penguat izzah seorang Muslim

Bismillah.

Salam dakwah buat semua pembaca yang tidak jemu membaca di sini. Diharapkan Ramadhan yang telah berlalu serta yang bakal datang merupakan barakah buat anda semua.

Jangan rasa ketinggalan.
Jangan tangguh-tangguh lagi.

Manfaatkan sebaiknya Ramadhan kali ini, inshaAllah.
Serta mohon doa dari semua untuk saya yang bakal menghadapi peperiksaan tidak lama lagi, inshaAllah !

Dan jika kamu mengikuti kebanyakan orang di bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Yang mereka itu hanya persangkaan belaka dan mereka hanyalah membuat kebohongan. (6 : 116 )

-ayat muhasabah untuk hari ini-

*********

Iman itu tanda mahabbah.
Ukhuwwah itu ikatan khas untuk orang-orang yang beriman.

Kerana hati-hati yang beriman sahaja akan diberikan mahabbah.
Tidak sempurna iman tanpa ukhuwwah.

Di dalam entri sebelum ini ada saya menjelaskan tentang kompas tarbiyyah dalam ukhuwwah. Tarbiyyah menjadi acuan kepada ukhuwwah.

Maka, iman adalah bahan utama dalam menyediakan ukhuwwah.
Tanpa iman, sebuah ukhuwwah itu hanya adalah untuk kepentingan dan keperluan diri semata.
Tanpa iman, sebuah ukhuwwah itu hanya satu kepalsuan.

Salah satu strategi Rasulullah semasa menjadi pembesar Madinah adalah menyatukan antara Muhajirin dan Ansar.
Mavi Marmara, utusan sebuah kapal dari pelbagai pelusuk negara membawa bantuan untuk disalurkan kepada Gaza.
Dan kita sendiri, terkadang cukup lapang menerima tambahan sebagai sahabat (baca : add as friend) daripada ikhwah (untuk lelaki) dan akhawat (untuk perempuan) yang mungkin kita tidak pernah bersua muka dengannya, tetapi dek kerana jalan yang sama, fikrah yang satu, kita menyatu simpulan ukhuwwah.

Kesemua ini adalah contoh besar yang saya teliti menerangkan tentang ukhuwwah Islamiyyah.

Persaudaraan islam yang terbina kerana Allah.
Saling menghormati, mempercayai dan berkasih sayang.
Atas dasar iman, taqwa dan aqidah yang satu.

Inilah definisi tepat untuk ukhuwwah Islamiyyah yang sebenar.
Lebih tepat, jalinan antara dua hati orang yang beriman, tulus ikhlas, mematri kesetiaan, kejujuran, suka sama-sama dan sedih sama-sama.

Innamal mukminunal ukhuwwah.
Ukhuwwah ini adalah tuntutan ke atas orang-orang yang beriman.
Tenaga dan himmah yang disatukan diibaratkan seperti sebuah bangunan yang tersusun kukuh.

Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur, mereka seakan-akan seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh. (61 : 4 )

Dan bila ianya adalah tuntutan terhadap kita, maka perhalusilah ukhuwwah yang telah kita jalinkan antara semua sahabat apatah lagi yang sama-sama yang berjuang bersama kita dalam jalan yang sama.
Kerana sungguh, Allah sangat Maha Halus terhadap segala jenis amalan kita !

 

Dengan ukhuwwah, kita akan mendapat kecintaan terhadap Allah.

“Seorang Muslim dengan Muslim yang lain adalah bersaudara, dia tidak menzaliminya dan tidak mengelakkan diri daripada menolongnya, sesiapa yang melepaskan saudaranya daripada sesuatu kesempitan, maka Allah akan melepaskan satu kesempitan daripada kesempitan-kesempitan hari kiamat, dan sesiapa yang menutup (keaiban) saudaranya, maka Allah akan melindunginya pada hari kiamat”

(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Hablun minallah, hablun minnannas.
Jaga hubungan dengan Allah dan jaga hubungan dengan manusia.
Kedua hubungan ini perlu dijaga rapi kerana ianya saling berkait rapat antara satu sama lain.

Bila mana kita katakan sebuah ukhuwwah itu kerana Allah, maka buangkan dan singkirkanlah perasaan yang tidak elok.
Kuat merajuk, mudah terasa hati. (ok, saya sendiri susah untuk buat)
Ini hanyalah virus-virus ukhuwwah yang datang dari nafsu dan syaitan.

Buangkan rasa tidak sedap seperti itu, kerana yang kita mahukan dari ukhuwwah yang kita jalinkan adalah cinta Allah itu sendiri.
Tidak mengapa jika cinta dari seorang akh atau ukht itu tidak kita dapat kerana apa yang kita kejar adalah cinta Allah.

Dengan ukhuwwah, kita akan mendapat perlindungan-Nya di akhirat kelak.

Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Daripada Abi Hurairah (ra) bahwa Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) bersabda: Ada tujuh golongan yang akan mendapat perlindungan Allah pada hari yang tiada perlindungan kecuali perlindunganNya:

 

1. Imam (pemimpin) yang adil.

2. Pemuda yang membesar dalam ketaatan dan dalam keadaan beribadat kepada Allah sejak kecil.

3. Lelaki yang terpaut hatinya dengan masjid.

4. Dua orang lelaki yang saling kasih-mengasihi hanya kerana Allah, bertemu dan berpisah hanya keranaNya,

5. Lelaki yang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan dan cantik, lalu ia berkata: “Aku takut kepada Allah”.

6. Orang yang bersedekah secara sembunyi sehingga tidak mengetahui tangan kirinya apa yang diberi oleh tangan kanannya.

7. Orang yang bermunajat kepada Allah sambil menggelinangkan airmatanya.

[Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim]

Perlindungan ini masihkah kita mahu lepaskan begitu sahaja ?
Payung ukhuwwah menjadi penyelamat,
Perlindungan-Nya yang membawa rahmat.

Dengan ukhuwwah, kita akan berada di atas mimbar-mimbar cahaya.

Hadis qudsi, daripada ‘Ubadah bin Shamit,
Allah S.W.T berfirman : KecintaanKu hanya untuk orang-orang yang saling mencintai, saling menghubungkan silaturrahim dan saling berkorban keranaKu. Orang-orang yang saling mencintai keranaKu, akan berada di atas mimbar-mimbar cahaya. Para Nabi, sahabat dan syuhada’ merasa cemburu terhadap mereka.

(hadis Ibnu Hibban)

Dengan ukhuwwah, kita akan terampun dari dosa.

Dari Hudzaifah bin Al-Yamani, Nabi Muhammad Rasulullah S.A.W bersabda :

Sesungguhnya seorang mukmin jika  bertemu dengan mukmin yang lain, kemudian dia memberi salam dan menjabat tangannya, maka dosa-dosa keduanyaakan saling berguguran sebagaimana daun-daun pohon berguguran.

(diriwayatkan oleh Al-Mundziri dalam At-Targhib)

Dengan ukhuwwah, kita akan mengecapi kemanisan iman.

Hadis Anas r.a:
Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda: Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang maka dengan perkara itulah dia akan memperolehi kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada selain keduanya, mencintai seorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya dari kekafiran itu, sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam Neraka.

(Riwayat Muslim)

Ya, mula terfikir bagaimana cara yang tepat untuk lebih mencambahkan rasa ukhuwwah fillah ini dalam diri sendiri dan dengan rakan-rakan sekeliling.

Sudah tentu perkara ini penting bagi para dua’t kerana ukhuwwah adalah langkah pertama dalam kita menyampaikan dakwah.
Dakwah kita dakwah hati.
Dakwah yang dimulakan dengan terbitnya kasih dan sayang antara seorang daie dan mad’unya, antara murabbi dan mutarabbinya.

Ukhuwwah ini bagai minuman yang sangat manis dan lazat.
Maka, minumlah sepuasnya.
Ukhuwwah ini bagai udara untuk dakwah.
Maka, hiruplah sepuasnya.

Iman yang sempurna.
Cukup membantu kerana ia seakan memberi cahaya kepada ukhuwwah itu sendiri.
Iman yang akan menolak segala jenis perbezaan.
Iman yang menjadi titik-tolak untuk kita bersatu hati.
Iman yang menjadi penggerak untuk kita lebih memperhebat ukhuwwah.

Suatu hari,Imam Malik hairan melihat burung merpati dan gagak berkumpul bersama. Dengan spontan beliau berkata,”Kedua-duanya bersatu padahal jenisnya tidak sama”. Ketika burung itu terbang, beliau melihat keduanya masih ada persamaan iaitu kedua-duanya cacat. Lalu beliau berkata,”Sebab itulah burung itu dapat bersatu”.

Meskipun berbeda, dengan ikatan iman dan aqidah kita mampu bersatu.

Sebar dan hayati ucap salam yang telah kita lontarkan kepada sahabat-sahabat.

Baginda Nabi Muhammad diriwayatkan bersabda dengan maksudnya “Demi zat yang diriku berada di bawah kekuasaan-Nya, tidak akan masuk syurga selagi kamu tidak beriman, tidak akan beriman selagi kamu tidak saling cinta-mencintai. Apakah kamu ingin ku khabarkan mengenai amalan yang apabila dilakukan pasti membuatkan kamu saling mencintai?  Para sahabat menjawab ya wahai Rasulullah. Nabi pun bersabda “Sebarkanlah salam di kalangan kamu”.                            (Hadis riwayat Muslim)

Hitam jadi putih.
Musuh jadi kawan.
Gelap jadi sinar.

Inilah nilainya ucap salam.
Salam yang membawa rahmah dan barakah.
Salam yang membibitkan cinta dan kasih sayang.
Salam yang mendamaikan jiwa.

Jangan diucap dengan rasa hampa dan dingin.
Kelak, diri sendiri yang hilang rahmah dan barakah.

Jangan diucap dengan penuh kepalsuan.
Kelak, diri sendiri yang digelar pembohong.

Teringat pada kisah Kaab bin Malik yang diboikot kerana tercicirnya beliau dari Perang Tabuk. Atas arahan Rasulullah, tidak sesiapa pun perlu memberi dan menjawab salam darinya.

Betapa terasa sempitnya dunia buat Kaab bin Malik ketika itu hanya kerana ucap salam ini.
Ternyata, ucap salam itu adalah penting bagi mereka yang telah menjalinkan ukhuwwah.

Ucap salam ucapan pemula.
Tanda doa dari dua jiwa yang saling bercinta.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.

Lazimi dan fahami.

Tips-tips lain anda boleh cari sendiri untuk lebih memaniskan ‘minuman’ ukhuwwah.
Bergantung kepada diri anda sendiri bagaimana untuk mencorakkannya.

Kerana ukhuwwah ini meluas.
Seluas iman yang berada di dalam dada.
Seluas kasih yang berada dalam hati.
Seluas cahaya yang mencerahkan bumi.

Berjalan di atas muka bumi luas,
Membuka pintu-pintu halangan,
Teruji sehingga tersungkur,
Demi menyatukan jiwa,
Yang bercinta sanggup berkorban.

Ukhuwwah bukan kerana keturunan.
Ukhuwwah bukan kerana sama negara.
Ukhuwwah bukan kerana sama bangsa.

Puncanya aqidah yang salimah.

Sejarah dan sirah terdahulu telah memperlihatkan ramai saudara yang telah menggadaikan jiwanya demi saudaranya lain.

Apakah hak-hak ukhuwwah yang perlu kita tunaikan ?

Dan orang-orang (Ansar) yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka mencintai orang yang berhijrah ke tempat mereka. Dan mereka tidak menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin), dan mereka mengutamakan  (Muhajirin), atas dirinya sendiri, meskipun mereka juga memerlukan. Dan siapa yang dijaga dirinya dari kekikiran, maka mereka itulah orang-orang yang beruntung. (59 : 9 )

Hak terhadap harta.
Penuhi keperluan seseorang daripada lebihan harta yang ada.
Beri sebahagian.
Beri semua (ithar).

Tingkatan tadhiyyah melambangkan taraf iman yang tertanam dalam hati.

” Jika meminta wang dari saudaramu, lantas ditanya untuk apa, bererti hak persaudaraannya telah hilang.”

Dipetik dari sebuah kisah,

Ini jelas dari peristiwa yang berlaku kepada Abu Hasan an-Nuri. Suatu ketika khalifah telah menjatuhkan hukuman pancung terhadap 3 orang soleh. Diantaranya adalah Abu Hasan an-Nuri. Beliau telah maju ke depan supaya menjadi orang yang pertama di pancung. Khalifah berasa hairan dengan tindakannya dan bertanya apakah sebab perlakuannya itu. Abu Hasan an-Nuri menjawab:

“Aku lebih mengutamakan saudara-saudaraku untuk hidup pada saat-saat ini lebih dari ku.” Akhirnya khalifah mengampunkan mereka dan melepaskan kesemuanya kerana kagum dengan sikap Abu Hasan an-Nuri.

Penuhilah keperluan ukhti-ukhti yang berada di sekeliling kita.
Paling rendah, selamatkan dia dari bahaya sekiranya ia tidak membahayakan diri sendiri.
Paling tinggi, utamakan keselamatan mereka dari bahaya walaupun membahayakan diri kita sendiri.

Inilah hak terhadap diri yang perlu kita berusaha untuk tunaikan.
Namun, janganlah dalam memelihara jiwa seorang saudara itu sehingga saudaramu itu meninggalkan jihad.

Sungguh, Allah mengetahui orang-orang yang yang menghalang-halangi di antara kamu dan orang yang berkata kepada saudara-saudaranya, ” Marilah bersama kami.” Tetapi mereka datang hanya sebentar, mereka kikir terhadapmu. Apabila datang ketakutan (bahaya),kamu lihat mereka itu memandang kepadamu dengan mata yang terbalik-balik seperti orang yang pengsan kerana akan mati, dan apabila ketakutan telah hilang, mereka mencaci kamu dengan lidah yang tajam, sedang mereka kikir untuk berbuat kebaikan. Mereka itu tidak beriman, maka Allah menghapus amalnya. Dan yang demikian itu mudah bagi Allah.
(33 : 18-19)

Sebaliknya teruskan mendorong untuk terus berjuang dan istiqamah dalam jalan ini agar mendapat tempat sebagai syuhada’ fi sabilillah.

Maka, tunaikanlah hak terhadap lidahmu.
Penuhkan ukhuwwah itu dengan nasihat-nasihat membina iman.
Nasihat-nasihat yang meningkatkan hammasah.
Nasihat-nasihat yang disertai keikhlasan.
Nasihat-nasihat penguat jiwa seorang pejuang.

Doa yang tidak putus-putus buatnya.
Sebutkan namanya sambil bayangkan wajahnya.

Ikatlah rabithah hati kami ini sehingga akhirnya,
Biarlah bulan jadi saksi,
Biarlah langit jadi peneman,
Malam menjadi istirehat,
Siang menjadi kehidupan,
Saling bertukar ganti,
Namun,
Kita tetap bersama,
Maju ke hadapan.

Teguhkanlah,
Kubu ukhuwwah menjadi benteng,
Musuh-musuh tidak putus menyerang,
Namun,
Kita bertahan,
Panahan demi panahan,
Setiap satu terasa pedihnya,
Tembakan demi tembakan,
Setiap satu terasa siksanya,
Sudah nyawa dirampas,
Tinggal roh-roh mencapai kesatuan,
Ridhwan menanti penuh senyuman,
Mahligai indah menjadi hamparan.

Jangan tinggalkan saudaramu bila sifatnya berubah daripada biasa kerana yang bengkok pada satu masa akan dapat diluruskan pada masa yang lain.
( Abu Darda’ )

 

Kesetiaan,
Kepercayaan,
Keyakinan,
Kemaafan,
Kasih dan sayang,
Cinta dan pengorbanan,
Rasa tidak mahu membebankan,
Rasa tidak mahu menyusahkan,
Semua ini puncanya iman.

Maka, bila ada yang di atas tidak sempurna, hisablah kembali iman pada diri.

* terkesan bila ada seorang ukhti cakap dia masih kurang percaya pada akhawat, saya tanyakan bahagian mana. Katanya, rahsia.

Biarlah rahsia itu menjadi miliknya,
Rahsia yang juga milik Tuhan kita bersama,
Kepercayaan terhadap Allah,
Itu yang melahirkan kepercayaan terhadap ukhti-ukhti sekelilingmu,
Kerana itulah kau akan  lebih faham tentang istilah ukhuwwah fillah,
Aku tidak menyuruhmu menaruh sepenuhnya kepercayaan itu,
Kerana manusia itu tidak sempurna,
Cukuplah kepercayaan itu menjadi saksi ukhuwwah kita bersama.

salam Ramadhan,
masa merevolusikan hati

6 thoughts on “penguat izzah seorang Muslim

  1. salam alayk..ada sedikit kekeliruan.ukwhwah fillah ni, kene buat dgn semua org kan? maksud sy, ikatan ukhwah ni,adalah ikatan persaudaraan org2 islam. mksud org2 islam tu,org yg betul2 beramal dgn islam je ke? kalau saya hnya mnjaga ukhwah fillah dgn shbat2 yg baik (budak usrah dan islamic) je salah yeah?

    • waalaikumussalam. bila Allah menyebut ttg innamal muminunal ukhuwah menandakan iman adalah kriteria utama dalam ukhuwwah. Tetapi tidak bermakna kita meninggalkan org2 yang tidak beramal dengan Islam yang sepenuhnya. Sebagai seorang daie yang profesional, kita perlu berukhuwwah fillah dengan semua jenis manusia. Dan menjaga ukhuwwah fillah itu adalah hak ke atas semua jenis manusia. Kalau ada mind set yang kita perlu berukhuwwah fillah dgn org yg usrah2 dan islamic2 je, itu bukan ukhuwwah fillah, itu pilih kasih namenye.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s