aku punya dua

Bismillah.

Salam dakwah buat semua.

Moga-moga Allah sentiasa meredhai diri kamu, masa kamu, rezeki kamu dan segala amal kamu semua !
InshaAllah !

*******

Aku punya dua.
Dua yang tidak ternilai harganya.
Dua yang aku beli dengan imanku sendiri.

Dua yang membuatkan aku tidak kematian cinta.
Malah, membuatkan aku terdorong menjadi pecinta yang bergerak menyebarkan cinta kepada mereka yang memerlukan cinta.

Dua.
Bergabung dengan diriku.
Bukan lagi bernikah, malah menghimpit setiap masa dan keadaan diriku.

Al-wafa dan izzatun nafs.
Setia dan rasa menang atau bangga terhadap diri sendiri.

Setia pada dakwah.
Dan berbangga kerana aku adalah salah seorang pendokong dakwah.

Bukan sengaja mengiktiraf diri sendiri.
Tetapi, Islam sendiri yang mengajar kita untuk setia pada jalan kebenaran dan merasa izzah dengan kebenaran yang kita punyai.

Tersedia dua biji mata yang bisa memandang.
Tersedia dua tangan yang bisa melakukan segala.
Namun, hanya satu hati tersedia yang bisa,

Hanya memahami satu kebenaran !
Bukan dua atau tiga.
Hanya satu.

Terkadang saya sendiri tertanya,
” Adakah aku ini benar-benar setia pada jalan kebenaran ? ”

Ada tikanya, tiada jawapan.
Ada tikanya, yakin.
Ada tikanya, segan.

Tiada jawapan kerana bila aku merenungi semula amalku, tiada langsung antaranya membuktikan aku ini setia pada dakwah.
Yakin kerana bila aku melihat orang di sekeliling juga memahat kesetiaan yang sama dan mereka sangat bekerja keras !
Segan kerana aku terasa soalan itu tidak layak untuk ditanya kepadaku.

Al-wafa adalah bukti kepada cinta.
Seorang pecinta yang mencintai kekasihnya menunjukkan betapa dia setia.
Setia untuk sentiasa mencintai si pengubat duka dan lara.
Setia untuk sentiasa memikirkan hanya tentang si dia.
Setia untuk sentiasa berkorban demi yang dicinta.

Beginilah setia !
Bukan setia hangat-hangat tahi ayam
Bukan setia ketika hanya bahagia.
Bukan setia ketika keadaan mendamaikan.
Bukan setia yang sementara.

Malah, sampai bila-bila !

Kerana kesetiaan itulah yang akan menghilangkan segala kelekaan kita.
Kesetiaan beginilah seharusnya dibentuk pada jiwa para dua’t.

Kesetiaan yang teramat susah untuk dipupuk.
Sungguh, teramat susah !

Siapa mahu memahatkan kesetiaan pada jalan yang penuh dengan pengorbanan dan kepenatan ?
Perkiraan secara lazimnya, tiada siapa yang akan mengangkat tangan.

Tetapi seorang daie itu mengira pengorbanan dan kepenatannya dengan nombor yang berbeza.
Nombor memberi pengertian terbesar dalam hidupnya.
Nombor yang sentiasa ditimbang-tara dengan neraca yang Maha Pengasih, lagi Maha Penyayang.

Setia pada jalan dakwah tidak boleh bertoleransi dengan kita.
Kita tidak boleh berbincang dengannya untuk mengurangkan tempoh masa, atau hanya pada keadaan tertentu.
Kerana, dakwah ini memerlukan saff para dua’t yang sentiasa akan bergerak berlandaskan kesetiaannya pada dakwah !

Kita bukan hanya penyokong.
Kita adalah penggeraknya !

Bukan bilangan kita bertambah kerana kita sibuk menggembar-gemburkan betapa seronoknya menjiwai dakwah,
tetapi bilangan kita bertambah kerana kita semua mahu bergerak dalam gerabak dakwah,

Menghimpun al-wafaa kita bersama-sama.
Dengan hembusan nafas cintakan dakwah yang sama.
Dengan semangat dari ruh yang sama.

Setianya kita pada dakwah,
Tidak lupa untuk kita senantiasa menulis surat cinta,
Cukup membuat hidup kita bernyawa !

Dan kita akan menangis air mata darah jika kehilangannya,
Dengan penuh esakan dan teriakan yang amat kuat lagi dahsyat.

Kini, kau mengertikah apa nilainya setia pada dakwah ?
Biarlah kehilangan kesemuanya, asal bukan dakwah.
Biarlah terkorban segalanya, asal bukan dakwah.

Setia yang lahir dari perasaan seorang dua’t itu adalah tuntutan imannya.
Sejauh mana setianya dia, adalah bergantung kepada imannya.
Hipotesisnya senang,

Semakin dia beriman, semakin dia setia.
Pembolehubah dimanipulasinya sentiasa akan mempengaruhi pembolehubah yang bergerak balas.
Akan berterusan begitu.

Pembolehubah dimalarnya,
Adalah dakwah.
Dakwah akan senantiasa bergerak laju menuju puncak kemenangannya.
Kaum berganti kaum akan diganti Allah sendiri.

Maka, adakah kau ingin tertinggal dari golongan manusia yang lain bersungguh membaikpulih imannya,
langsung membaiki kesetiaan mereka ?

Atau kau menganggap golongan yang setia pada dakwah ini adalah setia yang membuang masa ?
Atau kau melihat kesetiaan mereka ini adalah kesetiaan seolah pada angin yang berlalu begitu sahaja ?

Malulah pada diri kau sendiri yang mencela kesetiaan jenis ini,
Kerana kau yang sebenarnya sibuk mengukir setia pada kebatilan.
Kau yang sebenarnya asyik dengan setia pada kebahagiaan yang sementara.

Kemuliaan seseorang dilihat dari kesetiaannya
Selain pada kesetiaan janganlah kau cari bukti lainnya
Kurma berbuah anggur pernahkah kau melihatnya
Atau lebah menyimpan kayu harum di sarangnya .

Setelah sibuk bercanda tentang kesetiaan,
Tidak lupakan yang kedua.

Ingat,
Aku punya dua !

Merasa bangga dengan diri sendiri.
Diri sendiri yang menagih cinta dari yang Maha Kaya dengan cinta.
Diri sendiri yang sentiasa bersama dengan kebenaran dan keyakinan yang pasti.

Jika kau tidak merasakan ini, kau akan mudah dipengaruhi.
Prinsip kau akan mudah digoyah.
Pemikiran kau teramat mudah untuk diputarbelitkan.
Seterusnya, kefahaman kau akan kecelaruan !

Jadilah kau seperti lalang di tengah-tengah padang,
Mudah sekali tertolak ke kanan dan kiri dek kerana penangan angin yang menyapa.

Atau,
Kau seperti sebiji bola yang boleh sahaja disepak oleh sesiapa,
Tidak tentu arah tujunya !

Lebih menyakitkan,
Kau seperti manusia yang tidak punya harga diri sendiri sebenarnya.
Harga diri begitu murah.
Tiada siapa ingin membelinya, percayalah !

Terciptanya manusia itu dengan harga diri yang teramat tinggi kerana dia adalah sebaik-baik ciptaan yang Maha Pencipta.
Dan harga diri ternilai dengan neraca keimanan dan ketaqwaan, bukan lagi pada sebanyak mana keistimewaan yang kau ada.

Jadi pemain yang berharga mahal kerana kau bakal dibeli oleh Allah,
Dengan harga syurga yang tidak ternilai.

Inilah izzatun nafs.
Perasaan bangga cetusan iman.
Bukan bangga perasan.
Tetapi bangga perasaan.

Perasaan itu patut ada.
Perasan yang tidak patut ada.
Dapatkah kau membezakannya ?

Membezakan antara yang patut dan tidak patut.
Bangkitkan dan semarakkan harga dirimu wahai daie !

Harga dirimu teramat mahal untuk agama ini.
Agama mulia ini memerlukan penganutnya yang mulia.
Begitu juga dakwah,

Dakwah yang mulia ini memerlukan penggeraknya yang mulia.
Bukan menjadi daie yang hina !
Sudahlah hina pada mata manusia, apatah lagi pada penglihatan-Nya.

Angkat harga dirimu sehingga menjadi bahan perbualan penghuni-penghuni langit.
Jangan biarkan dakwah ini seolah kecewa mempunyai kau sebagai ahlinya !
Jangan biarkan maruah agama ini tercalar kerana dirimu !

Izzahlah dengan diri kau sendiri,
ternyata manusia sekeliling akan mengagumi dirimu !
Terpegun melihat kau berjalan dengan megahnya bersama sepanduk kebenaran yang sentiasa kau bawa kemana-mana.
Terdiam saat mendengar kata-kata kau yang tidak pernah berhenti menyebut tentang al-haq.
Buatkan mereka terpempan seketika !

Bukannya hanya membiarkan sekadar manusia biasa yang berjalan di sekeliling mereka.
Malah, mereka tidak pernah sedar,
kehadiran seorang daie dalam lautan manusia yang berhimpun ini.

Bukan membangga sampai kau tidak menghormati yang lain,
sebaliknya ajak lah mereka untuk mengenal semula harga diri mereka yang sebenarnya !

Beritahu mereka untuk menilai diri mereka semula.
Perkenalkan harga diri seorang manusia yang sebenarnya.

Sekian,
Jangan kau khianati kesetiaan yang telah terbina,
Haram kau merendah nilai tinggi diri yang sedia ada.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s