ruhul istijabah

Bismillah.

Salam dakwah buat semua pembaca yang setia.
Mahu bertanya, apakah sebab kesetiaan kamu di ruang penulisan saya ini ?

Moga-moga Allah melimpahkan rahmat buat kita semua.
Dan berterusan kita menjadi seorang hamba yang bersyukur dalam menempuh sebuah perjalanan kehidupan.

********

Sedang kita menjalin hubungan cinta bersamanya, cinta kita dirobek dek kerana gertakan surat layang dari orang ketiga.
Cukup, bahasa surat layang itu merobek jiwa-jiwa para dua’t  yang sedang sibuk berjuang.

Hinggakan, surat layang itu mampu memalsukan cinta yang telah tertanam lamanya di dalam hati.
Malah, ada yang serba-salah untuk meneruskan cinta.
Paling hebat impaknya, ada yang terus berhenti mencintai.

Inilah hebatnya kuasa orang ketiga.
Dia mampu merampas cinta kita.
Perjalanan cinta kita dipenuhi keraguan.
Seolah, segala langkah yang telah diatur mempunyai kesalahan yang sangat besar.

Adakah ini tanda, kita golongan pencinta akan menjadi lebih asing pada masa hadapan ?
Atau kita akan dimansuhkan oleh tangan-tangan manusia ?
Atau,

Allah sedang membersihkan saff kita ini,
Menapis jundi-jundinya,
Memilih siapa yang benar-benar ikhlas menjadi para pejuang agama-Nya.

Sesungguhnya, Dia lah Dzat yang Maha Mengetahui keadaan hamba-hamba-Nya.
Dia Maha Mengetahui mana jalan yang benar, mana jalan dusta.
Dia Maha Mengetahui siapa yang benar-benar bercinta, siapa yang hanya memberi cinta monyet sahaja.

Sepatutnya, rasa cinta yang lahir dari hati seorang pencinta itu tidak akan mudah goyah.
Kerana dari hati dia, terbitnya cinta yang suci itu.
Keyakinan telah diberi sepenuhnya kepada yang dicinta sehingga apa jua orang lain berkata, tidak lagi diendahkannya.
Kehadiran orang ketiga, hanya membusukkan cinta yang sedia ada !

Wahai Sang Pecinta jalan kebenaran,
Kita ini saff-saff manusia yang mempunyai ruhul istijabah yang jelas.

Kitalah golongan manusia beriman yang diseru Allah dan menyeru seruan itu !
Kini, seruan itu tampak asingkah di matamu ?
Atau, kau sudah hilang keyakinan dengannya ?

Bagaimana kau boleh hilang keyakinan jalan kebenaran ?
Jalan kebenaran yang menjanjikan haruman kasturi syurga buat penghuninya.
Jalan kebenaran yang mampu menghimpunkan dirimu dengan orang-orang terdahulu yang lebih mulia.
Jalan kebenaran yang akan menjadikan kehidupan dan kematian suatu darjat ketinggian yang tiada tolok bandingnya.

 

Wahai orang-orang yang beriman ! Penuhilah seruan Allah dan Rasul, apabila dia menyerumu kepada sesuatu yang memberi kehidupan kepadamu, dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah membatasi antara manusia dan hatinya dan sesungguhnya kepada-Nyalah kamu akan dikumpulkan. (8 : 24 )

 

Hakikat kehidupan yang lebih  bermakna itu terletak pada sejauh mana kau sanggup menyampaikan dan berjihad kerana-Nya.
Kehidupan yang lebih menghidupkan.

Bukan kehidupan yang menghiasi fizikal kita.
Sebaliknya kehidupan yang menghidupkan dan menggerakkan ruh kita.
Inilah seni kehidupan yang terbaik.
Dan cara kau mewarnainya, bergantung pada warna yang kau ada.

Apa yang pasti, jalan ini adalah jalan kebenaran.
Kebenaran memang meminta keyakinan untu kita terus bersamanya.
Jika tidak wujud keyakinan, maka apabila digertak sedikit, walau sedikit pedihnya,

Percayalah,
Kau menjadi orang pertama yang melarikan diri !

Buah kepada keyakinan itu tadi terletak pada tahap keimanan kita kepada Sang Penunjuk Jalan.
Jalan yang disediakan dari-Nya dilengkapi dengan kebebasan kita untuk memilih.

Jalan kebenaran itulah jalan kemenangan.
Dan kemenangan yang mutlak itu hanya pada orang yang memilihnya !

Kemenangan di dunia ini, hanyalah tafsiran manusia.
Dikalungkan pingat, digembar-gemburkan namanya.
Namun, mengertilah,
Kemenangan yang tidak pasti itu patut kita tumpukan usahanya.

Mintalah seminta-mintanya,
Agar kau menjadi orang yang merasai manisnya iman dengan ruhul jihad dan ruhul dakwah itu,
Agar kau terus yakin dengan kebenaran kerana kau tahu kebatilan pasti akan datang menyerang bila-bila masa,
Agar kau terus tegak berdiri dan bersedia dengan apa yang bakal ditempuh.

Ruhul istijabah ini bukan hadiah yang turun dari langit begitu sahaja.
Ruh ini adalah hasil semaian benih keimanan.
Ruh yang lahir dari iman yang memancarkan cinta dalam hatinya.

Dalam perjuangan, jangan kau mengemukakan alasan.
Sengaja mencipta alasan untuk lari dan mengelak dari tanggungjawab yang sebenar.
Pusinglah sejauh mana alasan itu,

Ketahuilah, kau tidak mampu berlawan dengan kuasa kebenaran.

Mereka (orang-orang munafiq yang tidak ikut berperang) akan mengemukakan alasannya kepadamu ketika kami telah kembali kepada mereka. Katakanlah (Muhammad), ” Janganlah kamu mengemukakan alasan, kami tidak percaya lagi kepadamu, sungguh, Allah telah memberitahukan kepada kami tentang beritamu. Dan Allah akan melihat pekerjaanmu, (demikian pula) Rasul-Nya, kemudian kamu dikembalikan kepada (Allah) yang Maha Mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” ( 9 : 94 )

 

Kuasa alasan ini hanya ibarat pedang tumpul yang cuba membelah batu yang tersangat keras dan padu isinya.
Kau tidak akan mampu !

Dalam perjalanan ini,
Kau akan merasakan bebanan hidup bertambah beratnya,
Ujian datang tidak pernah putus,
Masalah pula bertimpa-timpa,
Kau ditekan, kau dikata, kau dihina.

Memang inilah jalannya.
Tidak perlu saya ceritakan lebih kerana anda sendiri akan merasainya.

Nikmatilah,
Belaian tarbiyyah dari-Nya,
Perhatian penuh dari-Nya.

Kuasa ruhul istijabah inilah yang memberi punca semangat untuk kau terus berjuang.
Ruh-ruh yang sentiasa menegakkan kebenaran dan tindakan hanya berpaksikan ketaatan kepada Allah dan Rasul semata.

Ruhul istijabah : Fikriyah (kefahaman)
Kefahaman yang pekat.
Kesedaran yang timbul dari dalam lubuk hati jiwa orang yang beriman.

Al-fahmu inilah ‘nyawa’ sebuah rapsodi perjuangan.
Kerana kefahaman yang jelas membentuk segalanya.
Peribadi dan perilaku.
Memahamkan jiwa kita mengapa kebenaran itu menjadi pilihan.
Menyuntik semangat yang hanya perlu dipacu ke arah jalan kemenangan.

Ruhul istijabah : Nafsiyah (perasaan )
Dan kefahaman itu tadi melahirkan perasaan betapa gembiranya menyambut hakikat seruan Allah ini.
Lebih gembira berbanding gembiranya perasaan kita saat menyambut kedatangan bulan Ramadhan.

Bagai meraikan kedatangan sang pujaan hati yang telah lama dinanti,
Aku mempersiapkan diri,
Dengan seraut wajahku yang tertanam berjuta cinta kepadanya,
Tenggelamlah dunia yang lain,
Saat bersuanya dua merpati cinta.

Perasaan gembira inilah yang membunuh rasa gembiranya kita dengan dunia yang sememangnya menjanjikan kegembiraan yang tidak hakiki ini.
Kegembiraan yang palsu.
Kelekaan yang menghanyutkan manusia.

Wahai orang-orang beriman ! Mengapa dikatakan kepada kamu, ” Berangkatlah (untuk berperang) di jalan Allah,” kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu ? Apakah kamu lebih menyenangi kehidupan di dunia daripada kehidupan di akhirat ? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit. ( 9 : 38 )

Jika kau belum lagi merasai kegembiraan itu,
Maka carilah manusia yang meraikannya,
Duduk bersama mereka,
Berkongsi rahsia yang terselindung di sebalik hati mereka.

Jika kau sudah kehilangan kegembiraan itu,
Maka ubatlah jiwamu kembali dengan janji-janji manis-Nya,
Tazkiyyah dirimu dengan peringatan-peringatan azab-Nya,
Himpunkan rasa bersyukurmu betapa kau bertuah terpilih untuk berada dalam jalan ini.

Ruhul istijabah : Maliyah (harta)
Jual beli yang telah Allah janjikan adalah yang terbaik.

Di pasar cinta,
Tawar-menawar antara penjual dan pembelinya,
namun, pembeli terlalu bermurah hati,
sehingga,
si penjual terasa malu sendiri jika menolaknya,

Bagai si penjual hanya punyai perca kain,
dibeli dengan sepersalinan maharaja Cina yang teramat mahalnya. 

Kerana jual beli inilah, ruhul istijabah kita terdorong dan terlatih untuk berkorban dan terus berkorban.
Korban segala paksi kehidupan yang kita ada.
Jangan risau tentang sumbernya.
Sumbernya akan ada selamanya wujudnya Dia !

Ruhul istijabah : Harakiyah (gerakan/amal)
Inilah puncak kehangatan ruhul istijabah yang telah dilatih lama.
Pembuktian dengan amal.
Tiada lagi teragak-agak atau rasa bersalah untuk meneruskan langkah.

Jika seorang daie itu hanya duduk bersimpuh di tempatnya,
Dia akan dikuasai kebatilan dan kebatilan mampu membuang diri dia dari dunia ini.

Kita bukan pencipta masalah mahupun pencetus masalah.
Kita adalah barisan manusia yang berusaha menyelesaikan masalah.
Masalah kehidupan dan masalah dakwah sendiri.

Dalam hati, kian meronta-ronta mencari jalan penyelesaian kepada sifir hayah manusia yang semakin pelik ini.
Manusia yang kini tampak selesa pada tempat-tempat mereka.
Manusia yang berdengkur enak di katil empuk mereka.

Menghairankan !
Dalam situasi yang sebegini gimik,
Kau para dua’t masih mampu berdiam diri !

Atau kau yang masih terlena dalam api yang marak ini ?

Akhirnya,
Buat para dua’t yang teramat ku kasihi,

Usahlah kau bermuram durja,
Menyimpan walang keseorangan di hati,
Cinta kau tidak lagi hilang,
Cinta kau tidak lagi putus,

Sambunglah kembali talinya, 
sementara tali tidak lenyap dari pandangan,
kerana aku khuatir,
kau tidak akan berjumpanya sampai bila-bila,

dan tali cinta diganggu sementara,
gunting yang bersembunyi dalam lipatan,
jangan benarkan,
gunting itu menguasai pemikiranmu,

sebaliknya,
usahalah untuk menyelamatkan talimu itu. 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s