tinggikah tali tawakkal itu ?

Bismillah.

Salam dakwah buat pembaca ruang penulisan ini meskipun penulisan ini tidaklah sehebat mana. Namun, sentiasa saya berusaha untuk menulis kerana dakwah dan tarbiyyah ini, jauh sekali untuk menyimpang daripadanya.

*****************

Sepanjang kita hidup ini, bagaimana tali tawakkal kita kepada Allah ?
Setinggi gunung, atau setinggi langit ?
Atau sekadar tinggi tali layang-layang yang kemungkinan sahaja putus satu ketika nanti ?

Tali tawakkal kita yang tersimpul padu kepada Al-Wakkel, seharusnya bermula dari tapak hati sehingga tingginya menggapai syurga-Nya dan redha-Nya.

Tali tawakkal kita yang tersimpul padu kepada Al-Wakeel, seharusnya bukan tertakluk kepada perkara-perkara yang kita rasa harus aku bertawakkal dalam perkara ini, malah dalam segenap ruang hidup ini harus diselimuti tawakkal kepada-Nya.

Tali tawakkal kita yang tersimpul padu itu, kita jaga, kita latih, dan takkan putuskan satu hari nanti hanya kerana dugaan yang berat atau apa jua perkara yang akan menghalang simpulan padu itu. Kita teruskan berpegang kepada tali tawakkal itu.

Tali tawakkal kita yang tersimpul padu itu, membuatkan hidup ini cukup tenang menghadapi apa jua, menyuburkan lagi cinta kepada Dia, menyegarkan diri ini untuk sentiasa tabah menghadapi tarbiyyah dari-Nya. Hidup ini seakan tiada duka selepas kuatnya kepercayaan kita kepada Al-Wakeel.

Subhanallah !

Al-Wakeel inilah yang menjaga kita tatkala tiada siapa di sisi kita.
Al-Wakeel inilah yang memandu kita tatkala kita berasa was-was dengan jalan yang kita ambil.
Al-Wakeel inilah yang melindungi kita tatkala kita rasakan tidak selamat.
Al-Wakeel inilah yang menenangkan hati tatkala kita rasa gundah-gulana.

Mulianya belaian Al-Wakeel ini kepada hamba-hamba-Nya !
Subhanallah !

Saat ini, yakinkah kita dengan ayat,

 Cukuplah Allah bagiku. Tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepadaNya aku bertawakal, dan Dialah yang memiliki A’rsy(singgahsana) yang agung. (At-Taubah 9:129)

Benarkah kita telah meyakini cukuplah Allah itu bagi diri ini, tanpa kita menanamkan tawakkal atau pergantungan kepada yang lain ?

Sedangkan dalam hidup kita kita letakkan juga pengharapan kepada manusia, yang lemah, yang tidak punya kuasa apa, yang juga akan mati seperti kita satu hari nanti ?

 Dan bertawakkallah kepada Allah Yang Hidup, yang Tidak Mati, dan bertasbihlah dengan memuji-Nya. Dan cukuplah Dia Maha Mengetahui dosa hamba-hamba-Nya. ( 25 : 58 )

Dan  bertawakkallah kepada (Allah) yang Maha Perkasa, Maha Penyayang. ( 26 : 217 )

Mana mungkin kita letakkan pengharapan kepada manusia seperti kita !
Ingin saya berikan anda satu analogi, jika anda mempunyai harta wasiat yang ingin anda berikan kepada pewaris, sudah tentu akan anda berikan kepada pewaris yang sangat anda boleh percayai, yang akan jujur menjalankan amanah yang telah diberi kepadanya.

Bukankah begitu ?
Akan kita pilih pewaris itu dengan kriteria yang sangat tinggi. Tidak mungkin kita akan berikan kepada orang yang penipu dan malas. Kerana kita mengharapkan pewaris kita itu akan menjalankan wasiat kita sebaik mungkin.

Bila kita sudah memilih, kita akan meminta dia untuk menandatangani surat penyerahan wasiat. Namun, ketika ini, adakah kita sudah benar-benar pasti  bahawa dia akan menjalankan amanat itu sebaiknya, kerana dia juga adalah manusia. Ketika inilah, kita panjatkan tawakkal kita kepada Allah untuk menjaga hal yang demikian.

Fahamkah anda ?
Semacam juga saat kita melangkah masuk ke dalam dewan peperiksaan, hampir kesemua mukasurat kita hafal, adun pula dengan fakta-fakta tambahan, namun adakah kita meyakini segalanya akan sempurna tanpa tawakkal kita kepada Al-Wakeel ?

Al-Wakeel yang memegang segala tampuk pemerintahan di dunia ini.
Apa yang ada di langit dan bumi berada dalam genggaman-Nya.
Apa yang ada di timur dan barat berada dalam penglihatan-Nya.
Segala kuasa, malah yang Maha Kuasa adalah Al-Wakeel.

Dan milik Allah meliputi rahsia langit dan bumi dan kepada-Nya segala urusan dikembalikan. Maka sembahlah Dia dan bertawakkallah kepada-Nya. Dan Tuhanmu tidak akan lengah terhadap apa yang kamu kerjakan .

( 12 : 123 )

Lalu, mengapa kita masih risau akan masa hadapan terutamanya setelah kita faham hidup kita ini bergantung kepada Al-Wakeel ?

Kepala kita memikirkan apa yang akan terjadi pada masa hadapan semacam seorang ibu yang risau membayangkan apa terjadi pada masa hadapan anaknya.

Malah para ibu kebiasaannya tinggi tawakkal kepada Allah sewaktu mengandung sahaja, bila sudah lahir anaknya ke dunia, para ibu mula risau. Teruskanlah panjatkan tawakkal, yakinlah Allah memegang hidup anak anda itu.

Placenta yang Allah ciptakan, segala apa yang berlaku dalam alam rahim, semuanya dikawal oleh Al-Wakeel. Tidak pelikkah anda bagaimana darah ibu dan anak boleh terasing begitu sahaja. Dan betapa uniknya makanan bayi di dalam kandungan itu adalah nutrien yang diambil dari darah ibunya. Ini adalah proses yang bukan berada dalam kawalan manusia.
Bukankah kita meyakini bahawa sistem imun dalam tubuh manusia akan menolak apa sahaja benda-benda asing yang berada dalam tubuh manusia, seperti mana yang berlaku dalam proses pendermaan organ. Bagaimana seorang bayi yang sempurna boleh selamat dalam tubuh badan seorang ibu selama 9 bulan lamanya, tanpa ditolak oleh sistem imun badan seorang ibu ?

Subhanallah, segalanya dalam penjagaan Al-Wakeel !
Usahlah terlalu risau.
Kerisauan yang sehingga menganggu ketenangan jiwa.
Kerisauan yang mungkin mengurangkan keimanan dan keyakinan kita untuk percaya Al-Wakeel.

Bukankah kita mengakui, kita ini bertawakkal kepada Allah ?
Mungkinkah lafaz itu sekadar di mulut yang tidak pernah kering, tetapi hati sudah menjadi tanah gersang dek kerana kemarau yang terlalu panjang.

Sungguh, jika anda masih terlalu risau, anda masih tidak menanamkan tawakkal kepada Al-Wakeel dengan tinggi.
Bukan tidak risau langsung, tetapi jangan TERLALU risau, kerana rasa keterlaluan itu bakal menganggu keimanan anda.

Kita sudah mengakui kita ini bertawakkal kepada Allah.
Maka, jalani hidup anda dengan penuh usaha untuk mencapai sesuatu.
Usaha biar sehabis baik, kalahkan orang lain,
dan dalam masa yang sama, tawakkal anda itu juga seiring.
Tawakkal yang juga sekuat dan setinggi usaha.
Setelah anda kecapi keduanya, buangkan rasa risau itu.

Dan mengapa kami tidak akan bertawakkal kepada Allah, sedangkan Dia telah menunjukkan jalan kepada Kami, dan Kami sungguh, akan tetap bersabar terhadap gangguan yang kamu lakukan kepada kami. Dan hanya kepada Allah saja orang yang bertawakkal berserah diri ( 14 : 12 )

Kita selalu mendengar kisah tentang kisah Rasulullah yang memesan kepada seorang pemuda yang bertawakkal kepada Allah tanpa usaha. Dia hanya meninggalkan untanya di luar tanpa diikat walaupun dia takut untanya dicuri oleh sesiapa.

Ini prinsip hidup mukmin.
Tidak mungkin wujudnya tawakkal tanpa usaha.
Kali ini saya mahu bawakan sebuah kisah lain.

Tentang Buraq yang menjadi kenderaan Rasulullah S.A.W dihantar khas oleh Allah dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj. Apabila sampai di Masjidil Aqsa, Rasulullah S.A.W  juga mengikat Buraq di luar walaupun Baginda tahu tidak mungkin Buraq akan lari dari situ.
Anda dapat ibrahnya ?

Usaha itu seiring dengan tawakkal. Baginda tetap usaha bukan ?
Al-Wakeel tidak menerima tawakkal tanpa usaha.

Subhanallah, tidak sayukah hati anda melihatkan Allah sanggup menawarkan Dia untuk menjadi Al-Wakeel kepada sekalin hamba-Nya di dunia ini.
Menjadikan kepada Dialah tempat kita bergantung segala.

Allah SWT berfirman, “Barang siapa yang menyerahkan diri kepada Allah maka Allah akan mencukupinya.” (QS. At-Thalaq 3)

Jadikan tali tawakkal anda itu mencukupkan segala aspek dalam kehidupan anda.
Dengan berpegang kepada tali tawakkal itu, tiada lagi rasa tidak cukup.
Tiada lagi rasa hilang kebergantungan.

Segalanya dengan Al-Wakeel, kita rasa hidup ini terlalu sempurna !

……..Kemudian, apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sungguh, Allah mencintai orang yang bertawakkal. Jika Allah  menolong kamu, maka tidak ada yang dapat mengalahkanmu, tetapi jika Allah membiarkan kamu (tidak memberi pertolongan), maka siapa yang dapat menolongmu setelah itu ? Kerana itu, hendaklah kepada Allah sahaja orang-orang mukmin bertawakkal.

( 3 : 159-160 )

Sungguh, hanya kepada Allah kita gantungkan pengharapan.

 (Dialah Allah), tidak ada tuhan selain Dia. Dan hendaklah orang-orang mukmin bertawakkal kepada Allah

( 64 : 13 )

Teruskan bertawakkal,

Dan barang siapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya)

( 65 : 30 )

Biarkan Al-Wakeel itu meliputi semua sudut.
Kita bergantung kepada yang lain, tetapi tidak kepada Allah ?
Bagaimanakah ?

Minta tolong manusia dengan sopan, jika anda memerlukan pertolongan, tetapi biarlah hati sendiri penuh dengan tawakkal. Bukanlah orang sakit itu tidak perlu berjumpa dengan doktor untuk merawat sakitnya. Ambillah ubat sebagai satu usaha, namun, hati doktor dan pesakit mesti meyakini bahawa Allahlah penyembuh segala.

Subhanallah !

Bertawakkal kepada Allah ini seiring dengan kuasa-Nya.
Allah tempat kita bergantung kerana Allah lah Maha Kuasa, Maha Segala-galanya.

Di dalam Perang Uhud,  bukankah Allah telah mengabadikan kisah mereka dalam surah Ali-Imran,

ketika dua golongan dari pihak kamu ingin (mundur) kerana takut, padahal Allah adalah penolong mereka. Kerana itulah, hendaklah kepada Allah sahaja orang-orang mukmin bertawakkal ( 3 : 122 )

Dan Abu Sufyan sendiri gentar melihatkan tentera Muslimin yang berpegang teguh dengan tawakkal mereka kepada Al-Wakeel.

Betapa kuatnya tawakkal mereka kepada Al-Wakeel.
Kerana mereka tahu, jika tidak kepada Allah mereka bertawakkal, kepada siapa lagi, dan tidak ada sesiapa yang layak melainkan Allah sahaja !

Para anbiya’ terdahulu telah menanamkan tawakkal yang kuat sepanjang menyampai dakwah kepada ummat manusia.
Nabi Musa A.S, Nabi Ibrahim A.S, Rasulullah S.A.W.

Kisah Nabi Musa yang Allah ceritakan dalam surah Thaha, menceritakan latihan Allah kepada beliau tentang pergantungan kepada Allah.

Dia (Musa) berkata, ‘ Silakan kamu melemparkan ! ‘ Maka tiba-tiba tali-tali dan tongkat-tongkat mereka terbayangkan olehnya (Musa) seakan-akan ia merayap cepat, kerana sihir mereka. (20 : 66 )

Lalu, Allah memujuk Nabi Musa A.S yang ketakutan ketika itu,

Kami berfirman, ‘ Jangan takut ! Sungguh, engkaulah yang unggul (menang). Dan lemparkan apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia akan menelan apa yang mereka buat. Apa yang mereka buat itu hanyalah tipu daya pesihir (belaka). Dan tidak akan menang pesihir itu, dari mana ia datang. ‘ ( 20 : 68-69 )

Kemuncak ujian untuk Nabi Musa Adalah ketika beliau dan pengikutnya dikejar oleh Firaun dan tenteranya. Ketika ketakutan yang amat sangat, Nabi Musa berserah dan bertawakkal kepada Allah. Dan kemudian Allah membelahkan laut dengan tongkat Nabi Musa setelah Nabi Musa memukulnya.

Subhanallah !

Sungguh, pergantungan kepada Al-Wakeel ini memag terdidik dengan ujian. Sebab itulah bagi mereka yang diuji dengan hebat, jika kita ingin melihatnya sama ada dia berpegang teguh dengan Al-Wakeel ini, dia tidak akan bersedih, malah tenang sahaja sambil mulut dan hati yang tidak pernah henti zikirnya menyebut

HASBIYALLAHU WA NI’MAL WAKELL.

Kisan Nabi Ibrahim A.S  juga berpegang dengan nama Allah Al-Wakeel. Dapatkah anda bayangkan betapa tenangnya Nabi Ibrahim menerima hukuman yang akan dibakar. Adakah beliau menangis dan merayu-rayu dirinya supaya tidak dibakar ke dalam bunyanan itu.

( bunyanan : sebuah tempat bakar yang sangat besar, bertahun lamanya masa yang diambil untuk membinanya. Bayangkan kalau burung yang terbang lalu-lalu atas tu pun boleh hangus.)

Tidak. Hatinya tidak sedih. Malah, dia menyebut : HASBIYALLAHU WA NI’MAL WAKEEL. Anda tahu apa hadianya dari Allah ?

Kami (Allah ) berfirman, ‘ Wahai api ! Jadilah kamu dingin, dan penyelamat bagi Ibrahim’ (21 : 69 )

Inilah hadiah dari Allah kepada Nabi Ibrahim kerana betapa kuatnya tawakkal beliau kepada Allah. Kerana itulah, manusia yang berpegang kepada Al-Wakeel ini akan tenang menghadapi ujiannya.

Teringatkah anda kisah Hajar dan Nabi Ismail A.S  yang ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim di sebuah padang pasir yang kering kontang. Pada mulanya, Hajar juga keliru mengapa Nabi Ibrahim berbuat demikian. Ditanya dua kali, Nabi Ibrahim tidak menjawab. Kali ketiga dia bertanya, Nabi Ibrahim menjawab : Ini adalah perintah Allah.

Mendengarkan jawapan itu, Hajar kembali tenang. Dan beliau tidak langsung beras risau kerana kuatnya tawakkal dia kepada Allah.

Bolehkah tawakkal kita sekuat ini ?

Kita renung pula kisah Rasulullah S.A.W. Kematian zaujah kesayangan Baginda, Khadijah dan bapa saudaranya yang sentiasa melindungi Baginda daripada dibunuh oleh Kafir Quraisy, Abu Talib pada tahun yang sama !

Pernahkah anda tertanya-tanya, kenapa Allah tidak mewafatkan keduanya setelah mendapat kemenangan Islam ? Selepas Fathul Makkah ke ? Selepas dapat Kota Madinah ke ?

Ini semua adalah latihan Allah kepada kekasih-Nya untuk menanamkan bahawa Allahlah sebenar-benar tempat untuk Baginda bergantung. Bayangkan betapa dalamnya penghayatan Rasulullah terhadap Al-Wakeel meskipun Baginda kehilangan orang-orang yang selalu berada di sisi Baginda sehingga tahun kematian itu digelar tahun kesedihan Baginda.

Bolehkah kita meletakkan tawakkal kepada Al-Wakeel setinggi ini ?
Atau adakah penghayatan kita telah mencapai tinggi ini ?

HASBIYALLAHU WA NI’MAL WAKEEL.

Lihat apa yang berlaku ketika Bainda berdakwah di Taif, tiada seorang pun yang menyahut seruan kebenaran yang Baginda sampaikan, malah dibaling pula batu.

Namun, hadiah Allah selepas itu sungguh besar nilainya !

Dalam perjalanan pulang, Baginda terserempak dengan Addas (Iraq) yang akhirnya beriman dengan Baginda serta jin-jin yang juga mendengar seruan Baginda kepada Addas ketika itu. Dan kemudian, Rasulullah dapat pula Madinah. Inilah usaha yang diiringi tawakkal kepada Al-Wakeel.

Satu lagi kisah lain ketika mana Rasulullah dan para muslimin sedang nyenyak tidur di bawah pokok. Tiba-tiba datang seorang kafir untuk membunuh Baginda. Baginda terjaga setelah kafir itu meletakkan pedang di lehernya. Dan si kafir itu bertanya kepada Rasulullah,

‘ Siapa yang melindungi kamu saat ini ? ‘
Jawab Baginda, ‘ Allah.’

Mendengarkan jawapan Baginda, terjatuh pedang si kafir tersebut. Kemudian, Rasulullah mengambil semula pedang itu dan mengacukan pedang itu ke leher di kafir itu tadi. Maka, merayu-rayulah si kafir itu kepada Rasulullah. Melihatkan keadaan ini, Rasulullah mengajak dia untuk beriman, tetapi dia menolaknya. Dan Rasulullah meminta dia supaya jangan menganggu Baginda dan kaum muslimin yang lain dan dia bersetuju. Setelah itu, Rasulullah benarkan dia pergi.

Anda nampak perbezaannya antara manusia yang berpegang kepada Al-Wakeel dan tidak berpegang kepada Al-Wakeel ?

Andai kita diuji dengan perkara yang sama, dapatkan kita bergantung kepada Al-Wakeel semacam Rasulullah aplikasikan dalam hidup Baginda ?

Tiada tawakkal untuk orang yang pasif, orang yang tidak berusaha !

Bertawakkallah kepada Allah dengan sepenuh-penuh, sebenar-benar tawakkal.
Dalam segala hal.

Bahkan sebelum keluar rumah juga ada doa bukan.
TAWAKALTU A’LALLAH, LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH.

Jika dalam hal jodoh yang anda khuatirkan, bertawakkallah, beristikharahlah.

 “Ya Allah, aku memohon petunjuk daripadaMu dengan ilmuMu dan aku memohon ketentuan daripadaMu dengan kekuasaanMu dan aku memohon daripadaMu akan limpah kurniaanMu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahu segala perkara yang ghaib. Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini (sebutkan..) adalah baik bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatlah bagiku padanya dan seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini (sebutkan..) mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya”.

Sertakan istikharah anda dengan tawakkal yang penuh. Kerana bila kita sudah bertekad untuk melakukan sesuatu, maka bertawakkallah kepada Allah.

Jika dalam hal peperiksaan yang anda risaukan natijahnya, berusahalah dan bertawakkallah.

Apa jua hal, bertawakkallah !
Biar tubuh dan jiwa anda dipegang oleh Al-Wakeel !

Dan sungguh, kita barisan para dua’t tidak sewajarnya meninggalkan tawakkal kita kepada Allah. Kita pendokong agama-Nya, kita akan terus berusaha sehingga kesemua bumi ini faham dan menjadikan Islam itu yang paling utama.

Mana mungkin usaha kita untuk menarik manusia, tidak diiringi tawakkal.

Mari berdoa bersama saya.

Ya Allah, Kau kuatkanlah tali tawakkal kami kepada-Mu. Kau tanamkan jiwa dan ruh kami yang berpegang kepada tawakkal kepada-Mu yang Allah. Kau berkatilah usaha kami semua dengan tawakkal kepada-Mu. Kau iringilah kami di jalan ini beserta tawakkal kepada-Mu.

Kau bantulah kami Ya Allah dalam menghayati nama-Mu. Kau yakinilah kami untuk beriman dengan nama-Mu. Kau bimbingilah kami untuk mencintai-Mu. Andai terlalu banyak perkara yang kami gusarkan, maka jadikanlah jiwa kami ini tidak pernah hentinya tawakkal kepada-Mu. Andai kami terlalu sedih ketika bertawakkal kepada-Mu, maka kuatkanlah kami, ya Allah !

Sungguh, jiwa kami ini jiwa manusia, jiwa yang penuh kelemahan. Maka, aku bertawakkal kepada-Mu Ya Allah ! Sungguh, kami ini hidup kerana agama-Mu, maka jadikanlah pergantungan kami kepada-Mu itu tidak pernah pudar.

Allah, Allah, Allah.
Kau peganglah jiwa kami untuk menggapai redha-Mu !

sekian.

p/s : sebenarnya nak tulis lagi, tapi takut panjang sangat sampai bosan orang nak baca.

p/s : dan kepada sesiapa yang ada zikir dan ayat-ayat Al-Quran untuk tawakkal, jemput kongsikan di ruangan komen. boleh saya perbaiki entri ini, inshaAllah !  entri saya ini bukan ingin menambah ilmu, tetapi ingin menambah penghayatan.

14 thoughts on “tinggikah tali tawakkal itu ?

  1. Salam nur Iman dan salam nur Islam….
    Agak2 kenal xakak..?? hee..(^_^)v

    “Ya Allah..jadikan daku dari mereka yang bertawakal kepada Mu.. maka Engkau jamin mereka dan mereka memohon hidayat Mu..maka Engkau tunjuki mereka…dan mereka m0hon bantuan mu, maka Engkau bantu mereka” (Kanzul Ummal)- dlam Mukhtasar Al-Hizbul Azam..

  2. besh…
    org moden sekarang ramai yg berusaha tapi lupe nak tawakkal.bile rasa diri hebat, semua kejayaan dsandarkan kepada kemampuan sendiri.
    isk…
    jzkk atas perkongsian, sungguh menyentuh hati!

  3. salam…nad,jzkk untuk entry ni….best sangat2….banyak pengisian yang sy dapat:)…nak lagi..hihihih

    and yang paling best,kate2 akhir tu……….entry ni untuk menambah penghayatan,bukan untuk menambah ilmu….mungkin ape yang awak tulis ni saya dah pernah bace,tapi kurang penghayatan,…tapi,kat sini,i’allah bertambah penghayatan…syukran^__^

  4. Dia telah memilih kamu (22;78)

    apa-apa pun yang terjadi semuanya qadar Allah. moga pergantungan kita sentiasa pada Dia. alarm utk diri sendiri. mahu jadi orang aktif berserta tawakkal selalu dalam hati.huhu

    jazakillahu khair ukhti :)

  5. jazakillah ats perkongsian ini…alhamdulillah lebih faham lg akn konsep tawakal..teruskan menyampaikan islam melalui anugerah penulisan yg ALLAH kurniakn kepada saudari~

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s