bila cinta itu mula menjauh

Bismillah.

Salam dakwah buat semua.
Lamanya, kita sudah menapak cinta dalam jalan dakwah dan tarbiyyah ini.
Sekian lama, kita berseronok dengan ragam dalam jalan ini.
Apakah cinta itu akan menjauh satu hari nanti ?

*****

Apabila cinta mula menjauh,
Pabila menyebut tentang dakwah,

Hati kita tidak lagi bergetar.

Apabila cinta mula menjauh,
Pabila disuruh berfikir tentang masalah dakwah,

Kepala kita akan mula serabut.
” Mengapa perlu aku yang berfikir tentang ini ? ”
” Banyak lagi yang perlu aku fikirkan tentang diriku sendiri.”

Apabila cinta mula menjauh,
Pabila diajak untuk menghayati tarbiyyah,

Kita akan mula berasa bosan dan jemu.

Apabila cinta mula menjauh,
DAIE ITU AKAN MUDAH PENAT !

Ya, saya memang suka membayangkan keadaan-keadaan ini untuk para dua’t yang bertaut cinta kepada jalan dakwah ini.

Kerana seorang daie memang perlu kepada cinta.
Cinta yang jelas.
Cinta yang padu dengan ungkapan-ungkapan, ” Ya, aku akan senantiasa setia padamu.”

Tatkala kita mula lemah,
carilah semula hatimu,
letakkan semula cintamu.

Begitulah.
Kerana masa diambil memang lama.
Kerana tenaga yang diguna memang banyak.

Mengapa perlu semula mencari hati ?
Hati tempat letaknya segala permulaan semangat dan perasaan kita terhadap sesuatu.
Hati seolah seperti punca tenaga yang tidak terlihat pada banyak voltannya.

Dan di kala inilah, cari semula hati kamu yang mungkin sahaja tercicir di satu tempat tatkala kau terlalu sibuk bekerja.
Bila hati itu tanpa sedar telah kita tinggalkan di mana-mana, maka akan terhasillah satu gerak kerja yang kosong.
Satu gerak kerja yang lahir hasil dari arahan, bukan lagi atas dasar keikhlasan.

Cari semula hati kamu.
Dan tentukan keadaan hati kamu.
Sama ada sedang tenat atau sudah mati.

Hati yang masih bernyawa atau sudah terhijab dari segala-galanya.
Hati yang masih mahu akan tarbiyyah atau hati yang sudah bosan dengan tarbiyyah.
Hati yang masih cintakan dakwah atau hati yang sudah penat dengan dakwah.

Saya tidak risau jika halangan itu datang dari luaran kerana itulah realiti jalan dakwah ini.
Tetapi, teramat risau jika halangan itu datang dari dalam diri kamu sendiri.

Kamu, para dua’t,
Hati kamu adalah jagaan diri kamu sendiri.
Hati kamu adalah pegangan diri kamu sendiri.
Hati kamu adalah penentu diri kamu sendiri.

Sekarang kamu mengerti sejauh mana pentingnya hati ?
Penting dari nyawa kamu.
Kerana jika nyawa kamu mati, kamu akan menjadi sebenar-benar mayat.
Tetapi jika HATI kamu yang MATI, kamu akan menjadi seolah mayat hidup.
Bernyawa tapi mati.
Berisi tapi kosong.

Dan, betapa pentingnya hati itu perlu sentiasa ditambah dan diisi dengan cinta.
Dan cinta inilah yang akan menggerakkan hati kita.
Memberi tafsiran kepada apa jua yang terlihat.

Percayalah, hati yang bahagia dengan cinta akan menjadikan hidup pemiliknya berterusan bahagia.
Jika cintanya hanya kepada dunia, maka bahagianya hanya di dunia.
Jika cintanya kepada akhirat, maka bahagianya di akhirat sana.

Getaran cinta yang bermula dari hati, itulah yang paling bermakna !
Cinta yang tiada, perlu dicari.
Cinta yang sudah ada, jangan dibazirkan.

Cinta yang membazir adalah cinta kepada selain Allah.
Kata Ibnu Qayyim Al-Jauzi,

Ada 9 pembaziran yang sering dilakukan manusia iaitu:

Ilmu pengetahuan
Membazir jika tidak diamalkan untuk jalan kebaikan.

Amalan 
Membazir jika dilakukan tidak dengan hati yang ikhlas.

Kekayaan 
Membazir jika dibelanjakan pada perkara yang tidak bermanfaat dan tidak diredai Allah.

Hati 
Membazir jika kosong daripada kasih kepada Allah.

Tubuh badan
Membazir jika tidak digunakan untuk beribadah kepada Allah.

Cinta
Membazir jika dicurahkan kepada selain Allah atau melebihi cinta kepada-Nya.

Masa 
Membazir jika tidak diurus sebaiknya.

Akal 
Membazir jika tidak memikirkan sesuatu yang bermakna kepada agama.

Zikir
Membazir jika tidak memberi kesan kepada hati.

 

Aku tahu, para dua’t telah terbiasa dengan istilah cinta.
Dek kerana mereka telah terlalu biasa, maka kesedaran tentang cinta hilang tanpa sedar.
Inilah keadaannya ketika cinta itu mula menjauh.

Puncanya, ketika kau bercinta, kau tidak menghayati sepenuhnya.
Mungkin kau telah menabur cinta, tetapi kau tidak pernah untuk mencambah cinta.
Mungkin kau telah berjanji itu dan ini, tetapi kau tidak pernah tunaikan.
Mungkin kau telah memberi cinta, tetapi kau hilang keikhlasannya.

Bila cinta itu mula menjauh,
Segala kata cinta tidak akan didengari,
Segala sahutan cinta tidak akan lagi diendah.

Ketika inilah,
Para dua’t,
Kau kembali kepada Sang Pemilik Hati, yang Maha Membolak-balikkan hati.
Kau bersujud kembali di atas sejadah atas dasar meminta-minta supaya cinta itu dikembalikan kembali.

Kerana aku tahu,
Kau sedang lemah sebenarnya walaupun kau cuba untuk mencipta senyuman keperitan itu.
Sehingga terkadang aku sendiri tidak pasti,

Apakah kau sudah benar-benar sembuh atau pura-pura sembuh ?

Ketahuilah, senyuman tanpa cinta itulah senyuman terpahit.
Pengorbanan tanpa cinta itulah pengorbanan sia-sia.
Bekerja tanpa cinta itulah kerja yang hambar.

Bersyukurlah,
Kerana hati kita adalah hati seorang manusia.
Hati yang mampu memandu.
Hati yang sentiasa diberi pilihan.

Maka pilihlah, sama ada untuk berterusan menikmati keadaan cinta itu sebenarnya semakin menjauh atau mencari alternatif  untuk me’nyawa’kan kembali cinta itu.

Sungguh, istimewa sekali hati seorang manusia.
Hati tempat menyimpan segala rahsia.
Namun, ingatlah, rahsia itu tidak mampu kau selindungkan dari Dia yang Maha Mengetahui.

Luahkan segalanya apa yang kau rasa pahit,
Apa yang kau rasa cukup memenatkan,
Apa yang kau rasa sudah membosankan,

Luahkan.
Kongsikan dalam bicara kamu bersama pendampingmu yang Maha Agung itu !

Berkomunikasi sedekat mungkin.
Batasan hamba dengan tuan tidak pernah jauh.
Malah, itu yang paling dekat.
Pengabdian kita bukan hanya tertakluk kepada betapa kita perlu melaksanakan segala perintah-Nya.

Malah, pengabdian kita adalah terletak kepada sejauh mana kita berserah kepada-Nya.

Dia tempat meminta segala sesuatu.
Hayati dalam-dalam kata segala sesuatu itu.
Dari sekecil-kecil benda kepada sebesar-besar benda.
Mintalah sepuasnya !

Minta supaya diri kau kaya dengan cinta.
Minta supaya diri kau bergerak dengan cinta.
Minta supaya diri kau ini penuh dengan cinta.

Kerana kita menyintai Allah, kita menyintai dakwah.

Inilah prinsipnya.
Aku tidak mahu berbicara lebih.
Kerana segala usaha terletak pada dirimu.

Ingatlah, diri kita akan diadili berdasarkan apa yang kita diberi kebebasan untuk memilih.
Sebelum kau diadili-Nya, kau adililah dan muhasabahlah diri kau sendiri.
Sebelum kau ditanya, kau tanyalah pada diri kau sendiri.

Cukup ini sebagai muhasabah untuk pada hari ini.
Semoga kita menjadi para dua’t yang terus menggegar dunia dakwah ini dengan cinta !

Biar cinta manifestasi segala.

~the power of love conquer everything~

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s