehkan sebuah kehidupan.
Kerana dengan kehidupan, orang boleh mengenali kita.
Manusia apatah lagi Allah, tidak berhenti memerhati sambil mengadili.
Meskipun sekecil-kecil urusan, hadapinya sebagai seorang khalifah.
Hadapinya sebagai seorang manusia yang beragama Islam.

Paling penting, kau adalah seorang daie.
Bukan calang-calang manusia.

Sepanjang pemerhatian yang dalam,
Aku melihat ada lagi sekumpulan dua’t yang memisahkan antara kehidupan dan dakwah.
Ingin sekali aku tanya mengapa.
” Mengapa kalian berbuat demikian ? ”

Mungkin mereka tidak sedar.
Mungkin mereka sedang cuba belajar.

Tetapi, ingatlah wahai daie-daie sekalian,

Kita diajar untuk hidup sebagaimana manusia biasa.
Mungkin adakalanya kegemaran kita, juga kegemaran orang lain.
Mungkin adakalanya tindakbalas kita terhadap sesuatu perkara, juga sama seperti manusia lain.
Janganlah seolah kamu tertinggal dari kehidupan yang normal ini.

Bukan aku menyuruh kamu selalu dan terlalu gembira.
Meninggalkan dunia sepenuhnya.

Apa yang aku minta,
Tinggalkan dunia ini,
tinggalkan janji-janji manisnya,
tinggalkan keseronokannya,

dari hati nurani kau itu.
Kerana telah bersusah-payah kau hiasinya dengan iman.
Dan akan malaplah cahaya-cahaya iman ini dengan kecintaan kepada dunia yang berlebihan.

Apa guna ada tarbiyyah andai tidak meninggalkan kesan ?

Jalani kehidupan dengan normal.
Jangan terlalu merasakan kau terlalu istimewa.
Sehingga kau memperlekeh kehidupan manusia lain.

Jalani kehidupan dengan penuh sikap timbang rasa kepada manusia yang lain.
Jangan terlalu mempersoal, sebaliknya cuba untuk bertanya dan fahami.
Mungkin kau tidak pernah berada pada situasi yang dia hadapi,
mana tahu pada masa akan datang, kau pula yang terkena.

Fikirkan,
Adakah di kala itu kau suka manusia lain mentertawakan apa yang kau buat ?

Semestinya kau mengharapkan manusia yang lain untuk memahami.
Semestinya kau meminta mereka untuk cuba meletakkan diri mereka pada situasi itu.

Jalani kehidupan yang penuh dengan usaha.
Usaha untuk menjadi hamba yang lebih baik.
Berusaha untuk menjalankan tanggungjawab dengan sempurna.
Berusaha untuk berjaya di dunia demi akhirat sana.
Belajar untuk berusaha tanpa lelah.
Hanya berehat di kala kau tidak menyedarinya, bukan meminta-minta untuk rehat.
Atau menyintai keselesaan tika berehat.
Kerana berfikir untuk  berehat sudah menjadi tanda kelalaian kita.

Ini baru namanya kehidupan.
Bukanlah kehidupan namanya andai tidak ada peningkatan.
Itu hanya sebuah  permulaan kepada kematian.
Atau corak awal kehidupan yang akhirnya menjanjikan sebuah kegagalan.

Race is not about competing with others, it is about being  fast as you can.

Wahai kawanku…
Seriuslah selalu dan berguraulah berpatutan
Tanpa serius, hilanglah kesungguhan
Tanpa bergurau, tawarlah kehidupan
Kata seorang penyair :
Berikan kerehatan kepada jiwamu yang sibuk dengan berfikir
ubati dengan bergurau
Tapi , kalau mengubatinya dengan bergurau mestilah dalam batas
Seperti kau memasukkan garam ke dalam gulai

Imam Syahid Hassan Al-Banna

Dakwah adalah kehidupan

Bila mana kita menyebut dakwah adalah kehidupan,
maka intipati utama sebuah kehidupan adalah dakwah.

Bila mana ia nya menjadi intipati yang utama,
maka hilangnya ia, akan punahlah kehidupan.

Bila mana ia nya menjadi bahan yang utama,
jangan sekali-kali kita cuba untuk membuangnya.

Bila mana ia nya menjadi perkara yang utama,
maka kepentingannya akan sentiasa menjadi rencana pemikiran kita.

Begitulah.
Dan perkara-perkara ini akan kau pelajari.
Sedikit demi sedikit.

Semacam aku juga yang dahulunya tidak tahu menyusun urusan,
yang terpinga-pinga tatkala terlalu banyak perkara yang perlu diselesaikan.

Tidak dapat tidak,
bila kita menabalkan diri sebagai seorang daie dengan kalimah syahadah yang sentiasa kita ucapkan,

Kita sedang menabur janji.
Kita juga sedang menanam mimpi-mimpi.

Janji yang harus ditepati.
Dan mimpi yang harus kita dijadikan realiti.

Janji kepada Allah.
Mimpi sebuah kegemilangan.

Inilah daie.
Hidup dengan mimpi-mimpi.
Kita bukan sekadar berangan, tetapi cuba untuk mencapainya.
Kita bukan manusia yang terlena dan terbuai-buai dengan mimpi-mimpi yang indah.

Sebaliknya kita bermimpi indah, tetapi penuh dengan muhasabah.
Penuh dengan ketakutan akan tidak tercapainya mimpi-mimpi itu tadi.

Kita bermimpi-mimpi indah menuju rahmat-Nya,
menuju keredhaan-Nya.

Hanyalah pada-Mu, ya Tuhanku.
Biarlah kau yang mengarah mimpiku ini,
biarkanlah kau yang tunjukkan jalan-jalan menjadikan mimpi ini nyata.

Bagi kita, sebuah kehidupan, likunya adalah dakwah.
Bagi kita, sebuah kehidupan, cabarannya adalah dakwah.
Bagi kita, sebuah kehidupan, yang mengisi masa adalah dakwah.
Bagi kita, sebuah kehidupan seluruhnya adalah dakwah !

Kerana dakwah adalah kehidupan.
Dan kehidupan adalah dakwah.

Saling bergantungan antara keduanya.
Sebagaimana kita bekerja kuat,
Sekuat itu juga gagahnya kita bersujud.

Maka apabila engkau telah selesai (dari sesuatu urusan) , tetaplah bekerja keras (untuk urusan yang lain)
( 94 : 7 )

sekian,
mylittlepencil 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s