biar kejernihan itu di muaranya

Bismillah.

Salam dakwah saya ucapkan buat semua. Salam ukhuwwah fillah.

Kesekian kalinya, saya sendiri merindui untuk menulis dan melihat komen-komen yang membina daripada kamu semua.
Namun, masa dan aktiviti sentiasa meminta-minta komitmen.

Ternyata, kita ini hidup kerana kita adalah harapan ummah.
Jangan biar mereka membunuh kita begitu sahaja.
Biar sahaja dunia kita hancur, tapi bukan akhirat kita.
Bayarlah segala hutang, tunaikanlah segala janji kepada alam semesta ini dengan seruan dakwah selagi mampu !

*********
Kita menyandarkan cinta kepada jalan dakwah ini demi menggapai redha-Nya. Kita memberi cinta kepada Dia yang Maha Ahad kerana kita yakin cinta kepada-Nya adalah cinta yang paling suci dan abadi, cinta yang kekal.

Namun, dalam perjalanan cinta ini,
Tidak pernah seindah bicara.
Terkadang mampu membuatkan kita teragak-agak untuk mengatur langkah. Penuh onak dan duri inilah yang harus kita tempuhi.

Habis berjalar perasaan dalam hati.
Sayang atau benci.
Mahu teruskan berjalan atau berhenti.
Masih segarkah cintanya atau telah pun hilang.
Yakin ataupun tidak.

Saat ini,
Tanyalah pada hatimu,

Apakah tunjang sebenar imanmu.
Apa obsesi sebenar jiwamu.
Apa perkara sebenar yang menghalang cintamu itu.

Misteri seorang hamba terletak pada sejauh mana hubungan dengan tuannya. Misteri seorang daie terletak pada sejauh mana kekuatan dan keyakinannya untuk terus menggalas beban dakwah ini.
Betapa misterinya kehidupan ini.

Dan misteri ini terungkai dalam saat kita bersujud pada malam yang gelap-gelita.
Kita buka bicara segala.
Segala air mata mengalir di pipi.
Aduan demi aduan kita adu.
Masalah demi masalah kita ceritakan.
Maka, terlerailah misteri di alam yang fana ini.

Ini bukan lagi cinta yang biasa-biasa.
Dalam istana cinta yang kita bina,
Penuh dengan permata-permata iman yang menghiasi.
Penuh dengan emas-emas taqwa yang menggamit pandangan.

Wahai para pejuang agama Allah,
Wahai penegak seruan kebenaran,
Alirkan sungai dakwah ini dengan kegembiraan hatimu sendiri tanpa mengharapkan kegembiraan datang dari hasil dakwahmu,
Tongkahlah segala badai yang datang menggelorakan jiwamu,
Jadilah seperti rajawali yang tidak pernah putus semangatnya,
Pertahankan imanmu,
Pertahankan ketabahan yang ada,
Percayalah pada Tuhanmu yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang itu,

Segala telah tertakdir di Luh Mahfuz sejak kau belum lahir ke dunia ini lagi, Kegembiraan dan kesedihan inilah yang menghiasi cerita hidupmu,
Meskipun kita tidak pernah menempah untuk diduga,

Yakinlah,
Itulah yang terbaik buatmu dari Tuhanmu yang Maha Lembut.

Luka yang berdarah itu memberi banyak pengajaran.
Ada hikmahnya.

Lukiskan senyuman semampumu dan menangislah sepuasnya.
Biarkan hidup ini jenuh dipalu tapi yakin akan kemenangan yang bakal mendatang.
Kau bukan keseorangan secara fitrahnya,

Saat rakan-rakan tiada menemani,
Kau masih ada Dia yang memahami segalanya,
Kau masih ada Dia yang Maha Kuat,
Kau masih ada Dia yang Maha Menjawab segala permintaan,
Kau masih ada Dia yang Maha Mendengar dan Melihat,
Kau masih ada Dia yang Maha Mengetahui.

Kau tahu,
Masih ada berjuta mimpi yang boleh kau angankan,
Masih luas lagi lautan hatimu untuk kau kembali bernyawa,
Masih ada lagi kesempatan waktu untuk kau membuktikan cinta.

Cinta ini yang memberi erti kepada sebuah kehidupan.
Tika kau dilanda kerumitan, cinta yang kembali menjernihkan.
Tika kau dilanda kerungsingan, cinta yang kembali menenangkan.
Tika kau dilanda kesedihan, cinta yang kembali membahagiakan.

Realiti dugaan, ia akan terus datang dan pergi,
Realiti manusia, tiap seorangnya adalah dugaan buat yang lain,
Realiti usaha, ada yang gagal ada yang berjaya.
Jika kau tidak hadapi dan cuba belajar dari realiti ini,

Kau seolah tertinggal dalam memahami hakikat sebuah muara kehidupan. Dan kehidupan dunia ini, hanyalah permainan dan senda gurau.

Sedangkan negeri akhirat itu SUNGGUH LEBIH BAIK bagi orang-orang yang BERTAQWA ? Tidakkah kamu mengerti ? (6 : 32 )

Tahu pengertian sebenar terbang tinggi ?
Kau melebarkan sayap seluas mungkin.
Kau terbang setinggi mungkin.
Bermulanya dengan langkah yang perlahan.
Kian laju dan kian maju.
Menikmati setiap deru angin yang cuba menghalang.

Kau tidaklah terlalu gagah,
Tetapi tidaklah terlalu lemah,

Kagumnya, kau terus belajar untuk menjadi gagah,
Dan kau belajar untuk mengubati kelemahan.

Kita mengejar satu keharmonian yang abadi.
Tiada duka yang abadi melainkan di akhirat sana saat mulut kau terkaku menjawab segala soalan-Nya.

Pastinya, tiada duka di dunia yang akan terus merantai.
Pastinya, tiada sepi yang akan senantiasa sunyi.

Siang dan malam juga berganti,
Pepohonan juga hidup dan mati,
Takdir hidup yang dijalani menjadikan kita seorang hamba yang bersifat dengan sebenar-benar  rasa kehambaan.

Waktu tidak pernah berhenti,
Seisi langit menantikan usaha kita sebagai khalifah untuk terus menegakkan agama Allah ini.

Matahari dan bulan terus bergilir, jauh sekali mampu untuk kita ulangi, Bangkitlah,
Pulangkan semula apa yang telah kita terbuang begitu sahaja.

Jalankan dengan bersungguh apa yang telah tergalas atas bahu.
Jangan biarkan fikiranmu kabur, terhenti pada halangan yang datang menduga.

Teruskan berfikir untuk mencipta fenomena baru untuk dakwah ini,
simfoni kehidupan menjadi peneman diri,
jangan pudarkan warna kerana dipadam kejam,
teruskan melukis dengan pensel yang diberi.

Dugaan bukan datang untuk mengguris,
Bukan juga untuk mengajar kita menyimpan api dalam sekam,
Bukan juga untuk melemahkan kita.

Dugaan datang untuk meningkatkan iman.
Dugaan datang untuk menyerikan hidup seorang daie.
Dugaan datang untuk mendekatkan kita dengan Dia.

Para anbiya’ terdahulu telah penat berjuang selama beratus tahunnya,
Ada dalam kalangan mereka dihina teruk oleh kaum sendiri,
Sehingga kaum mereka menutup telinga tidak mahu lagi mendengar,
Dakwah mereka bertepuk sebelah tangan !

Seperti mana Nabi Nuh A.S mengadu kepada Allah,
Sewajarnya seperti itu juga kita.
Seperti mana bersungguhnya doa Rasulullah buat ummatnya,
Sewajarnya seperti itu juga kita.

Nabi mana yang tidak diuji untuk melihat keteguhan iman mereka ?
Daie mana yang tidak diduga untuk dinilai sejauh mana keikhlasan mereka ?

Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, ” Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji ? ( 29 : 2 )

Pastinya,

Dan aku tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu, imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam. ( 26 : 109 )

Kita berusaha untuk menjadi daie yang benar-benar ikhlas.
Tiada agenda yang tersorok.

Hanya semata mengejar redha Ilahi.
Hanya semata menegakkan apa yang sepatutnya tertegak.
Hanya semata menunaikan tuntutan iman.

Tiada tawar-menawar dalam aqidah.
Tiada kompromi dalam menunaikan kemahuan yang kuat.
Tidak dapat tidak, kita tidak boleh lagi mengelak !

Untuk Dia,
Demi Dia,

Dia yang memberi harapan,
Dia memberi keizinan untuk terus bermimpi.

Kita sanggup berbuat apa saja.

Kita tidak lagi buta,
Kita tidak lagi pekak,
Kita tidak lagi bisu,

Perhatikan seisi dunia yang sibuk menunaikan perintah Allah kepada mereka.

Hadiah dariku sebuah puisi indah,

Ada sekuntum ros suci,
di puncak cinta sebuah gunung,
Daya aku mendakinya,
Kesungguhan aku mendapatkannya,
Kerna ros itu hanya,
Sungguh sebelum aku mati,
Tetap demi ia,
Takkan pernah aku sesali.

Andai aku sempat tiba,
Ros menanti mesra,
Dengan kemerahan yang menyala,
aku mahu ia faham,
Betapa aku ini mencintai.

Fahamilah rencana Ilahi,
Susunan terancang yang penuh teliti.
Bukan permintaan diri tapi keperluan peribadi,
Dari Dia yang Maha Mengetahui.

Hujan lebat datang melanda,
Sememangnya membasahkan,

Tapi ia memberi kesuburan,
Pelangi selepasnya menjadi hiasan.

Advertisements

One thought on “biar kejernihan itu di muaranya

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s