empat kisah, empat fitnah

Bismillah.

Salam dakwah dan salam tarbawi buat semua.

InshaAllah, hari ini kita akan cuba sedaya-upaya menghiasi Jumaat ini dengan alunan sayu Al-Kahfi.

Dari Abu Darda r.a meriwayatkan bahawa nabi s.a.w bersabda: “Barangsiapa yang menghafal sepuluh ayat daripada awal surah al-Kahfi, akan terhindar daripada fitnah dajjal. Dalam riwayat yang lain dinyatakan daripada akhir surah al-Kahfi.” (HR Muslim)

*******

Kali ini saya mahu mencoretkan tentang perihal ibrah yang boleh kita dapat dari surah Al-Kahfi. Jelasnya, surah ini menceritakan tentang 4 buah kisah yang memberi banyak pengajaran kita sebagai manusia di atas muka bumi ini.

Keempat-empat kisah ini menceritakan sesuatu buat kita.
Perihal empat fitnah yang bakal dihadapi manusia.

Mari kita mulakan.

****

Kisah yang pertama.

Kisah pemuda Ashabul Kahfi yang cukup terkenal. Dan saya sendiri menggelarkan mereka pemuda-pemuda yang tidur. Mereka ditidurkan oleh Allah selama 309 tahun di dalam sebuah gua. (ada pelbagai pendapat tentang tahun mereka ditidurkan, namun apa yang telah Allah jelaskan itulah yang benar)

Ashhabul Kahfi adalah para pemuda yang diberi taufik dan ilham oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala sehingga mereka beriman dan mengenal Rabb mereka. Mereka mengingkari keyakinan yang dianut oleh masyarakat mereka yang menyembah berhala. Mereka hidup di tengah-tengah bangsanya yang ingkar tetap menampakkan keimanan mereka ketika berkumpul sesama mereka.

Alkisahnya wahyu tentang kisah pemuda Ashabul Kahfi ini diturunkan kepada Rasulullah ketika itu adalah kerana kaum Quraisy yang sibuk bertanyakan kepada Baginda sama ada Baginda mengetahuinya atau tidak.

” Tanyakan kepada Muhammad apakah dia mengetahui tentang sejumlah pemuda yang telah lama menghilang dan apakah kisah mereka.”

Dek kerana Baginda tidak tahu ketika itu, maka Baginda berkata akan menjawab keesokan harinya. Setelah 15 hari menunggu, akhirnya jawapan kepada soalan itu dijawab oleh Malaikat Jibril A.S.

Dan saya kira ayat-ayat di dalam surah Al-Kahfi (9-26)  ini sudah cukup untuk menerangkan serba-sedikit apa yang terjadi kepada mereka. Sudah tentulah, jika anda ingin mengetahui dengan lebih lanjut, perlulah merujuk kepada sumber-sumber tafsir dan sejarah pemuda-pemuda ini.

Dan di sini, kita dapati dengan jelas tentang keadaan iman mereka yang difitnah.
Meskipun  mereka di pihak al-haq, mereka difitnah sehingga terpaksa melarikan diri.

Sudah tentu, bagi kita kisah Ashabul Kahfi ini adalah sebagai bukti kepada kenabian Rasulullah.
Dan menerangkan kepada kita tentang fitnah pertama yang bakal kita hadapi.

Bagi kita, para dua’t, tugas menghidupkan kembali iman manusia yang telah lama pudar ternyata begitu sukar.
Iman bukanlah satu objek yang mudah sahaja kita ubah bentuknya.
Iman bukanlah satu kertas kosong yang mudah untuk kita mencorakkannya.

Iman adalah satu perasaan dalam hati.
Perasaan keyakinan kepada Allah yang Ahad.
Perasaan keyakinan kepada agama ini.

Dan jelasnya, keadaan dunia sekarang ini telah memperlihatkan pelbagai jenis fitnah kepada iman-iman mukmin serata dunia ini.
Kita dipertontonkan dengan pelbagai bahan yang mecampur-adukkan antara yang haq dan batil.
Kita diperlihatkan dengan pelbagai isu yang meruntuhkan taraf-taraf orang yang beriman.

Sehingga mempengaruhi fikrah kita.
Hanya sekadar menyatakan, ” Aku beriman.”
Namun, perlakuan dan perlaksanaannya tidak menggambarkan keadaan orang beriman yang sebenar.

Ibrahnya dari kisah pemuda-pemuda gua ini, kita hendaklah sentiasa bersedia menghadapi fitnah-fitnah yang bakal melanda iman kita.
Terus yakin dan tsabat dengan iman dan aqidah kita .
Lari dari mereka-mereka yang cuba menabur fitnah.
Jangan mudah gugur dengan bisikan-bisikan jahat yang cuba meruntuhkan tembok iman kita.

…Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi, kami tidak menyeru tuhan selain Dia. Sungguh, kalau kami berbuat demikian, tentu Kami telah mengucapkan perkataan yang sangat jauh dari kebenaran. (18 : 14)

******

Kisah kedua.

Kisah dua orang pekebun yang cukup terkenal.

Seorang pekebun kaya dan seorang lagi miskin. Si pekebun kaya mempunyai sebidang tanah yang luas. Dan dia juga seorang yang rajin dan kuat bekerja.

‘ Kebun aku sangat luas.’
‘ Buah-buah juga masak dengan ranum sekali.’
‘ Sungai yang mengalir menambah lagi kesuburan kebun aku ini.’
‘ Dikelilingi pula pokok-pokok kelapa sawit.’

‘ Alangkah gembiranya hatiku ini.’

Alkisahnya, pada suatu hari si pekebun miskin datang melawat si pekebun kaya.  Si pekebun kaya itu membawa kawannya itu melihat kebunnya yang cantik seraya berkata:

Aku sekarang menjadi lebih kaya daripada kamu. Aku juga lebih berpengaruh dan pengikutku juga ramai. Keluargaku juga lebih kaya daripada keluargamu. Aku tidak fikir bahawa kebun ini akan binasa selama-lamanya. Dan aku fikir juga bahawa hari kiamat tidak akan berlaku. Sekalipun aku meninggal dunia, tentu aku akan menemui tempat yang lebih baik daripada ini“.

Lalu, si pekebun miskin itu menegurnya: ” Patutkah engkau kufur kepada Allah yang menjadikan kamu daripada debu, dari segumpal darah lalu membentukmu sebagai seorang manusia?”. Dia menambah: “Padaku, Allah itu adalah Tuhanku, dan aku tidak akan menyamakan sesiapapun denganNya”. Dia lantas menasihati si pekebun kaya itu dengan berkata: ” Apabila kamu masuk ke kebunmu ini kamu sepatutnya berkata: “Semua ini adalah kepunyaan Allah, tiada daya manusia melainkan dengan pertolongan daripada Allah. Apa yang Allah tetapkan akan berlaku, maka tiada kuasa selain Allah”. Kata si miskin ini lagi: ” Jika engkau melihatkan keadaanku, aku lebih miskin daripadamu, sangat kurang harta dan tidak dikurniakan anak, tetapi mungkin Allah akan memberiku taman yang lebih indah daripada tamanmu. Atau mungkin disebabkan keangkuhanmu ini Allah akan menurunkan petir dan guruh, dan menjadikan tanamanmu kering serta tandus dan engkau tidak akan mendapat hasil daripadanya”.

Dan pada keesokannya, cuaca menjadi amat buruk sekali dan hujan turun dengan lebatnya. Semua hasil tanaman, buah-buahannya musnah dan dibinasakan Allah. Si pekebun kaya itu amat dukacita melihat segala yang diusahakannya musnah sekelip mata dan dia menyesal atas segala perbuatannya. Lantas dengan sedih dia berkata: ” Kalaulah aku tidak menduakanmu, ya Allah!”.

Kisah kedua ini menunjukkan kepada kita penangan fitnah harta kepada ummat manusia.
Tidak dapat kita nafikan ada manusia yang hanyut hidupnya hanya dibuai dengan harta dan kekayaan.
Manusia terus hanyut dan hanyut sehingga mereka lupa dari siapa kesemua nikmat itu datang.

Sungguh, Allah telah berfirman,

Wahai orang-orang yang beriman ! Infakkanlah sebahagian dari hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untukmu. Janganlah kamu memilih yang buruk untuk kami keluarkan, padahal kamu sedikit tidak mahu mengambilnya melainkan dengan memicingkan mata (enggan) terhadapnya. Dan ketahuilah bahawa Allah Maha Kaya, Maha Terpuji. Syaitan menjanjikan (menakut-nakutkan) kemiskinan kepadamu dan menyuruh kamu berbuat keji (kikir), sedangkan Allah menjanjikan ampunan dan kurnia-Nya kepadamu. Dan Allah Maha Luas, Maha Mengetahui. ( 2 : 267-268)

Dan kita akui, terkadang kita juga terlibat sama dalam fitnah harta ini.
Hendak menderma, takut-takut tidak ikhlas.
Hendak menderma, terdetik pula si peminta seorang penipu.
Hendak menderma, keperluan diri juga masih banyak untuk dilaksanakan.

Jadilah semacam para sahabat yang tidak langsung berat hati mereka untuk berinfaq kepada jalan Allah.
Sungguh, yang mendahului infaq kita adalah iman.
Bila mana iman itu tinggi, maka mereka merelakan keseluruh harta mereka kepada jalan Allah.
Hanya tinggal kepada mereka adalah Allah dan Muhammad.

Iman itu menjadi penimbang-tara infaq.
Terlalu sayang kepada harta,
Bertambah cinta kepada dunia,
Berkuranglah pula satu cinta,
Cinta kita kepada-Nya.

Harta itu menyumbang bahagia,
Tapi derita jua dalam masa yang sama,
Biarlah di dunia kita berpada-pada,
Di akhirat sana kita kaya.

*****

Kisah ketiga. ( 18 : 60-82 )

Kisah antara Nabi Khidir A.S dan Nabi Musa A.S.

Kisah ini juga jelas Allah ceritakan.
Dalam kisah ini menceritakan Nabi Musa mempunyai banyak ilmu dan baginda telah meminta kepada Allah untuk diajarkan ilmu yang baru. Allah menyuruh Nabi Musa pergi ke sebuah tempat (pertemuan dua laut ). Semasa Nabi Musa bersama pembantunya telah sampai ke tempat tersebut tanpa disedari mereka, ikan (bekalan makanan) mereka hidup semula dan telah melompat masuk ke dalam laut tersebut. Tiba-tiba Nabi Musa berasa lapar dan pembantunya memberitahu bahawa ikan tadi telah melompat kembali ke dalam laut.  Nabi Musa berkata inilah tempat yang dicari. Setibanya kembali di tempat pertemuan dua laut itu maka berjumpalah mereka dengan Nabi Khidir A.S.

Dimintanya untuk mengajarkan ilmu yang telah dikurniakan oleh Allah kepada Nabi Khidir iaitu ilmu laduni. Ilmu laduni adalah ilmu yang boleh mengetahui perkara akan berlaku pada masa hadapan. Nabi Khidir berkata sungguh kau tidak akan sanggup sabar bersamaku. Rayu Nabi Musa sesungguhnya kau akan dapati aku daripada golongan orang yang sabar. Maka mereka berdua pun berjalan bersama.

Nabi Khidir telah melakukan tiga perkara yang setiap kali dia lakukan pasti akan ditanya oleh Nabi Musa iaitu membocorkan sampan, membunuh seorang kanak-kanak dan membetulkan dinding sebuah rumah yang hampir roboh.

Akhirnya, Nabi Musa berpisah dengan Nabi Khidir kerana baginda tidak dapat bersabar akan perkara yang dilaluinya bersama Nabi Khidir. Sebelum mereka berpisah, Nabi Khidir menerangkan kepada Nabi Musa berkenaan perkara yang tidak dapat disabarinya. Pertama, membocorkan sampan kerana di hadapan lautan terdapat seorang raja yang zalim hendak merampas harta nelayan yang miskin maka karamlah sampan bersama-sama mereka. Kedua, membunuh seorang kanak-kanak kerana dikhuatiri anak tersebut akan membawa ibubapanya ke arah kejahilan dan berdoa akan menggantikan dengan anak yang soleh. Ketiga, membetulkan dinding sebuah rumah yang hampir roboh kerana di bawah rumah itu tersimpan harta peninggalan ayah yang soleh kepada dua orang anaknya yang sudah yatim piatu. Harta tersebut adalah rahmat daripada Allah setelah mereka berdua telah dewasa.

Besar sungguh ibrahnya dari kisah ini.
Sungguh, bersabar itu adalah nilai yang sangat penting semasa menuntut ilmu.
Arakiannya juga, fitnah ilmu sering melanda manusia.

Ada manusia yang bangga dengan ilmunya.
Ada manusia yang kedekut ilmunya.
Ada manusia yang pura-pura tahu sedangkan dia tidak tahu.

Sebagai manusia, kita hendaklah faham konsep orang yang berilmu.
Berpengetahuan kita tidak sama Allah yang Maha Mengetahui.
Sungguh, kesemua ilmu di dunia ini adalah hak milik Allah yang mutlak.
Hanya dipinjamkan kepada kita buat gunaan kita semasa di dunia.

Dan sungguh, fitnah ilmu ini sangat merbahaya.
Kerana ada golongan manusia menyalah-guna ilmunya.

Ada manusia menggunakan ilmunya untuk menyesatkan.
Ada manusia menggunakan ilmunya untuk merendahkan martabat orang lain.
Ada manusia menggunakan ilmunya semata untuk kepentingan diri sendiri.

Sungguh, penuntut ilmu itu tidak keseorangan.
Ada syaitan bersamanya.

Dan bagi kita para dua’t.
Banyak yang kita tahu.
Dan telah banyak yang kita dapat.
Dalam usrah, daurah dan sebagainya.

Namun, adakah kita mahu menjadikan ilmu itu hanya bekalan buat diri sendiri dan tidak mahu   dikongsi  bersama orang lain ?
Bukankah orang lain juga ada hak untuk mengetahui apa yang kita tahu ?

Jika kau tahu, beri.
Jika kau tak tahu, cari. 

Dan sungguh, terdapat juga segolongan manusia yang menjadikan ilmu ini sebagai satu sumber untuk berdebat dengan manusia lain.
Ilmu ini untuk dikongsi, bukan untuk diperdebatkan.
Dan perdebatan itu adalah hanya antara yang haq dan batil.

Jadilah penuntut ilmu yang jujur dengan ilmu yang haq.

*****

Kisah keempat. (18 : 83-99 )

Kisah Zulqarnain dan Yakjuj Makjuj.
(Ada yang cakap Iskandar, Alexander la, cuba percaya sumber Allah dulu-Allah cakap namanya Zulqarnain)

Alkisahnya dari kisah ini, Yakjuj dan Makjuj sangat bangga dengan kuasa yang mereka ada.
Kemudian datanglah seorang pemuda yang diberi anugerah oleh Allah untuk membina sebuah tembok pemisah antara mereka dan manusia yang utuhnya sehingga kini.

Namun, apabila tiba hari yang ditentukan, Allah akan menghancurkan tembok tersebut.

(Demikianlah keadaan mereka) hingga apabila terbuka tembok yang menyekat Yakjuj dan Makjuj, serta mereka meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi. Dan hampirlah datangnya janji hari kiamat yang benar, maka dengan serta-merta pandangan mata orang-orang yang kufur ingkar terbeliak (sambil berkata dengan cemas): “Aduhai celakanya Kami. Sesungguhnya kami telah tinggal dalam keadaan yang melalaikan kami daripada memikirkan perkara ini, bahkan kami telah menjadi orang-orang yang menganiaya diri sendiri”. (Al-Anbiyaa’ : 96 – 97)

Ibrahnya dari kisah ini mempamerkan lagi satu fitnah yang biasa datang kepada manusia.
Fitnah kekuasaan.

Jika kita lihat pada zaman Rasulullah dahulu, golongan hamba cukup ditindas dengan begitu dahsyat.
Apabila datangnya Islam, taraf-taraf manusia ini dimusnahkan.

Inna akramakum ‘indallahi atqakum.

Sungguh, yang paling mulia di antara kamu adalah orang yang bertaqwa.
Taqwa akan menjadi titik perbezaan antara kita dan manusia-manusia yang lain.
Bukan lagi kekayaan, bukan lagi kekuasaan.

Kuasa yang ada pada tangan kita hanyalah kuasa yang akan hilang juga satu hari nanti.
Salah guna kuasa, merana.
Hilang kuasa, kecewa.

Itulah manusia.
Hakikatnya, bila kita diberi kuasa, kembalikan kekuasaan itu kepada Allah.
Gunakan dengan niat dan cara yang betul.
Niat kerana Allah.
Cara yang dibenarkan syariat.

Kesimpulannya,

Keempat-empat fitnah ini sering menghimpit kita.
Sama ada serentak, atau satu demi satu.

Namun, telah Allah mengajarkan  kita sesuatu.
Ternyata, perlu

Menjadi macam pemuda Kahfi bila berhadapan fitnah iman.
Menjadi pekebun yang miskin bila berhadapan fitnah harta.
Menjadi sabar bila berhadapan fitnah ilmu.
Menjadi macam Zulqarnain yang diberi kuasa.

sekian sahaja ibrah buat hari Jumaat yang mulia ini.

p/s : kalau mahu kisah lebih lanjut, rujuk tafsir. saya menulis bukan untuk menambah ilmu, cuma mahu menunjukkan ibrah dari kisah ini.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s