mencetak jiwa seorang daie

Bismillah.

Salam dakwah buat semua.
Semoga sentiasa berada dalam rahmat dan kasih sayang-Nya, inshaAllah !

Sahabat sahabiah dakwahku,
Mengertilah bahawa dalam mencetak jiwa seorang daie itu memerlukan satu kekuatan dalaman yang amat luar biasa.

Tulusnya dalaman sehingga mampu untuk menggerakkan tenaga fizikal kita dari lebih yang mampu.
Kerana kerja dakwah ini, fitrahnya memang susah dan payah.
Mengambil masa sehingga terasa seperti tidak kecukupannya.

Hinggakan, mungkin sahaja satu hari nanti,
dakwah meminta nyawa diri kita sendiri.

Realitinya,
dalam kepayahan kita berjalan tanpa henti dalam jalan ini,
Kita dinyalakan dengan satu sumber tenaga yang menyimpan seribu rahsia.

Tarbiyyah yang sebenar-benar tarbiyyah adalah,
TARBIYYAH YANG MEMBINA KITA MENJADI SEORANG INDIVIDU MUSLIM YANG MAMPU MENGGERAKKAN AGAMA INI.

Dalam erti kata lain,
Kitalah yang melagukan lirik-lirik dakwah kepada telinga-telinga pendengar,
Kitalah yang melukis dakwah pada kanvas-kanvas hati manusia yang kosong,
Kitalah yang meneriakkan laungan-laungan dakwah di setiap tempat yang dihuni manusia.

Apa yang ingin saya jelaskan adalah,
Betapa tarbiyyah ruhiyyah membina jati diri seorang daie.

Tarbiyyah ruhiyyah yang merencana perjalanan iman dan taqwa.
Seterusnya, menjadi konsekuensi kepada hati-hati dua’t  yang teramat kuat terikat dengan Rabbnya.

Inilah kita mahukan.
Jiwa para dua’t yang kuat bekerja.
Pada siang mahupun malam.
Siang seolah peluang terakhir untuk membuktikan dialah hamba yang paling terbaik dalam berusaha.
Malam dengan bersungguh  dia mendapatkan cinta.

Jangan kerana kita sibuk bekerja pada siang hari,
Penatnya sehingga kita membuat keputusan untuk rehat sepenuhnya pada malam yang gelita.
Walhal, hentian rehat yang terbaik adalah bila kita berbual mesra bersama Dia.

Hakikatnya,
keadaan fizikal manusia memang akan senantiasa penat.
Memenuhi tanggungjawab sebagai seorang hamba dan khalifah.
Dan kerana kepenatan yang amat sangat inilah,

kau harus bergantung sepenuhnya kepada ruhiyyah sebagai satu bekalan yang berpanjangan.

Bekalan ruhiyyah menjadi inspirasi untuk kita terus bergerak.
Bekalan ruhiyyah menjadi pusat pancaran rohani.
Bekalan ruhiyyah menjadi tempat bimbingan tarbiyyah diri.
Bekalan ruhiyyah membangkitkan naluri batin seorang daie.
Bekalan ruhiyyah menjadi motor yang utama untuk merasa sensitif dengan bebanan dakwah.
Bekalan ruhiyyah yang menjadi pembimbing dalam mengorak langkah dalam jalan yang lurus ini.
Bekalan ruhiyyah yang akan menjadi penasihat andai satu masa didatangi kelalaian atau salah jalan.

Kita bukan hanya sekadar bekerja sehingga ke tahap ini,
Malah sehingga sampau ke satu tahapan yang kita sendiri tidak pasti bila pengakhirannya.
Dan sepanjang perjalanan ini, akan timbulnya penyimpangan , keruntuhan dan kehancuran.

Kerana daie juga akan diduga seperti manusia yang lainnya.
Dan untuk menepis halangan itu perlukan cambahan ruhiyyah yang amat subur dalam jiwa.

Taqwalah menjadi penerang tika sekeliling menjadi gelap dan kelam.
Imanlah yang menjadikan jalan lurus ini terbentang luas dan lebar.
Taqwalah yang menjadikan hati tenteram meskipun kelam-kabut menghiasi kehidupan.

Sebenar-benar ketenangan itu datangnya dari kuatnya pergantungan kita kepada Allah.
Sebenar-benar suci hubungan itu datangnya dari betapa bersungguh seseorang itu memelihara janji antara dirinya dengan Allah.

Maka,
kau carilah seberapa banyak jalan untuk kau mencapai tahapan taqwa yang tertinggi,
kau berusahalah bersungguh untuk mengecap nilai iman yang paling manis.

Inilah sebenar-benar motivasi dakwah buat seorang daie.
Kekuatan ruhiyyah yang membangun kejayaan buatnya.

Biar kita dihentam sehebat mana, kita masih ada kubu yang tersergam megahnya.
Biar kita ditembak berjuta das peluru derita, kita masih ada baju besi yang kebal hebatnya.

Di tengah ombak masyarakat ini, kau perlu menyelamatkan diri !

Inilah bekal tersebut dan persiapan perjalanan….bekal ketaqwaan yang selalu menggugah hati dan membuatnya selalu terjaga dan waspada, hati-hati, serta selalu dalam konsentrasi penuh…Bekal cahaya yang menerangi liku-liku perjalanan sepanjang mata memandang. Orang bertaqwa tidak akan tertipu oleh bayangan semu yang menghalangi pandangannya yang jelas dan benar…Itulah bekas penghapus segala kesalahan, bekal yang menjanjikan kedamaian dan ketenteraman, bekal yang membawa harapan atau kurnia Allah, di saat bekal-bekal lain sudah sirna dan semua amal tidak lagi berguna.

(Syed Qutb Rahimahullah)

 

Hanya hati dan nurani yang tidak menyambut seruan kebenaran,
Perdebatan yang membahaskan isu yang sia-sia,
Sibuk mendiskusikan tajuk-tajuk yang terleka,

adalah hakikat hati yang tiada ketaqwaan.

Kini, sudah jelaskah betapa ketaqwaan dan keimanan ini terlampau penting ?

Saudara dan saudari daie sekalian,
Janganlah kau membiarkan diri kau cukup mudah goyah dengan suasana,
Janganlah kau mudah insan lain menunggang-langgang prinsip yang sedia ada,
Janganlah kau sibuk berbual dan memperkata tentang perkara yang sia-sia,

Sebaliknya,
Carilah cara untuk merasai kesertaan bersama Allah,
Introspeksi diri untuk kalkulasi diri sama ada semakin meningkat atau mencorot,
Bermua’qobah (denda diri sendiri ) dengan jujur tanda kau benar-benar serius dalam amal pembinaan diri,
Bermujahadah melatih keaktifan diri untuk menumpaskan kemalasan.

Iman dan taqwa akan sentiasa melatih kepekaan jiwa.
Kepekaan kau terhadap keadaan ummah yang kian menakutkan,
Kepekaan kau terhadap masalah-masalah dakwah.

Langsung, kepekaan inilah yang akan melahirkan satu anjakan paradigma yang memuncak.
Akan memberi semangat untuk kau terus membina manusia.
Akan memberi kau semangat untuk kau terus mengislah ummah.

Kau lihat manusia yang sebelum ini amat terbilang,
Mereka menggegar dunia ini dengan kekuatan iman dan taqwa yang mereka ada.
Dengan dakwah, mereka berjaya mengembalikan Islam itu pada puncak yang tertinggi satu ketika dahulu.

Inilah nisbah kebenaran.
Bukan pada orangnya, tetapi pada iman dan taqwanya.
Selagi kau bertaqwa, jalan lurus sentiasa tersedia.

Barangsiapa bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangka. (Ath-Thalaq : 2-3)

 

Buat kesekian kalinya,
Aku ingin berpesan sekali lagi,

Wahai dua’t sekalian alam,
jadilah daie-daie yang rabbani,
yang benar-benar jujur dan ikhlas,
carilah cara yang benar-benar membantu untuk capai ketinggian rohani,
pabila kau berjumpa,
kau amalkan, kau jalankanlah sebaiknya,
dan kini yakinlah,
bila mula meniti anak tangga,
kejayaan pasti tiba.

Sebuah puisi untuk semua,

Kristal jernih,
bersinar-sinar menyampai cahaya,
terlihat dari telaga,
bertempat di dasarnya.

Kristal jernih,
mahal atau murah,
bergantung pada pasarnya,
istimewa atau tidak,
terserah pada pemiliknya.

Kristal jernih,
kau dibentuk cantik,
furqan menjadi acuan,
tarbiyyah menjadi jalan.

Kristal jernih,
kau menjadi tanda,
andai terbilang,
aku pasti menang. 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s