sitkom seorang manusia

Bismillah.

Salam dakwah buat semua pembaca.

Semoga hari ini berseri-seri wajahnya dan ibadahnya seperti berserinya gerhana bulan yang datang menyapa malam tadi.

**********

Apa persamaan antara seorang daie dan manusia yang lain ?
Ya, pandang diri sendiri dalam cermin.
Dan anda akan nampak, ya kita seorang daei ini juga adalah seorang manusia.
Tidak terlepas dari membuat kesalahan.

Usah kita sibuk memandang berapa banyak tarbiyyah yang kita dapat.
Lebih itu dan ini dari orang yang tidak ikut tarbiyyah.
Jika ini pemikiran anda, maka anda tidak akan merasa nikmatnya menjadi seorang manusia.
Kerana daie itu bukan bukan malaikat, bukan para nabi.
Kita hanya pendokong agama Allah yang biasa-biasa, yang terkadang mungkin membuat jahiliyyah senyap-senyap di belakang tabir, setelah sudah berdakwah pada orang ramai.

Bila ramai orang di sekeliling, malu.
Bila tiada orang tengok, masa itu dirasakan untuk mengorek sedikit demi sedikit jahiliyyah lama yang telah ditinggalkan dahulu.
Sungguh, kelakuan anda ini masih penuh dengan pertimbangan neraca manusia !
Ke mana hilangnya pertimbangan neraca Allah ?

Kelebihan seorang daie mungkin dari segi tsaqafahnya.
Kelebihan seorang daie mungkin hanya dari segi kefahamannya.
Kelebihan seorang daie mungkin hanya kerana dia tahu apa tanggungjawab yang Allah pikulkan di dunia.
Namun, hakikat kelebihan-kelebihan ini tidak dapat mengubah hakikat seorang manusia.

Manusia yang dihimpit bisikan-bisikan syaitan saban hari.
Malah, ada kalanya kita punya jahiliyyah ini seakan ada versinya.
Jahiliyyah versi seorang daie.
Bila tengok orang selalu dapat pergi program sana dan sini, hati mula cemburu.
Bila tengok orang dapat pangkat dalam jemaah, mula rasa cemburu.
Bila mula terasa penat berdakwah, mula hilang semangat.
Bila mutarabbi atau mad’u tidak mendengar kata, mudah marah.
Bila nampak orang yang tidak tutup aurat, orang yang bercouple sana dan sini, mula memberi tanggapan yang negatif dan menanamkan azam, mereka itu tidak mampu diselamatkan lagi.

Ya, saya katakan ini jahiliyyah versi seorang daie.
Malah, duduk dalam kategori jahiliyyah yang lebih hebat.
Jahiliyyah yang diheret bersama untuk mendaki gunung kemenangan Islam.
Sudahnya anda akan merasa berat dan lambat untuk sampai ke puncak dek kerana pikulan jahiliyyah yang terlalu berat.

Percayalah, hakikatnya anda seorang daie hanyalah seorang manusia.
Serang manusia yang juga berbuat kesalahan.
Seorang manusia yang juga mempunyai masalah sendiri meskipun di dalam kepala sibuk memikirkan masalah ummat.
Seorang manusia yang juga diberi pilihan antara dua jalan.
Namun, adakah kita tergolong dalam kumpulan manusia yang sedar antara perkara yang salah dan yang benar ?
Dan adakah kita kumpulan manusia yang bila sedar membuat salah, kita akan cepat-cepat bertaubat.

Ya, ini titik perbezaannya.
Kerana tidak ramai kumpulan manusia yang dapat beza antara baik dan buruk.
Malah, ada yang mencampur gaulkannya sekali.
Atau lebih teruk, mengaku perkara-perkara yang buruk itu lebih agung.
Dan tidak ramai juga manusia yang kembali ke pangkal jalan bila sedar tenggelam dalam jahiliyyah dunia ini.
Ada kumpulan manusia yang Allah tidak bukakan hati mereka dek kerana kedegilan diri mereka sendiri.

Inilah sitkom seorang manusia.
Bukan hanya sitkom seorang daie.
Bukan hanya sitkom seorang ustaz atau ustazah.
Bukan hanya sitkom seorang doktor atau guru.
Ianya, sitkom seorang manusia.

Syaitan yang tidak akan pernah putus asa dalam usaha-usaha mereka untuk menggoda kita.
Ya, syaitanlah makhluk Allah yang paling tidak putus asa sekali.
Syaitan seolah pandai mencorakkan lagi dunia jahiliyyah ini.
Corak-corak mereka yang sentiasa indah.
Dan kita pula kerap mengatakan, ‘ Alah, takpelah sikit je ni aku buat kalau nak banding dengan orang lain.’
Dan corak-corak mereka ini bertambah indah apabila kita mengaku kita taat kepada perintah Allah, tetapi sebenarnya sibuk memenuhi tuntutan menjadi hamba kepada syaitan.
Janji-jani syaitan, kata-kata manisnya, yang tidak pernah putus menjadi bisikan halus dalam hati.
Itulah sebenarnya seburuk-buruk janji, sekeji-keji perkataan.

Ya, dalam pembikinan sitkom seorang manusia ini ternyata ada syaitan juga yang terdiri sebagai pelakon-pelakon tambahan yang sangat mantap.
Habis semua aspek syaitan akan mencari titik kelemahan seorang manusia.

 

Sungguh, janganlah anda membebankan ibadah anda dengan nafsu.
Kerana diragui akan hilangnya sengat sebuah ibadah.
Anda perlu untuk memilih jalan mujahadah.
Jalan mujahadah yang kita tahu payah dan perit.
Jalan mujahadah yang kita tahu susah untuk kita jadikan sebagai jalan alternatif untuk kita melahan jahiliyyah.

Ikatlah kuda liar jahiliyyah anda itu dengan tali mujahadah.
Ikat untuk elakkan ianya mengganas.
Ikat untuk elakkan ianya terlepas sehingga merosakkan peribadi kehambaan kita.
Ikatlah ia demi menjaga Allah dalam hati anda, demi menjaga murninya dan sucinya jalan dakwah dan tarbiyyah.

Dalam sitkom seorang manusia, segalanya tidak indah.
Bila kita cakap tentang dunia tarbiyyah dan dakwah, bertambahlah penganggungan untuk kita mujahadah.
Mujahadah untuk terus bertahan dalam jalan ini.
Mujahadah untuk melawan jahiliyyah-jahiliyyah versi seorang daie.
Bukanlah dunia dakwah dan tarbiyyah ini satu jaminan untuk anda bebas dari kesalahan dan dosa.
Sentiasa menyukat diri anda ini hanya seorang manusia yang sama seperti hambanya yang lainnnya.
Daie itu gelaran yang sesuai untuk semua hamba yang faham akan tanggungjawabnya sebagai seorang khalifah.
Daie itu hanya sekadar nama yang bukan menunjukkan hebatnya taraf kita seorang manusia.
Daie itu hanya sekadar nama untuk tanggungjawab yang kita pikul di dunia.

 

Berhentilah menyukat diri anda sebagai seorang daie.
Hisablah diri sendiri sebagai seorang manusia.

Berhati-hati dengan kejahatan kerana ia mampu menarik yang baik dan menjadikan kebaikan itu satu kegelapan yang lebih dahsyat.

“Katakanlah(Wahai Muhammad):”Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia.Yang Menguasai sekalian manusia,Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, Dari kejahatan pembisik,penghasut yang timbul tenggelam,yang melemparkan hasutannya ke dalam hati manusia,(iaitu pembisik dan penghasut)dari kalangan jin dan manusia.” (An-Naas : 1-6 )

 

Sentiasa meminta perlindungan dengan Allah, bukan dengan dakwah dan tarbiyyah.
Dakwah dan tarbiyyah tidak banyak membantu anda sekiranya anda tidak membantu diri sendiri.

Bantulah diri sendiri untuk menjadikan sitkom seorang manusia ini penuh dengan kebenaran.
Hayatilah pesan Rasulullah S.A.W kepada Muadz Bin Jabal :

“Wahai Muaz, aku sangat cinta kepadamu. Maka selepas kau mengerjakan solat jangan sekali-kali kau lupa berdoa kepada Allah dengan doa ini: “Ya Allah, bantulah aku mengingati-Mu, bantulah aku mensyukuri nikmat-Mu dan bantulah aku untuk mmperbaiki ibadah kepada-Mu.”

 

Fahamilah nafsu itu tidak indah.
Fahamilah nafsu ini hanya merosakkan.
Fahamilah jahiliyyah ini membebankan.
Fahamilah jahiliyyah ini menjauhkan kita dari kebenaran yang sebenarnya nyata, namun bila terlalu lama dalam jahiliyyah itu, kita rasa seperti kebenaran itu disorokkan.

Jika anda tidak fahami perihal nafsu ini,
Percayalah lebih susah untuk anda bermujahadah melawannya.

Binalah azam dan kekuatan diri.
Jelaskan matlamat dan niat anda untuk menjauhi jahiliyyah.
Bina tembok penghalang daripada jahiliyyah itu datang menerpa.
Tembok yang segagah Tembok Besar China.
Bina tembok itu dengan iman dan taqwa.
Bina tembok itu dengan cinta kepada Allah dan Al-Quran.
Jika tembok ini tidak anda bina, maka senangnya tentera-tentera jahiliyyah untuk menyerang anda, dan anda akan kalah.

Jadi, selalulah mencari usaha-usaha untuk memperbaiki iman.
Tadabburlah ayat-ayat-Nya dengan penuh mendalam dan penghayatan.

Latih diri dan konsisten untuk melawan jahiliyyah dan apa jua seangkatan dengannya.
Bukan hangat-hangat tahi ayam.
Bukan macam lalang. Jika dipukul angin, terus lari terbuai-buai.
Jadilah pokok yang teguh dengan prinsip.
‘ Alah bisa tegal biasa.’

Sungguh, tiada jalan pintas untuk kita lari sepuas-puasnya dari jahiliyyah.
Jalan mujahadahlah jalan yang Allah sediakan.

‘ Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.’
Saya tukar.

‘ Buat baik banyak-banyak sangat, buat jahat jangan sekali apatah lagi berkali-kali, kalau buat jugak, bertaubat.’

Anda tidak lagi terlambat.
Pintu rahmat dan taubat Allah sentiasa terbuka.
Pintu kebenaran sentiasa ada.
Cuma terletak kepada kita untuk mengetuk dan masuk melalui pintu itu.
Dan bila sudah masuk, jangan masuk sebelah kaki sahaja, masuklah keseluruhan diri.

Sungguh, masuk ke dalam Islam ini secara kaffah (sepenuhnya), bukan separuh-separuh, bukan suku-suku.

‘ Carilah pintu kebenaran laksana anda mencari rezeki di atas muka bumi.’

‘ Kalau nak masuk,  jangan masuk seorang diri, ajaklah semua sekali.’
 

Advertisements

4 thoughts on “sitkom seorang manusia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s