aku sudah penat

Bismillah.

Salam dakwah buat pembaca yang teramat saya hargai.
Sudah sekian lama saya meninggalkan ruangan ini kerana ada keutamaan yang lebih utama yang perlu diselesaikan.

*******

Ya, aku sudah penat dan lelah berada dalam jalan ini.
Segalanya telah aku perbuat demi menjaga kesucian agama ini, namun tidak terlihat hasilnya.
Aku bergerak dan terus bergerak.
Tetapi bergerak dengan jiwa kekosongan yang telah kehilangan cinta kepada dakwah yang selama ini aku cinta kepadanya.

Beginilah jiwa seorang dua’t.
Sentiasa dibuai dengan perasaan yang terkadang hilang kestabilannya.
Stabil untuk senantiasa menyintai apa yang patut dia cinta.

Dan sewaktu inilah, analisis cinta perlu dibuat semula.
Siapa yang dia cinta.
Sebab yang kukuh untuk dia mencinta.
Tummuhat tertinggi sebagai seorang pecinta.
Bila masa patut dia menterjemahkan cinta.
Tempat yang sepatutnya dia mempamerkan cinta.

Paling penting, dia perlu mengenal pasti siapa orang ketiga yang akan membuat kacau dalam sebuah perjalanan cinta.
Jika ini tidak didiagnosis dari awal,
Kerana itulah rasa cinta akan mudah hilang.
Mudah lenyap, mudah untuk mengalih arah cinta kepada yang lain.

Kerana itulah, para dua’t selalu bosan dan penat dalam menghayati cinta.
Cinta kepada kebenaran kerana kita yang memerlukannya.
Cinta yang beralasankan keredhaan Allah dan memang itulah yang Dia tuntut dari kita (mengejar redha-Nya).
Cinta yang membawa ke syurga, cinta yang tidak kehilangan di tengah jalan.
Cinta yang meminta setiap masa, tempat dan keadaan kita.

Inilah cinta kepada jalan dakwah yang sebenarnya.
Cinta ini bukan cinta biasa.
Cinta ini memerlukan seorang daie yang sangat setia pada janjinya.
Cinta ini memerlukan seorang daie yang sangat berjiwa tadhiyyah untuk agama-Nya.

Inilah cinta yang hakiki.
Cinta yang menyediakan kita untuk berhadapan dengan Yang Maha Kaya dengan cinta.
Cinta yang bakal menyerikan seluruh kehidupan kita dengan mehnah-mehnahnya.
Cinta yang jelas dan nyata.

Tiada campur aduknya.
Dan ketika inilah, betapa petingnya tajarrud dalam diri seorang daie.
Tanggalkan, putuskan segala yang selain dari-Nya.
Kerana jika tidak ditanggalkan segera,
segala yang lain itu akan berusaha meminta kita untuk cinta kepadanya.

Cinta kepada dunia dan seisinya.
Cinta kepada kerehatan dan kenikmatan.
Cinta kepada pasangan yang tidak kekal.

Inilah cinta yang sia-sia.
Dan tidak bernilai harganya jika dibandingkan dengan cinta yang lain.

As-syahid Hasan Al-Banna : Maksud tajarrud ialah mengosongkan fikrah dari segala dasar dan individu selainnya ,kerana fikrah kamu adalah yang paling mulia ,paling mencakupi dan mulia.

Mengemaskini dan mengetika tajarrud yang lebih bersungguh.
Tajarrud sebagai seorang daie.
Rasa tajarrud inilah yang menyatukan saff-saff kita yang terbina sekian lamanya.
Jika, kesemua tentera mempunyai rasa tajarrud yang tinggi, maka akan terhasillah satu gelombang yang sangat hebat penangannya.

Maka, kepenatan itu tidak akan datang bertandang.
Mungkin ada kepenatan,
Tapi kita hanya kepenatan fizikal sebagai seorang manusia biasa.
Bukan kepenatan jiwa, bukan kepenatan hammasah yang sedia ada.

Dan jika kau berterusan penat, janganlah terlalu menikmati kepenatan yang ada.
Kerana kepenatan akan menjadikan si tuan punya badan mencari waktu rehatnya.
Di kala inilah, kerehatan itu membunuh.

Bila saya cari-cari semula, apa penyebab rasa penat kepada jiwa seorang dua’t adalah,
Apabila mereka ada masalah, mereka memendamnya dan tidak cuba untuk menyelesaikannya.
Apabila mereka berbicara tentang dakwah, mereka tidak cuba untuk meluaskan skop perbincangan mereka.
Apabila mereka bercinta dengan jalan dakwah, sebenarnya mereka tercari-cari cara sebenar untuk bercinta.

Masalah dalam mahupun luar bidang dakwah, teramat penting untuk kau menyelesaikan keduanya sekali.
Kerana kau seorang daie yang tawazun.
Seimbang urusannya.
Tidak bermakna bila kau selesai dengan masalah dakwah, masalah lain perlu ditinggalkan begitu sahaja.
Dakwah mengajar kita untuk mencari penyelesaian yang lebih profesional.
Tarbiyyah mengajar kita untuk mengambil ibrah dari segala masalah yang menimpa.

Dan apabila kau berbicara tentang dakwah,
luaskan skop dakwah.
Jangan kau terhadkan kepada isu-isu atau hal-hal tertentu sahaja.
Jangan kau mengganggap seorang dua’t itu tidak perlu ditanya khabar berita keluarganya, perihal pelajarannya, keadaan dirinya
sendiri !

Apabila bercinta dengan dakwah, kau amat perlu mencari yang sebenar untuk mencapai tahap cinta yang tertinggi.
Bergantung pada diri kau sendiri, tidak perlu untuk aku nyatakan kerana cara manusia untuk bercinta berbeza-beza antara satu sama lain.
Cinta juga adalah satu seni.
Satu seni kehidupan yang amat agung kerana nilai cinta sendiri adalah amat tinggi.
Maka, seni ini memerlukan seorang pelukis yang amat teliti terhadap lukisan cintanya.

Cinta inilah yang mengubah dari rasa rehat kepada bergerak.
Bergerak untuk menyampaikan cinta dari yang Maha Penyayang.
Kerehatan yang ingin kita capai berada di syurga sana.

Kita makhluk Allah yang diberi pilihan semasa bercinta.
Pilihan yang akan menentukan acuan sebuah kehidupan.
Pilihan ini tiada paksaan.
Pilihan ini berdasarkan kesedaran yang ada pada diri seorang manusia itu sendiri.

Maka, pilihan kita untuk menikmati rasa penat itu adalah datang dari kita sendiri.
Jika kita tidak memilih untuk menikmatinya, maka kita akan jauh darinya.
Jika kita memilih untuk terus bercinta, maka kita akan setia padanya !

Namun, aku masih lagi penat……

Bagi jiwa dua’t, aku arahkan kau berehat.
Berehat berjumpa Tuhan kau.
Bertafakkur sejenak dan hayati semula.
Kumpul kembali semangat, imbau kembali kenangan.
Semangat yang dahulunya tidak pernah pudar, kenangan yang dahulunya membuat kita tersenyum melakukan kerja-kerja dakwah.

Aku tahu kau bakal penat.
Malah, sudahpun penat.
Kerana kita berhadapan dengan satu arus yang sangat bertentangan dengan jiwa dan fikrah kita.
Kerana kita berhadapan jiwa-jiwa manusia yang juga boleh memilih seperti kita.
Kerana jalan ini meminta segalanya dari kita.
Bukan sahaja senyuman, malah air mata.
Bukan sahaja kemanisan, tetapi kepahitan.

Saat inilah, penting untuk kau bercerita.
Bercerita apa yang terbuku dalam hati.
Bercerita apa yang menganggu ketenangan.
Berceritalah sepuasnya.
Berceritalah rasa penat yang kau rasa.
Jangan khuatir, Allah akan menghantarkan insan (apa jua cara penyelesaian) yang tepat untuk melonggarkan simpulan-simpulan ini.

Saya kira, seorang daie itu memang perlu untuk dia berada dalam satu situasi masalah yang rumit.
Dengan masalah, kita akan menjadi lebih matang.
Dengan masalah, kita lebih mengenal ragam dakwah.
Dengan masalah, kita berasa lebih yakin dengan jalan yang penuh duri ini.
Keadaan yang lebih bermasalah adalah apabila seorang daie itu tidak pernah ada masalah.

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Kalau begitu, bergembiralah dan berharaplah memperoleh sesuatu yang melapangkan diri kalian. Demi Allah, bukan kemiskinan yang aku khawatirkan akan menimpa diri kalian. Akan tetapi, aku khawatir jika dunia ini dibentangkan untuk kalian sebagaimana ia dibentangkan untuk orang-orang sebelum kalian sehingga kalian berlomba sebagaimana mereka berlomba, dan akhirnya kalian hancur sebagaimana mereka hancur.” (Hadits riwayat Muslim (2961) dan al-Bukhari (6425), dan Ibnu Abi ad-Dunya dalam kitab tentang Zuhud hal. 73)

Carilah ketenangan dan kelapangan dengan dakwah.
Carilah kebebasan dengan dakwah.
Carilah kebahagiaan dengan dakwah.

Walaupun bukan di sini, tetapi aku pasti segalanya bakal tersedia di sana.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s