aku hamba ar-razzaq

Bismillah.

Salam dakwah buat semua.

Semoga Allah kita berterusan untuk syukur dan redha dengan rezeki yang diberi Allah kepada kita setiap saat dalam kehidupan yang Allah beri ini, inshaAllah !

***************

Bagaimana mahu menjadi seorang hamba yang mengimani Ar-Razzaq ?
Bagaimana mahu memahami perihal Ar-Razzaq yang menjadi nama Allah ini ?

Ar-Razzaq itu membawa maksud Yang Maha Pemberi Rezeki.
Sungguh, Allah lah yang memberi segalanya kepada kita hari ini.
Dari sebesar-besar benda sehingga sekecil-kecil benda.
Untuk mencatit kesemua nikmat dari Ar-Razzaq, sungguh, tiada dayanya !

Terlalu banyak.
Melebihi banyaknya air di lautan.
Melebihi dedaunan di pokok-pokok yang merimbun.

Tidak mampu untuk kita membalasnya.
Namun, kita tahu, nikmat yang Allah berikan kepada kita bukanlah sia-sia.
Gunakan dan manfaatkan sebaiknya, itulah harga yang sesuai dibayar oleh seorang hamba kepada Ar-Razzaq.

Ar-Razzaq inilah yang memberi udara kepada kita untuk terus hidup sehingga kini.
Adilnya Ar-Razzaq, Dia tidak akan menarik nyawa kita selagi kita belum lagi menyedut udara yang telah Dia takdirkan kepada kita.

Inilah rezeki.
Rezeki yang telah ditentukan Allah kepada kita sebelum kita lahir lagi.
Segalanya dibawah pengawasan Allah.
Allah yang Maha Teliti dalam pembahagian rezeki buat hamba-hamba-Nya.

Dekatnya rezeki dan nikmatnya rezeki ini dengan kita laksana awan yang berat sebelum hujan.
Awan yang berat, hanya berada di atas kita.
Jika Allah takdirkan ianya akan menghempap kita, maka ia akan menuruti perintah Allah.
Namun, Allah perintahkan ianya turun dalam bentuk titisan yang kecil dan mendamaikan.

Inilah rezeki.
Hakikatnya ianya dekat dengan kita.
Dan hakikatnya ianya datang dalam bentuk yang mampu menggembirakan jiwa-jiwa manusia.

Ar-Razzaq ini jugalah mengajar kita tentang perlunya berusaha untuk mendapatkan rezeki-Nya.
Agama Islam bukan agama yang pasif.
Agama Islam menyuruh umatnya sentiasa berusaha dan terus berusaha tanpa mengira apa jua jenis pekerjaan kita, kerana menurut sunatullah-Nya, siapa yang berusaha akan mendapat hasilnya.

Namun begitu, yakinilah Allah itu Ar-Razzaq.
Usaha kita tiada kaitan dengan natijah.
Pada natijahnya itu akan terlihat bagaimana kuatnya iman dan redhanya kita kepada Ar-Razzaq.
Pada usahanya itu akan terlihat bagaimana kuatnya keyakinan kita kepada Allah bahawa Dia memang suka orang-orang yang berusaha.

Atas alasan inilah saya menyatakan, bahawa usaha kita itu jika dibandingkan dengan natijah adalah dua perkara yang tidak boleh dihimpunkan bersama.

‘ Habis kak, lepas ni takyah la usaha. Duduk je diam-diam, apa yang Allah dah takdirkan menjadi rezeki kita, tetap kita akan dapat jugak kan ? ‘

‘ Awak rasa Allah tengok usaha awak ke rezeki yang awak dapat. Habis tu, rugilah orang-orang yang berusaha untuk hidup dia sepanjang atas muka bumi ni kan ? ‘

Malulah bagi mereka-mereka yang tidak mengenali dan beriman dengan Ar-Razzaq !

Amalinya dengan Ar-Razzaq bukan sekadar dan tidak cukup sekadar dengan anggota.
Tetapi pada hati.
Redhakan kita dengan Ar-Razzaq ?
Redhakah kita saat melihat orang lain yang hidupnya lebih bahagia  dari kita ?
Redhakah kita pada keadaan fizikal kita yang mungkin ada sedikit kekurangan jika dibandingkan dengan orang lain ?
Redhakah kita dengan pakaian yang kita pakai walaupun baju tersebut tidak secantik pakaian orang lain ?
Redhakah kita saat melihat orang lain yang rumahnya lebih gah dan perabotnya lebih besar dari rumah kita ?
Redhakah kita kepada keputusan peperiksaan kita yang ternyata sangat rendah jika dibandingkan dengan sahabat-sahabat lain ?
Redhakah kita akan segalanya ?

 

Mari saya tanyakan sekali lagi kepada anda,
redhakah anda sebenarnya kepada Ar-Razzaq ?

Apa itu redha ?
Redha itu adalah anda usaha sehabis baik tanpa menyimpan apa jua rasa setelah melihat natijahnya.
Dan redha itu syaratnya adalah usaha, bukan duduk-duduk goyang kaki, menadah tangan sekadar berdoa minta diberi ganjaran itu dan ini.

Jika anda seorang yang malas berusaha, anda TIDAK LAYAK untuk digelar seorang hamba Allah yang redha !

Mengapa saya kaitkan Ar-Razzaq ini dengan redha ?
Kerana saya tahu, dengan rezekilah lazimnya kita dapat mengaitkan redha kita kepada Allah.
Dan terujinya redha kita kepada Ar-Razzaq adalah apabila kita mendapat apa yang bukan kita harapkan.
Bila kita penat-penat usaha, natijahnya seakan tidak setimpal.
Saya tanya kepada anda,
Siapa kita untuk merungut kepada Ar-Razzaq ?
Siapa kita untuk mempersoalkan Ar-Razzaq ?

Kita ini bukan sesiapa.
Kita ini sekadar hamba-Nya.
Hamba yang harus redha hatinya terhadap apa jua yang datang kepada hidup kita.
Bukankah begitu ?

Sudah puas kita cuba untuk memahami konsep menjadi hamba-Nya.
Dan kepuasan itu tidak akan selesai selagi kita tidak cuba untuk memahami kuasa-Nya ke atas diri kita.

Ingin saya petik, kata-kata Ibnul Qayyim Al-Jauzi,

 “Syukur termasuk kedudukan yg paling tinggi dan lebih tinggi, bahkan jauh lebih tinggi, daripada kedudukan redha. Di mana sifat redha itu masuk dalam syukur kerana mustahil syukur ada tanpa redha.”

 

Jadi, selepas ini tidak perlu risau dengan apa natijah yang akan anda dapat.
Jangan risau dengan apa yang bakal menghiasi hidup anda pada masa yang akan datang.
Usaha sehabis baik.
Dan nantikan hasilnya pabila Allah menakdirkan masa yang sesuai buat kita.
Sehebat manapun usaha, anda tidak dapat menandingi kuasa Ar-Razzaq.
Tetap perlunya usaha itu diiringi dengan  redha kepada Ar-Razzaq.

Relive yourself of concern after planning.

Dalam sebuah Hadis Qudsi yang saya kira cukup indah,

 “Sesungguhnya Allah yang Maha Luas kurnia-Nya lagi Maha Tinggi, akan menguji setiap hamba-Nya dengan rezeki yang telah Dia berikan kepadanya. Barangsiapa yang redha dengan pemberian Allah maka Allah akan memberkahi dan melapangkan rezeki untuknya dan barangsiapa yang tidak redha niscaya rezekinya tidak diberkahi.” (HR. Ahmad).

 

Rodhitullahi rabba.
Wa bil islama diina.
Wa bi muhammad nabiyyin wa rasula.

Sungguh, aku redha Allah ini sebagai tuhanku, islam ini agamaku, dan Rasulullah itu nabi dan rasul.

Abbas bin Abdul Muthalib berkata, saya mendengar Rasulullah S.A.W  bersabda, “Orang yang akan menikmati manisnya iman adalah orang yang ridha Allah swt. sebagai Tuhannya, Islam sebagai agamanya dan Muhammad sebagai rasulnya.” (HR Muslim)

Mungkin sudah saban pagi dan petang kita lazimi dengan mulut kita dalam zikir ma’thur.
Tetapi bagaimana pula dengan penghayatan dalam hati ?
Mungkin perlu diperbaiki dan terus mendidik hati untuk sentiasa redha.

Kata Ibnul Qayyim Al-Jauzi lagi,

 “Redha adalah pintu Allah swt. yang paling agung. Tempat istirahatnya orang-orang yang ahli ibadah dan wujud dari surga dunia. Siapa yang selama hidup di dunia belum pernah menikmatinya, ia tidak akan menikmatinya di akhirat.”

 

Sungguh, jika anda benar-benar redha kepada Ar-Razzaq,
anda akan mendapat ketenangan laksana syurga di dunia.
Maka, nikmatilah sebelum anda terlambat.

Biarlah jiwa anda ini memahami konsep redha ini. Berdoalah kepada Allah.

As’alukallahummar ridha ba’dal qadha, wa burdal ‘iisyi ba’dal maut, wa ladzdzatan nazhori ila wajhika, wa syauqon ila liqaa’ika.

Ya Allah, aku mohon kerelaan atas setiap keputusan-Mu, kesejukan setelah kematian, dan kelezatan memandang wajah-Mu serta kerinduan berjumpa dengan-Mu.

Betapa pentingnya konsep redha ba’dal qadha.
Tiada redha selepas apa yang menimpa.
Sebelum apa jua yang menimpa, hendaklah redha mendahului.
Laksana bagaimana anda melihat tumbuhnya sebuah pokok adalah berasal dari biji benihnya.
Biarlah redha itu menjadi benih.

Jangan sesekali kita mengambil perangai orang jahiliyyah terdahulu.

Al-Hakim meriwayatkan Alqamah bin Haris r.a berkata, aku datang kepada Rasulullah s.a.w dengan tujuh orang dari kaumku. Kemudian setelah kami beri salam dan beliau tertarik sehingga beliau bertanya, “Siapakah kamu ini?” Jawab kami, “Kami adalah orang beriman.” Kemudian baginda bertanya, “Setiap perkataan ada buktinya, apakah bukti keimanan kamu ?” Jawab kami, “Buktinya ada lima belas perkara. Lima perkara yang engkau perintahkan kepada kami, lima perkara yang diperintahkan oleh utusanmu kepada kami dan lima perkara yang kami terbiasakan sejak zaman jahiliyyah ?”

Tanya Rasulullah s.a.w, “Apakah lima perkara yang aku perintahkan kepada kamu itu ?” Jawab mereka, “Kamu telah perintahkan kami untuk beriman kepada Allah s.w.t., percaya kepada Malaikat-Nya,Kitab-kitab-NyaRasul-rasul-Nya, percaya kepada takdir Allah s.w.t. yang baik mahupun yang buruk.” Selanjutnya tanya Rasulullah s.a.w “Apakah lima perkara yang diperintahkan oleh para utusanku itu ?” Jawab mereka, “Kami diperintahkan oleh para utusanmu untuk bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan engkau adalah utusan Allah, hendaknya kami mendirikan solat wajib, mengerjakan puasa di bulan Ramadhan, menunaikan zakat dan berhaji bila mampu.”

Tanya Rasulullah s.a.w selanjutnya, “Apakah lima perkara yang kamu masih terbiasakan sejak zaman jahiliyyah ?” Jawab mereka, “Bersyukur di waktu senang, bersabar di waktu kesusahan, berani di waktu perang, redha pada waktu kena ujian dan tidak merasa gembira dengan sesuatu musibah yang menimpa pada musuh.” Mendengar ucapan mereka yang amat menarik ini, maka Rasulullah s.a.w berkata, “Sungguh kamu ini termasuk di dalam kaum yang amat pandai sekali dalam agama mahupun dalam tatacara berbicara, hampir sahaja kamu ini serupa dengan para Nabi dengan segala macam yang kamu katakan tadi.”

Kemudian Rasulullah s.a.w selanjutnya, “Mahukah kamu aku tunjukkan kepada lima perkara amalan yang akan menyempurnakan dari yang kamu punyai ?

Janganlah kamu mengumpulkan sesuatu yang tidak akan kamu makan. 

Janganlah kamu mendirikan rumah yang tidak akan kamu tempati. 

Janganlah kamu berlumba-lumba dalam sesuatu yang bakal kamu tinggalkan, 

Berusahalah untuk mencari bekal ke dalam akhirat.”

 

Allahu rabbi.
Sungguh, aku ingin benar-benar menjadi hamba kepada Ar-Razzaq !
Aku tidak mahu menjadi hamba yang hanya redha pada waktu-waktu yang tertentu.
Aku mahu redha kepada-Mu dengan keseluruhan hidup dan jiwaku.

Betapa aku masih tertinggal dari jiwa-jiwa yang benar-benar redha !

Mari saya bawakan kisah para anbiya’ dan para sahabat untuk menunjukkan betapa redhanya mereka kepada Allah.
Ketika Rasulullah kematian anaknya Ibrahim yang sangat disayanginya, Baginda sangat sedih sehingga menitis air mata. Sabda Rasulullah : ‘ Mata boleh bercucuran, hati dapat merasa duka, tetapi kami hanya berkata apa yang menjadi perkenan Tuhan. Wahai Ibrahim, sungguh sedih terhadapmu.’

Melihatkan kesedihan Rasulullah yang amat sangat, para mukmin turut terkena tempiasnya. Dan ada juga yang mengingatkan Baginda yang dahulunya melarang mereka untuk terlalu bersedih. Dan kemudian Rasulullah menjawab: ‘ Aku tidak melarang orang berduka cita, tetapi yang ku larang menangis dengan suara yang keras. Apa yang kamu lihat dalam diriku sekarang adalah pengaruh cinta dan kasih di dalam hati. Orang yang tiada menunjukkan kasih sayangnya, orang lain pun tidak akan menunjukkan kasih sayang kepadanya.’

Mari saya bawakan kisah yang lain dahulu sebelum menerangkan pengajarannya dari kisah di atas.
Kisah Fudhail bin Iyadh yang hanya tersenyum tatkala anaknya meninggal dunia. Katanya,

Sesuatu yang dicintai Allah pasti aku akan ku cintai. Dan ketika Allah menginginkannya, maka aku pun mencintai apa yang diingin dan dipilih Allah.

 

Sungguh, kadua-dua kisah ini menunjukkan betapa redhanya insan ini berbanding kita.
Tetapi, redha itu kena seimbang dalam hati.
Redha yang seimbang bersama rahmah.
Sungguh, Rasulullah yang lebih hebat dalam menjadi seorang hamba-Nya yang redha.

Menangis bukan tanda kita tidak redha.
Menangis adalah kerana rahmah, kerana kasih sayang.
Jadi, tiada salahnya untuk menangisi andai kita stabilkan dengan redha.

‘ Dah tu kak, tak payah menangisla time orang yang kita sayang meninggal sebab kita redha ? ‘
‘ Itu bukan tanda redha, itu tanda tiada kasih sayang dalam hati awak. Awak ni la, Rasulullah pun tahu menangis tau.’

Seperti kata Imam Syafie,

Sesiapa yang merasa marah tetapi dia tidak meluahkannya maka dia seumpama keldai dan sesiapa yang merasa redha terhadap sesuatu tetapi dia tidak dapat menerimanya maka dia seperti syaitan yang mana redha dengan ketuhanan Allah tetapi tidak mahu tunduk pada perintahNya.

 

Lihat sahaja betapa redhanya Khalid Al-Walid kepada Allah setelah dia hanya syahid di atas katil, bukan di medan perang seperti yang dimintanya.
Mampukah kita untuk redha setelah berjuang seperti Saifullah ini ?
Dan adakah kita sebenarnya telah ikhlas berjuang ?

Lihat sahaja betapa redhanya Tsabit bin Ibrahim, kisah pemuda epal yang sangat popular. Dia dikehendaki untuk berkahwin dengan anak perempuan kepada pemilik pohon epal tersebut.
Bayangkan pemilik tersebut menerangkan anaknya itu buta, tuli, dan bisu.
Jika kita, itu bakal jodoh yang ditakdirkan Allah kepada kita, dapatkah kita menjadi redha seperti Tsabit Bin Ibrahim ?

Tsabit yang pada awalnya terkejut dengan hukuman pemilik pohon epal tersebut. Dan dia menjawab dengan hebatnya,  “Aku akan menerima pinangannya dan perkahwinannya. Aku telah bertekad akan mengadakan transaksi dengan Allah Rabbul ‘Alamin. Untuk itu aku akan memenuhi kewajiban-kewajiban dan hak-hakku kepadanya karena aku amat berharap Allah selalu meredhaiku dan mudah-mudahan aku dapat meningkatkan kebaikan-kebaikanku di sisi Allah Ta’ala”

Dan apabila dia melihat isterinya, ternyata tidak seperti ayah mertuanya gambarkan. Dan ini adalah hadiah dari Allah kepada beliau dengan kehambaaanya yang begitu redha kepada Ar-Razzaq.

Dan satu lagi kisah yang agak syahdu bagi jiwa saya.
Bagaimana redhanya ‘Urwah Ibnu Zubair Al-Awwam terhadap apa yang terjadi kepadanya.

‘Urwah yang ketika itu dalam perjalanan ke Damsyik bersama anaknya ingin berjumpa dengan Khalifah Walid Ibnu Abdul Malik. Dia ditimpa penyakit pada kakinya. Dan doktor mengesahkan kakinya perlu dipotong, dan ditakdirkan Allah, anaknya juga meninggal pada hari yang sama.

Allahu rabbi.
Jika anda mampukah anda redha untuk menerima dua berita sedih ini pada hari yang sama.
Namun, jawapan ‘Urwah cukup menggamit benak jiwa saya.

 ” Ya Allah, segala puji bagiMu, aku mempunyai empat kaki dan tangan, kemudian Engkau ambil satu. Kini hanya tinggal tiga. Dan aku mempunyai tujuh anak, kemudian Engkau ambil satu, kini mereka tinggal enam orang. Jika Engkau tiba-tiba memberi penyakit setelah memberi kesihatan, dan jika Engkau mengambil apa yang telah Engkau berikan, maka segala puji hanya bagiMu, Ya Allah.”

 

Inilah tandanya redha ‘Urwah kepada takdir Allah.
Terbayang-bayang, apakah diri ini telah cukup dan bersedia untuk redha seperti itu ?
Astaghfirullah.
Terlalu banyak rungutan.
Terlalu banyak yang tidak menepati citarasa.
Ternyata diri ini tidak cukup lagi sifat redha.

Kisah yang terakhir.
Tentang betapa redhanya Sayyidatina Sofiyyah ke atas kematian abangnya, Sayyidina Hamzah, Singa Allah.

Kita tahu betapa teruknya mayat Sayyidina Hamzah yang dikerjakan oleh Hindun yang mahu membalas dendam atas kematian suaminya. Dek kerana Rasulullah takut Sayyidatina Sofiyyah tidak sanggup melihat mayat kekandanya, maka Baginda berpesan kepada Zubair Al-Awwam (anak Sayyidatina Sofiyyah) supaya menasihati ibunya pulang ke rumah.

Lalu Zubair pun memberitahu kepada ibunya seperti yang diperintahkan oleh Rasulullah. Dan ternyata Sayyidatina Sofiyyah juga menjawab dengan jawapan yang menggamit naluri saya.

“Mengapa aku harus kembali? Aku telah mendengar bahwa saudaraku itu telah dibunuh dengan cara yang keji dan hal itu demi Allah. Maka kami redha atas kejadian itu dan aku akan bersabar dengan baik dan akan mengharap pahala, insyaAllah.”

Maka Zubair memberitahu kepada Rasulullah tentang apa yang diperkatakan Sofiyyah lalu Baginda membenarkan Sofiyyah untuk datang melihat mayat kekandanya.

Aduhai, tegarnya jiwa seorang wanita yang bernama Sofiyyah ini kerana redhanya sahaja !

Everything that comes to us, in the past, present and in the future, is from Allah. And everything from Allah is the best. There is no need to worry.

Hakikatnya rezeki yang Allah limpahkan kepada ummat manusia adalah sama rata.
Mungkin ada manusia yang lebihnya di sini, dan ada manusia lebihnya di tempat lain.
Tetapi jika dikira -kira semula, semuanya sama rata, datang dari Ar-Razzaq yang Maha Adil, lagi Maha Bijaksana.

Tambahlah taqwa anda agar senang untuk anda mencapai redha-Nya.
Tambahlah istighfar anda agar senang untuk anda menjiwai apa itu Ar-Razzaq, yang Maha Pemberi rezeki.

 

 

 

 

 

 

 

 

 


2 thoughts on “aku hamba ar-razzaq

  1. oh TT_TT
    daifnya diri ini berbanding yang maha kaya
    berkirenye diri ini dengan takdir yang maha memberi
    kecilnya diri ini berbanding tokoh2 tersebut

    kenikmatan yg paling indah adalah apabila kita redha dengan allah, dan allah redha dgn kte
    akankah detik itu kunjung tiba?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s