kompas tarbiyyah dalam ukhuwwah

Bismillah.

Salam ukhuwwah dan salam dakwah buat pembaca semua.

Semoga hari ini rahmat Allah buat anda sentiasa meluas, jadi janganlah sengaja menyempitkan jiwa untuk terus mencarinya.

*****************

Tarbiyyah banyak mengajar kita untuk lebih menghargai ukhuwwah.
Tarbiyyah banyak mengajar kita untuk lebih memanfaatkan ukhuwwah.
Tarbiyyah banyak mengajar kita untuk lebih mengindahkan ukhuwwah.

Ke mana halanya tuju kompas tarbiyyah dalam ukhuwwah ?
Setakat di hentian dunia sahajakah ?
Setakat di persimpangan dakwah sahajakah ?
Setakat di selekoh syurga sahajakah ?

Atau,

Sekadar kerana ianya tuntutan dakwah.
Kita faham, dakwah ini bertautnya dengan tautan hati.
Dakwah tidak akan berjalan tanpa berukhuwwah.
Dakwah tidak akan berjaya sebelumnya wujud kasih sayang dalam hati.
Namun, apabila kita sudah melihat dia kuat dalam jalan dakwah ini, maka hangatnya ukhuwwah tidak seperti dahulu lagi.
Kita tidak lagi membelainya seperti dahulu.
Kita tidak lagi selalu berada di sampingnya seperti dahulu.
Ah, sudah hilang sengatnya ukhuwwah di situ.

Hilangnya sengat di situ, adalah kerana hilangnya kompas tarbiyyah dalam berukhuwwah.
Mulai kabur matlamat yang jelas dalam berukhuwwah.
Atau, matlamat dahulunya sudah terasar ke jalan yang lain.

Tarbiyyah dan dakwah mengajar kita, mematangkan kita.
Pengalaman yang banyak memberi pengajaran.
Banyak persoalan seakan terjawab apabila kita semakin memahaminya.
Dan antara kompas yang berharga dalam tarbiyyah dan dakwah adalah ukhuwwah.

Kita akui tetap akan kuat semangat meskipun tiada yang berdiri di sebelah kita saat kita sedang lemah.
Kita akui kita tetap akan menjalankan dakwah meskipun orang menghiris hati dan perasaan kita (buang masa merajuk atau terasa-terasa dengan ukhti ni).
Namun, ukhuwwah itu masih jelas sebagai teras dalam berdakwah.
Bercahayanya bintang di langit tinggi itu, bintang juga tidak keseorangan.
Tingginya bintang di langit dakwah, tetap memerlukan bintang-bintang lain untuk menemaninya.
Malamnya bumi ia masih tidak sunyi, tetap bertemankan cahaya bulan di sampingnya.

Inilah ukhuwwah dalam kompas tarbiyyah.
Mahalnya nilai ukhuwwah.
Tidak boleh dijual beli.
Bukan untuk diperdagangkan.

Ukhuwwah dalam kompas tarbiyyah memberi hala tuju dan matlamat yang lebih jelas.
Bukan sekadar di dunia, malah hingga ke akhirnya.
Bukan sekadar dalam dakwah, malah hingga kita kehabisan nyawa dalam nyawa ini.
Biarlah bunga-bunga ukhuwwah itu ada di taman syurga.
Biarlah langit-langit dakwah itu dilimpahi cahaya bintang-bintang di dalamnya.
Biarlah lautan ikatan cinta itu menjadi nadi untuk terus kita berjuang.

Semangatnya dia menabur bakti dalam jalan dakwah ini, menjadikan kita juga untuk terus semangat.
Kuatnya  dia bertahan dengan arus dalam jalan dakwah ini, menjadikan kita juga untuk terus kuat.
Setianya dia berada di samping kita dalam saff ini, menjadikan kita juga ingin memahatkan kesetiaan itu di dalam hati.

Sungguh, terputusnya ukhuwwah itu akan menyebabkan keciciran dan kegelinciran seseorang dalam jalan dakwah ini.
Sama ada dia, atau kita sendiri yang akan tercicir dari gerabak ini.

Kelemahan yang berpunca dari lemahnya kompas tarbiyyah.
Kelemahan yang berpunca dari ketidaksesuaian tempat kita letakkan dia dalam tarbiyyah ini.
Kelemahan yang kerana kita sibuk sangat bekerja sehingga kita melupakan dia.
Kelemahan yang berpunca dari kerja dakwah yang tidak dibahagi dengan betul.

Allahu rabbi, betapa ukhuwwah ini banyak mempengaruhi dakwah dan tarbiyyah kita.
Pernahkah kita menghayati semula kompas tarbiyyah kita dalam ukhuwwah ini ?

Ke mana hala tujunya ?
Lemahnya kompas tarbiyyah, boleh mencacatkan kita untuk sampai kepada hala tuju yang sebenar.
Pentingnya tarbiyyah untuk memandui ukhuwwah.
Kerana kita tahu, tarbiyyah inilah menjaga iman kita.
Dan simpulan kemas ukhuwwah itu dipegang dengan iman yang padu.

Dialah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka (yang telah ada). Dan kepunyaan Allah-lah tentera langit dan bumi dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. ( Al-Fath : 4 )

 

Biarlah dalam apa jua keadaan dakwah ketika itu, tarbiyyah diberi tumpuan yang utama.
Tarbiyyah yang sentiasa mewajibkan pengawasan diri kita sendiri.
Sentiasa mengingati Allah.
Mengikut jalan Allah.
Menyuburkan iman yang kian melayu.
Menjauhkan kita dari fitnah-fitnah yang sentiasa melanda hati.

Sungguh, hati orang-orang mukmin itu sentiasa berada di antara dua jari Ar-Rahman.
Biarlah tautan hati itu kerana Allah.
Biarlah jalinan ukhuwwah itu menuju kepada Allah.
Biarlah ukhuwwah itu bersama Allah.

Bukankah menyayangi seseorang itu kerana Allah salah satu cara untuk menikmati kemanisan iman ?

Tarbiyyah mengajar kita untuk berlapang dada.
Tarbiyyah banyak mengajar kita untuk bersabar.
Tarbiyyah banyak mengajar kita untuk mengutamakan orang lain.
Sudah cukupkah kita mengaplikasikan kesemuanya ?
Sudah banyakkah kita mengamalkannya semua ?

Atau sekadar tarbiyyah itu hanya mengajar, tidak meninggalkan kesan.

Percayalah !
Cacatnya tarbiyyah, layulah ukhuwwah.
Pabila layunya ukhuwwah, rapuhlah saff yang dibina.
Pabila rapuhnya saff, runtuhlah harakah (gerakan).

Oleh kerana itu, sentiasalah kita mengkaji semula manhaj-manhaj tarbiyyah yang kita terima.
Sungguh, tubuh badan harakah itu didokong oleh hati-hati pekerja-pekerjanya.
Biarlah ketahanan jundi-jundi itu sentiasa kuat seiring dengan tarbiyyahnya, agar sentiasa segar harakah dan perjuangannya.

Kerana itu, sentiasalah kita ingat.
Peliharalah kompas tarbiyyah dalam ukhuwwah.
Perbaiki semula jarumnya andai terlari dari arah yang betul.

Sabda Rasulullah :

Sesungguhnya iman yang berada  di dalam hati kamu menjadi lusuh seperti mana lusuhnya pakaian. Oleh itu, mohonkanlah dari Allah Taala supaya Dia membaharui iman di dalam hati kamu.

( Riwayat Al-Tabrani dan Al-Hakim)

 

Lusuhnya iman, lusuhlah ukhuwwah.

Ukhuwwah itu mempunyai tempatnya.
Kerana jika tidak diletakkan di tempat yang betul, akan rosaklah ukhuwwah.

Di mana tempat ukhuwwah yang betul ?
Apabila kita tahu keistimewaan seseorang dan kita tahu titik kelemahannya.
Dan seterusnya kerja-kerja dakwah akan diberikan berdasarkan apa yang sesuai dengan kebolehannya, kecenderungannya serta kedudukannya.

Inilah tempat ukhuwwah yang betul.
Jika pemilihan yang salah dilakukan, maka kerja dakwah akan bertaburan.
Dan masalah yang banyak akan timbul.
Maka, tunggu sahajalah saat kehancuran sesebuah harakah itu.

Ada kumpulan manusia suka melukis, maka gunakanlah lukisannya untuk dakwah.
Ada kumpulan manusia suka menulis, maka gunakanlah penulisannya untuk dakwah.
Ada kumpulan manusia suka menguruskan soal tarbiyyah, maka gunakanlah untuk dakwah.
Ada kumpulah manusia suka menjaga bahagian ekonomi, maka gunakanlah untuk dakwah.
Dan demikianlah untuk bidang-bidang yang lain.

Kita manusia.
Mempunyai kebolehan dan keistimewaan yang tersendiri.
Maka, gunakanlah untuk dakwah.
Kita manusia.
Tidak sempurna.
Maka, kita sewajarnya merasakan saling melengkapi antara satu sama lain.
Seperti lengkapnya kereta dengan tayar.
Seperti lengkapnya kuali dengan sudip.
Seperti lengkapnya langit dengan awan.
Seperti lengkapnya doktor dengan pesakit.
Seperti lengkapnya Adam dengan Hawa.

Begitulah ukhuwwah.
Bukan mementingkan diri sendiri.
Bukan hanya diri kita yang istimewa.

Sungguh, jika kita tidak fahami betapa istimewanya seseorang,
akan tercicirlah mereka dari dakwah ini.

Teringat perbualan dengan  seorang ukhti,

‘ Ada sorang kawan ukhti ni kan, dia tak memang tak boleh bab-bab buat poster ni, janganlah bagi pada dia. Ranaplah program tu nanti.’

Saya bertanya kembali kepada ukhti tersebut,

‘ Habis tu kak, apa yang akak buat ? ‘

‘ Bagi pada orang lain.’

Kini, saya faham mengapa ukhti saya menjawab sebegitu.
Kerana dia faham dan hormati  apa keistimewaan dan kelemahan ukhtinya.
Dan manfaatkan sebaiknya dalam dakwah.

Tidak salah untuk melatih.
Tidak juga salah untuk kita menghormati.
Tetapi salah jika kita sendiri tidak mahu dan malas mencuba.
Belum cuba belum tahu.

Dengan ukhuwwah itu, kita mampu fahami keistimewaannya.
Dan dengan keistimewaan itulah, jalan dakwah ini mampu kita corakkannya.

Terlalu sibuknya kita dalam dakwah ini, janganlah sampai kita terlupa untuk ambil berat tentang seseorang dalam ukhuwwah ini.

Setiap manusia ada masalahnya yang tersendiri.
Mungkin kita selalu membincangkan masalah yang terkandung dalam harakah, bawa masuk dalam syura.
Namun, masalah-masalah peribadi, yang sentiasa menghimpi saban hari, kita lupakan.

Sebagaimana ukhti memerlukan bantuan kita dalam dakwah, seperti itu jualah dia memerlukan kita di luar bidang dakwah.
Maka, bukalah mata untuk memandang ukhti anda untuk melihat andai ukhti anda berada dalam masalah.
Buka pendengaran anda untuk sentiasa mendengar masalah ukhti yang memerlukan anda.
Buka mulut untuk sentiasa rajin bertanya kepadanya.
Buka pintu hati anda untuk memahami segalanya.

Sabda Rasulullah S.A.W :

Bandingan orang-orang mukmin dalam kasih sayang dan kasihan belas mereka antara satu sama lain samalah seperti satu tubuh yang apabila salah satu anggotanya mengadu sakit maka seluruh anggota yang lain turut berjaga malam dan merasai sakit.

( Riwayat Muslim )

 

Jarak bukan penghalang.
Usia bukan penghalang.
Pangkat dan status juga bukan penghalang.

Selagi masa itu ada, maka berukhuwwahlah semampu anda.
Selagi nyawa itu ada, maka berukhuwwahlah semampu anda.
Selagi iman itu ada, maka ukhuwwah itu tiada batasannya.

Dan sesungguhnya, dakwah itu akan berjalan lancar sekiranya tali ukhuwwah itu berjaya menyelesaikan banyak masalah yang dihadapi oleh dirinya sendiri, masalah ahli-ahlinya yang lain, serta masalah harakah itu sendiri.

Dan terakhir sekali, akan rosaklah ukhuwwah andai kerja dakwah itu tidak dibahagikan sama rata.
Sesebuah bangunan yang dibina menggunakan batu-bata yang kemungkinan tidak sama saiznya.
Namun, semuanya turut terlibat untuk mengukuhkan binaan tersebut.

Semacam juga dalam sebuah harakah.
Pelbagai jenis tenaga manusia ada di dalamnya.
Maka, semua tenaga hendaklah digunakan.
Capahkan kesemuanya untuk dakwah.

Tenaga yang pelbagai,
Kecenderungan dan keistimewaan yang pelbagai,

Andai digunakan dengan betul,
Maka, dakwah akan berjalan dengan lancar.

Biarlah kerana ukhuwwah itu,
Semua merasakan tanggungjawab yang sama.
Semua merasakan beban yang sama.
Semua menanamkan ghayah (matlamat) yang sama.

Percayalah, jika tenaga yang ada tidak digunakan,
akan menyebabkan ukhuwwah itu semakin renggang.
Malah, akhirnya dia memutuskan hubungan dengan dakwah.

Sungguh, itu yang paling merugikan.

Inilah hala tuju kompas tarbiyyah dalam ukhuwwah.

Sungguh, jika tarbiyyah dan dakwah memandunya dengan betul.
Maka, akan berbuahlah ukhuwwah itu.

sekian,

nukilan seorang hamba Allah yang masih lemah dalam ukhuwwah ini,
kerana lemahnya kompas tarbiyyah dan dakwah.

muhasabah diri~

 

 
 

4 thoughts on “kompas tarbiyyah dalam ukhuwwah

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s