pati keimanan

Bismillah.

Salam dakwah buat semua.

Sekiannya, aku menulis lagi di ruangan ini.
Untuk berkongsi apa yang difahami.
Meluah rasa hati apa yang dirasai.

********

Aku, kamu dan dia memiliki pati yang sama.
Pati yang tersimpan di hati.
Inilah yang kita gunakan untuk membancuh amal setiap hari.

Pati sebuah keimanan.
Adakalanya ia memekat.
Adakalanya ia semakin menawar.

Pati keimanan ini bukan untuk dijual-beli.
Pati keimanan ini bukan untuk diwarisi.

Keimanan itu tidak murah kerana harganya tiada tolok bandingan.
Keimanan itu tidaklah terlalu mahal kerana semua manusia berhak memilikinya, bukan hanya layak untuk yang kaya.

Lihat di peringkat awal dahulu,
Islam ini disertai oleh barisan manusia yang memiliki pati keimanan yang cukup pekat.
Dan mereka ini terdiri daripada golongan manusia yang terhina dalam masyarakat satu ketika dahulu.
Memperhambakan diri untuk manusia.

Datangnya Islam,
memperkenalkan satu barang yang cukup berharga buat mereka untuk melarikan diri dari perhambaan diri yang tidak bermakna ini.
Dahulunya mereka dihina, kemudian mereka menjadi mulia.
Dahulunya mereka murah, kemudian mereka menjadi cukup berharga.

Mahalnya mereka kerana kepekatan pati keimanan yang mereka ada.
Mahalnya mereka kerana keyakinan yang cukup kuat terhadap Allah yang Maha Esa.
Mahalnya mereka kerana kalimah mulia itu sudah bertunjang ke dalam akar hati mereka.

Kerana pati keimanan inilah,
mereka gagah dalam menempuh siksaan yang menyiksa zahir dan batin mereka tanpa hentinya.
Kerana pati keimanan inilah,
mereka selesa berada dalam keadaan yang begitu asing di tengah-tengah bandar Mekah mempertahankan kalimah kebenaran itu.

Kini,

Di zaman kita, seolah pati keimanan itu telah semakin menghilang.
Tidak lagi fungsi iman itu adalah untuk menjadi neraca kepada hati.
Iman itu seolah hanya cukup dengan keyakinan, tidak perlu kepada pengzahiran.
Iman itu seolah hanya cukup dengan lafaz kata, ” Ya, aku beriman.”, tidak perlu kepada pembuktian.

Aduh, neraca iman dipermainkan.
Iman seperti hanya satu barang yang murah.
Bisa saja dibuang begitu sahaja.
Ambil bila perlu, buang bila tidak diguna.
Guna bila selesa, campak bila rasa tersiksa.

Pati keimanan umpama celupan.
Celupan pekat yang mewarnai hati.
Segala tindak-tanduk, amal-amal didahului dengan iman.

Sepertimana pekatnya diri kita berada dalam celupan agama, seharusnya pekat juga celupan iman dalam jiwa.
Kerana, menjadi mukmin itu lebih rasa megahnya.
Menjadi mukmin itu, kita menjai lebih terjamin untuk berada dalam syurga-Nya.
Menjadi mukmin itulah yang meninggikan darjat kita yang sebenarnya !

Seruan kepada orang-orang yang beriman tiada hentinya dalam Al-Quran.
Dahulu aku sendiri musykil mengapa wujudnya dua golongan yang sentiasa disebut-sebut dalam kalam-Nya,

” Bukankah hanya serupa mereka yang Muslim dengan mereka yang beriman ? ”
Kalam-Nya memberikan jawapan,

” Tidak ! ”

Golongan yang jauh sekali berbeda.
Mereka yang beriman semestinya muslim.
Tetapi bukan semua muslim itu beriman.

Ya, kerana pati keimanan itu perlu dipupuk.
Bukan hanya dibiarkan berada satu tahapan yang kita rasakan ianya seakan selamat.
Bukan hanya dibiarkan begitu sahaja meskipun kita rasakan ianya percuma.

Ketahuilah, iman itu adalah nikmat.
Nikmat yang terlampau agung hebatnya.
Bukan semua manusia merasai apa yang kita rasa.
Hanya yang terpilih.
Bukan seperti harta pusaka atau warisan yang boleh dinamakan pemiliknya semudah yang disangka.
Nama pemilik iman ini hanya ditulis oleh Allah, bukan manusia.

Iman  adalah  mutiara
Di  dalam  hari  manusia
Yang  menyakini  Allah
Maha  Esa  Maha  Kuasa

Tanpamu  iman  bagaimanalah
Merasa  diri  hamba  padanya
Tanpamu  iman  bagaimanalah
Menjadi  hamba  Allah  yang  bertaqwa

Iman  tak  dapat  diwarisi
Dari  seorang  ayah  yang  bertaqwa
Ia  tak  dapat  dijual  beli
Ia  tiada  di  tepian  pantai

Walau  apapun  caranya  jua
Engkau  mendaki  gunung  yang  tinggi
Engkau  merentas  lautan  api
Namun  tak  dapat  jua  dimiliki
Jika  tidak  kembali  pada  Allah.

Ungkapan kata yang sudah cukup aku kira untuk melambangkan nilai sebuah keimanan.
Iman adalah mutiara.
Mutiara yang berharga.

Jika dahulu, aku selesa hanya menyanyikan lagu ini seperti biasa.
Kini, aku seolah sudah dapat merasai getaran yang melanda hati seorang hamba.

Betapa penting,
hati kita ini dikuasai oleh iman.
Kerana hati sentiasa berada di antara dua jalan.
Dibolak-balikkan dalam keadaan yang sentiasa diberi pilihan.

Soalnya, terletak pada kita yang memilih.
Memilih dengan iman, atau memilih dengan kebatilan.
Hati tidak perlu dipersalahkan kerana memang itu fitrah sebuah hati.

Salahnya adalah pada kita.

Iman itu ibarat utusan dari Allah.
Yang sepatutnya sampai kepada hati.
Tetapi, alangkah kufurnya kita,
alangkah bodohnya kita,

Jika kita tidak menyampaikan utusan itu tadi pada tempat yang sepatutnya.

Lebih malang, apabila kita membuang begitu sahaja utusan itu tadi,
tanpa menyedari ada kebaikan di sebaliknya.

Imanlah penyelamat kita !
Imanlah penyegar kita !
Imanlah sumber kekuatan kita !

Iman punca kita hidup sehingga ke hari ini,
bukan sekadar hidupnya jasad, tapi hidupnya hati,
bukan sekadar bertambahnya tenaga, tetapi bertambah juga semangat.

Bertambah segalanya atas kebaikan iman berada dalam kehidupan kita.

Susah benar ingin aku menterjemahkan iman.
Mungkin senang melalui amal, tetapi sukar benar ingin menyampaikannya dalam bahasa hati.

Mungkin senang melalui kata-kata seharian, tetapi sukar benar tika mahu memuhasabah diri.

Begitulah.

Tidak dapat aku bangkitkan iman kamu semua,
carilah cara,
carilah masa,
carilah tempatnya,

Masih ada peluang buat kamu semua,
melatih hatimu menjadi rasa cinta,

Masih ada peluang buat kamu semua,
memanfaat sisa-sisa iman yang ada.

Masih ada peluang buat kamu semua,
untuk melazimi hati dengan sentuhan-sentuhan iman.

Sekian,
dariku yang terkadang tandus di hujung tanduk untuk menjaga iman.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s