personaliti kita

Bismillah.

Salam ukhuwwah fillah buat semua.
Semoga nikmat Allah yang tidak putus berkunjung kepada kamu, tidak pernah kamu lupa untuk mensyukurinya.

Muhasabah kembali, sepanjang keberadaan di atas muka bumi ini, apakah perubahan terbesar yang telah kita buat kepada diri kita sendiri dan ummah ini.

*******
Terjun terus kepada kesimpulan,
Dakwah banyak membentuk personaliti kita sebagai seorang manusia.

Apa itu personaliti ?
Personaliti itu pada takrif  yang sebenar adalah satu set karakter tertentu yang ada pada diri seorang manusia.

Persona (perkataan Latin) membawa maksud topeng.
Sebut satu sifat, orang lain akan mengenal diri kita yang sebenarnya.
Dengan topeng inilah, kita mudah menterjemah diri sendiri.

Mengapa kita diberi personaliti ?
Kerana hidup seorang manusia ini memerlukan identiti.
Atau dengan kata lain, kita memerlukan satu tapak asas diri kita sendiri.
Dan tapak asas itu adalah personaliti kita !

Personaliti ini kita bentuk sejak kita lahir tanpa kita sedari.
” Begini rupanya diri aku yang sebenar.”

Ilmu psikologi tentang personaliti manusia giat dibangunkan.
Kini, kita seolah berkiblatkan ilmu itu lebih dari petunjuk yang telah Allah berikan kepada kita.

Atau kita lebih berfokus kepada teori membina personaliti, bukan tertumpu kepada apa yang mahu kita capai.

Seperti mana unsur tarbiyyah yang bukan sahaja bermain dengan teori, tetapi bermain juga dengan seni dan pengalaman.

Teori memberi kita ilmu tentangnya.
Seni memberi cara untuk kita memberi daya tarikan.
Pengalaman memberi kita kematangan.

Bila disimpulkan ketiganya sekaligus, akan melahirkan personaliti daie yang sukses.

Dengan seni-seni tarbiyyah, kita boleh membentuk personaliti atau karakter daie yang lebih unggul.

Sebagaimana kita cuba membentuk mutarabbi-mutarabbi binaan kita, seperti itu juga kita harus berusaha membentuk personaliti diri kita sendiri !

Personaliti kita bersaksikan lafaz dua kalimah syahadah.
Dua aturan ayat penyaksian kepada kebenaran.
Ketika inilah, personaliti kita yang sebenar  terbentuk.

Personaliti  seorang hamba.
Personaliti  seorang khalifah.
Personaliti  seorang a’bid.
Personaliti seorang daie.

Islam datang sebelum personaliti.
Bukan personaliti mengaburkan kebenaran yang teselindung.

Ramai yang berfikir, bila sebut sahaja tentang personaliti,
akan tergambar satu gambaran yang kelihatan gah,
penuh dengan populariti yang meninggi.

Tidak.
Personaliti adalah hak milik peribadi seorang manusia.
Tidak hairanlah manusia di sekelilingnya mengenali dia atau tidak,
Tidak kisahlah manusia di sekelilingnya menyanjungi dia atau tidak,

dia berhak mempertahankan personaliti dirinya sendiri !

Mengapa saya berkata begini ?
Kerana saya fikir, personaliti adalah gaya hidup seorang manusia.
Personaliti yang berbeza-beza membuatkan kita lebih teruja untuk mengenali seribu satu jenis manusia.
Ada yang begini, ada yang begitu.

Jika ditanya satu soalan,
” Apa yang anda buat bila marah ? ”
Bermacam jenis jawapan akan kita terima sehingga mampu buat kita tersenyum.

Betapa, Allah itu Maha Bijaksana.
Betapa, ciptaan Allah itu Maha Hebat.
Betapa, uniknya manusia !

Ketika inilah, betapa pentingnya tarbiyyah mencorakkan personaliti diri.
Ada yang berubah dengan perubahan yang mendadak.
Ada yang berubah sedikit demi sedikit.
Namun, apa yang paling saya kagumi adalah,
Personaliti mereka kini dibina atas tapak asas yang sama, iaitu Islam.

Tarbiyyah membina siapa diri kita yang sebenarnya.
Kerana, tanpa tarbiyyah manusia itu mudah sekali lupa akan asal-usul dirinya sendiri.
Tanpa tarbiyyah, diri manusia itu tidak berprinsip, atau prinsipnya seperti lalang yang mudah ditiup angin.

Dengan tarbiyyah, kita sering diingatkan.
Dakwah menjadi kehidupan kita yang paling utama.
Maka, daie itu adalah personaliti kita yang utama.
100 peratus.

Inilah sebenar-benar personaliti.
Personaliti yang berteorikan kebenaran,
berpaksikan kepada Tuhan yang Maha Ahad.

Dalam membina personaliti seorang daie, jangan sesekali kau berharap,
Kau akan terkenal,
Kau akan mendapat pangkat dan darjat.

Apa yang kau dapat,
Tidak seindah yang disangka.
Mungkin, manusia bertambah pelik melihat usaha kau mempertahankan hukum-hukum agama.
Mungkin, manusia akan bertambah hairan melihat semangat kau memperjuangkan dakwah.
Mungkin, manusia akan menghalang kau sewaktu kau membina manusia.

Kini, personaliti manusia bertambah uniknya.
Maka, tidak hairanlah kepala kita semakin pening memikirkannya.
Berfikir cara untuk menjadikan mereka seperti kita.
Membina personaliti Islam dan seterusnya tingkatan personaliti itu meningkat kepada personaliti sebagai seorang daie.

Kerana itulah satu kesimpulan dapat saya buat.
Membina manusia ini sangat susah.
Teramat susah.

Kita sedang membebaskan diri mereka dari penjara yang tidak kelihatan.
Kita sedang membersihkan fikrah mereka dari pemikiran-pemikiran jahiliyyah yang telah lama terperangkap dalam akal fikiran mereka.
Kita sedang berusaha memperbaharui semula personaliti mereka.

Khususnya,
Kamu para dua’t,
harus mempunyai personaliti.

Personaliti itu yang akan mencerminkan dakwahmu.
Personaliti itu yang akan mencerminkan hasil tarbiyyah yang bertahun kau dapat.

Dan, dengan personaliti inilah manusia akan mudah jatuh hati padamu.
Pernah satu ketika, murabbiyyah saya menerangkan,

” Betapa dakwah kita ini mesti SUCI ! ”

Kemudian saya mengajukan satu soalan buatnya,

” Bagaimana pula jika kesucian dakwah itu diragut oleh orang lain ? ”

Namun, jawapan salah seorang ukhti ketika itu,

” Nahnu nuqatil bil hubb.”
Kami membunuh dengan kasih sayang.

Mendengar jawapan beliau cukup membuatkan saya tersentak.
Sejujurnya, ketika itu baru saya faham dengan sebenar-benar kefahaman mengapa dakwah ini adalah dakwah hati.

what comes from heart, goes to the heart.

Inilah personaliti daie yang paling suci.
Penuh dengan kasih dan sayang.
Kita menyerang manusia dengan ikatan hati.
Kita menembak manusia dengan paduan kata-kata cinta.
Kesemuanya, kita iringkan dengan keikhlasan semata kerana Allah.

Wajarnya, personaliti seorang daie dan antara daie yang lain itu berada dalam satu acuan.
Satu acuan yang faham akan gerak kerja dakwah.
Satu acuan yang sentiasa berkobar untuk menang.
Satu acuan yang membolehkan kita bercakap pada frekuensi bahasa dakwah dan tarbiyyah yang sama.

Betapa penting,
Untuk manusia mengenali kita sebagai seorang yang berpersonalitikan Islam.
Bukan dilabelnya kita dengan nama wadah kita terlebih dahulu.

Mari, perbaharui personaliti diri yang anda punyai sekarang.
Segarkan kembali dengan nafas iman.
Harumkan dengan haruman-haruman tarbiyyah.

Lihat generasi-generasi terdahulu.
Betapa hebatnya personaliti mereka.
Betapa hebatnya penangan iman dan tarbiyyah ke dalam jiwa-jiwa mereka.

Zaman ini,
Mana hilangnya seorang manusia personalitinya seperti Saidina Umar Al-Khattab ?
Mana perginya seorang manusia yang personalitinya tidak ubah seperti Salahuddin Al-Ayubi ?

Kamu tahu, golongan mereka ini tampak hebat kerana apa ?
Kerana merekalah generasi Al-Quran.
Berpegang teguh kepada kebenaran.
Mereka ini khazanah yang teramat berharga selepas disentuh dengan tarbiyyah Rasulullah S.A.W.

Sudah tentu, seorang daie itu menyimpan anganan untuk duduk bersama Rasulullah dan para sahabat di syurga kelak.
Namun, muhasabah diri kembali,
Apakah kita berusaha untuk berpersonaliti sebagaimana mereka ?

Dua’t sekalian,
fikirkan semula !

Binalah personaliti kau sehebat mungkin sebelum kau membina personaliti manusia yang lain.

Jangan sentiasa memandang kepada orang-orang hebat sahaja sehingga kau terasa tenggelam dengan personaliti diri kau sendiri.
Ayuh, jadi diri sendiri.

Jadi hina pada manusia yang lain,
tetapi hebat pada penghuni-penghuni langit sana.

We want to impress Him not him.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s