pegang pada jiwa

Bismillah.

Salam dakwah buat semua.
Semoga hidup kita ini sentiasa dipayungi keberkatan dan rahmat dari-Nya, inshaAllah !

************

Getaran di jiwa tidak akan terasa selagi hati-hati manusia itu tidak ditarbiyyah untuk merasai betapa manisnya bersama dengan Al-Quran.

Melafazkannya.
Mentadabburinya.
Menghayati tafsirnya.
Mendengarkannya sentiasa.

Semua nescaya mengubat hati-hati bagi mereka yang beriman.
Manusia yang beriman, tidak dapat tidak,
hidup mereka harus cinta akan Al-Quran.

Di sebalik selakan helaian muka surat yang cukup panjang,
tanpa lelah kita menghayatinya setiap satu.

Namun, terkadang tertanya,

Adakah ianya benar-benar untuk aku ?
Mengapa seakan aku tidak dapat merasai manisnya ayat-ayat cinta ini ?
Bagaimana cara yang terbaik untuk aku mempelajarinya ?

Atau,
Cukup sekadar membacanya sahaja ?
Cukuplah sekadar ianya tersimpan dalam rak buku di rumah ?
Cukuplah sekadar Islam yang sudah ada, masuk juga ke syurga..

Inilah ayat-ayat Al-Quran yang mengandung hikmah, sebagai petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang berbuat kebaikan, (iaitu) orang-orang yang melaksanakan solat, menunaikan zakat dan mereka meyakini adanya akhirat. Merekalah orang-orang yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhannya dan mereka itulah orang-orang yang beruntung. ( 31 : 2-5 )

Keuntungan di dunia, berlumba-lumba manusia mengejarnya.
Keuntungan di akhirat kelak, seakan manusia mulai lupa.

Kerana neraca manusia yang terlalu dititikberatkan,
sehingga kita lupa neraca yang Maha Esa.

Kerana kepuasan hati dan nafsu sibuk kita penuhi,
sampai terlupa kehendak iman yang juga perlu kita isi.

Beginilah ragamnya hidup seorang manusia.
Tirai kehidupannya tidak pernah lari dari kesilapan.
Cuma banyak atau sedikit, ianya adalah konsekuensi dari hembusan iman.

Dalam kegelapan dunia yang semakin memuncak, kita diberikan suatu cahaya.
Huda wa rahmah.
Petunjuk dan rahmah ke atas hidup seluruh manusia.

Al-Quran yang telah turun sekian lamanya.
Kehadirannya telah lama menyapa hidup kita.
Namun, pernahkah kita cuba untuk menyapanya kembali,

Atau membalas kembali sapaan mesra Allah itu ?

Ya, Al-Quran adalah tanda kasih sayang dari Dia.
Tanda Dia sentiasa mengambil berat tentang kita.
Tanda Dia sentiasa wujud untuk kita.

Tanda Dia akan memberi kekuatan saat kita mulai lemah.
Tanda Dia akan memberi penyelesaian saat kita dihantui pelbagai masalah.
Tanda Dia akan memberi petunjuk saat kita mulai sangsi akan kehidupan ini.

Berkempenlah mulai dari hati kamu yang memiliki iman itu.
Iman yang akan mencorakkan keseluruhan kehidupanmu.

Muhasabah semula,
Apakah hati kamu telah merasai betapa manisnya sebuah iman itu ?

Saat mata menatap lirik-lirik cinta-Nya,
Adakah jiwa bergetar ?
Apakah refleks hati itu ada ?

Refleks yang berada pada sendi-sendi badan manusia,
akan sentiasa berfungsi normal selagi ianya tidak rosak.

Demikian juga pada refleks pada hati-hati manusia,
juga akan berfungsi normal selagi ianya sentiasa dipelihara.

Manakah hilangnya refleks hati manusia-manusia yang beriman ini ?
Pudar atau kurang bersinar ?
Lenyap atau menyorok sementara ?

Sebaiknya,
Perhatikanlah semula keadaan iman kamu itu.
Cukupkah pembinaan tarbiyyahnya ?
Cukup sudahkah makanannya ?

Iman manusia,

Menaik dan menurun.
Dihiasi pula hidup ini dengan bisikan-bisikan halus dari musuh yang nyata (syaitan).
Ditambah lagi dengan nafsu diri yang meminta-minta sentiasa.
Dunia pula seakan bersedia menyediakan segala kegembiraan yang ada.

Kala ini,
jalan apakah yang kita pilih untuk menyelamatkan senipis bawang iman yang kita ada ?
Sudahlah nipis, tidak mahu pula berusaha menyelamatkannya.

Usah memikirkan beribu kali,
Memang bahasa Al-Quran ini menyentap jiwa.

Bahasanya mampu mengubah manusia.
Bahasanya mampu menggerakkan tubuh dan jiwa.

Lihat generasi terdahulu yang menjadi terlampau unik.
Mereka menjadi golongan yang benar-benar menjadi sejarah agung.

Tahu apa rahsianya ?
Kerana mereka ditarbiyyah di dalam madrasah Rasulullah.
Madrasah tarbiyyah yang mengajar mereka untuk mendamba firman-firmanNya.
Madrasah tarbiyyah yang memberi erti penghidupan hidup kerana-Nya lebih bermakna.
Madrasah tarbiyyah yang memberi kesempurnaan itu hanya akan tercapai jika mengamalkan Islam sesyumulnya.

Sekarang, baton iu berada dalam tangan kita semua.
Baton yang bermula saat Baginda Rasulullah dipeluk kuat oleh Jibril A.S untuk membacanya.
Seterusnya, baton itu akan diberikan kepada generasi seterusnya.

Sehingga,
satu hari nanti,
Tiada lagi generasi Al-Quran.
Yang hanya tinggal adalah generasi manusia yang leka dengan dunia.
Generasi manusia yang terlalu seronok memenuhi kehendak hawa’ mereka.

Tanggungjawab kita keatasnya, tidak lagi tertunai !
Al-Quran akan menjadi hujjah kepada kita dan berhujjah terhadap kita.

Kita bukan sekadar menyinggah, malah kita harus menapakkan diri bersamanya.
Dimana ada kita, di situ ada Al-Quran.
Tidak perlu susah-susah kau bawak naskahnya,
Cukuplah kau sanjung dalam jiwa.
Cukuplah kau pegang dalam dada.

Dalam pasaran hidup kita, itulah kitab yang terlaris.

Fikirkan,
bagaimana Al-Quran akan mempengaruhi hidup anda jika anda sendiri tidak meyakininya.
Jika anda sendiri yang hanya pandang sebelah mata padanya.
Jika anda sendiri yang hanya menganggap kehadirannya ibarat deru angin yang sekadar menyapa.

**********
Wahai para dua’t,
Sungguh, Al-Quran inilah yang membina tarbiyyah ruhiyyah dan tarbiyyah rabbani dalam dirimu.

Betapa harus kau sedari,
Kebenaran itu tidak dapat untuk kau nisbahkan kepada dirimu sendiri.
Kerana kita manusia seperti manusia yang lainnya.

Nisbahkan ketaqwaan itu kepada-Nya,
kebenaran itu kepada kitab-Nya.

Tidak dapat tidak,
Keberadaan kita dalam jalan dakwah dan tarbiyyah ini berpaksi kepada Dia dan Al-Quran sebagai petunjuk.

Allah ghayatuna.
Ar-Rasul qudwatuna.
Al-Quran dusturuna.
Aj-jihad sabiluna.
Al-mautu fi sabilillah asma amanina.

Barulah,
Seluruh qalbu akan lebih tenang untuk mengorak langkah.
Seluruh semangat akan lebih tinggi untuk menempuh duri.

Latih hatimu untuk sentiasa dinaungi Al-Quran.
Julang dulu payung islam itu dalam hidupmu.

Interaksi dengan Al-Quran sepuas mungkin.
Dengan bahasanya.
Dengan basuhan kebenarannya.
Dengan kuasa penyembuhnya.
Dengan fikrahnya.

Sudah banyak benar pengalaman kita nikmati.
Sudah banyak benar langkah kita aturi.
Sudah banyak benar umur yang kita habisi.

Adunlah sebaik mungkin segalanya dengan Al-Quran yang kau akui mukjizat teragung itu.
Tanpa sedari, kita akan menghadapi bahtera kehidupan ini dengan lancarnya, penuh cahaya.

Misi kita menyanjung dakwah ini,
Inilah misi Baginda Rasulullah S.A.W,
Inilah misi generasi sahabat terdahulu,
Inilah juga misi kita,

MISI AL-QURAN !

Dan perangilah mereka itu sampai tidak ada lagi fitnah, dan agama hanya bagi Allah semata.
( 2 : 193)

Misi kita yang utama bukan sekadar mengejar cita-cita.
Misi kita misi agama !
Biarlah setiap langkah kita ini langkah yang benar-benar menuju Rabbul A’lamin !

Allah Maha Cahaya.
Beri petunjuk kepada sang jiwa.

Al-Quran adalah cahaya.
Petunjuk nyata dalam mihrab cinta.

Satu yang terbaik,
Dalam halaman mukanya,
Memukau aku untuk fikir Dia semata.

Satu yang terbaik,
Dalam setiap lafaz katanya,
Memberi nyawa cinta kepada-Nya.

Satu yang terbaik,
Dalam setiap hurufnya,
tersimpan seribu satu rahsia.

Satu yang terbaik,
Kitab teragung,
Kau sebenarnya bernyawa !

Satu yang terbaik,
Kau makanan jiwa,
memberi bahagia.

Satu yang terbaik,
Ku kan terus mencinta,
Seluas ruang hidup yang aku ada.

 

Kesimpulannya,
beri peluang kepada hati untuk lebih mengenali Dia dan kitab-Nya.

Jalan lurus adalah jalan yang mesti ditempuh.
Salah satu cara untuk berpaut padanya adalah dengan bergantung pada kalam-Nya.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s