90 : 8-17

Bismillah.

Salam dakwah buat semua.

Saya sambung entri semalam.

Tafsir surah Al-Balad.

***********************

Bahagian ketiga : ayat 8-10

Bukankah Kami telah menjadikan untuknya sepasang mata, dan lidah dan sepasang bibir ?

( 90 : 8-9 )

Allah bagi kita mata, lidah dan sepasang bibir untuk melengkapkan lagi kesempurnaan fizikal diri seorang manusia. Untuk membezakan kita antara makhluk-makhluk-Nya yang lain. Kita boleh bercakap, dan pandangan mata kita mampu memberi tafsiran yang tersendiri. Pada saya, matalah kamera terhebat sekali di dunia ini.

Namun, jika gunakan mata, lidah dan sepasang bibir ini dengan betul, menghargainya betul-betul sebagai sebuah nikmat dari Allah S.W.T, saya yakin boleh membantu kita untuk masuk ke syurga inshaAllah.

Kerana mata, lidah dan sepasang bibir inilah yang menjadi saksi kita di hadapan Allah kelak. Mulut kita terkunci dan semua anggota kita  tidak mampu lagi untuk menipu yang Maha Adil lagi Bijaksana. Mereka akan memberikan kebenaran kepada-Nya kelak !

Dan, jangan sesekali kita merasa angkuh mendapat nikmat ini. Mentang-mentang lah ada mata, kita gunakan segala-galanya termasuk benda yang kita tidak boleh lihat sekalipun. Mentang-mentanglah ada lidah dan bibir, cakap sahaja semua perkara tanpa memikirkan perasaan orang lain. Cakap itu dan ini.

Nikmat yang Allah berikan kepada kita, disertai dengan tanggungjawab bukan ?

Maka, tunaikanlah tanggungjawab itu !

Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan ( kebajikan dan kejahatan)

( 90 : 10 )

Memang tersedia bagi kita dua jalan ini. Dan memang menjadi tabiat semulajadi manusia mempunyai kesediaan untuk menempuh jalan-jalan yang tersedia ini. Cuma bergantung kepada kita untuk memilih yang mana satu.

Allah telah berikan akal dan hati kepada kita, supaya kita boleh memilih dengan lebih baik.

Mengapa tidak hanya satu yang Allah berikan kepada kita ?

Kerana Allah telah menyediakan dua tempat untuk kita. Sama ada syurga atau neraka.

Mengapa kita masih perlu memilih ?

Kerana Allah mahu melihat sejauh mana kuatnya iman dan ketaqwaan kita kepada-Nya.

Jalan kebajikan atau kejahatan ?

Jalan kebenaran atau kebatilan ?

Maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketaqwaannya, sungguh beruntung orang yang menyucikannya (jiwa itu), dan sungguh rugi orang yang mengotorinya.

( 91 : 8-10 )

Allah ceritakan benda yang sama dalam surah yang selepasnya, membuktikan bahawa pentingnya memilih antara dua jalan. Tidak mungkin wujud jalan tengah. TIADA JALAN TENGAH ! (ni saya marah ni)

Memang kena pilih antara dua sahaja, jalan yang bersihkan jiwa atau jalan yang mengotorkan jiwa.

Dan nikmat-nikmat yang Allah nyatakan tadilah  kita gunakan untuk berusaha mencari hidayah-Nya.

************************

Ok, sekarang masuk bahagian keempat : ayat 11-18

Tetapi dia tidak menempuh jalan yang mendaki dan sukar ? Dan tahukah kamu apakah jalan yang mendaki dan sukar itu ?

( 90 : 11-12 )

Ayat ini bukanlah mahu mengagung-agungkan dugaan terdapat jalan yang berat. Tetapi ini merupakan sebuah dorongan kepada kita untuk lebih memilih jalan yang berat itu kerana ganjarannya yang teramat indah.

Bila orang tanya pada kita, ” Nape ko tak pilih jalan tu, kan lagi cepat nak sampai ? ”

Seakan pelik jika kita tidak mengharungi jalan yang sukar itu kerana Rasulullah, para sahabat serta para pejuang agam-Nya memilih jalan yang sukar ini.

Malah, jika kita pilih jalan yang sukar ini, darjat kita di sisi Allah lebih tinggi.

Kesulitan dan kepayahan tetap akan wujud, dan kita perlu berkorban untuk terus kekal di dalamnya. Namun setiap pengorbanan kita itu tidak hilang secara percuma, ada nilainya di sisi Allah.

( Iaitu ) melepaskan perbudakan (hamba sahaya), atau memberi makan pada hari terjadi kelaparan. (kepada) anak yatim yang ada hubungan kerabat, atau orang miskin yang sangat fakir.

( 90 : 13-16 )

Ayat ini menerangkan tentang jalan-jalan kesukaran dakwah Islam di Mekah. Persoalan membebaskan harta dan membantu golongan yang memerlukan.

Secara fitrahnya, memang manusia ini ada sikap ingin memiliki dan ingin dimiliki.

Tahukah anda betapa susahnya untuk melakukan perkara-perkara di atas semasa di Mekah dahulu.

Pada peringkat awal dakwah Islam, golongan hambalah yang paling ramai menyertai dakwah Baginda. Mereka mencari penghambaan yang lebih adil. Bukan penghambaan yang makan diri sendiri. Ternyata golongan hamba ini lebih suka mengabdikan diri kepada Allah lebih dari tuan mereka sendiri.

Datangnya Islam adalah untuk membuang budaya ini. Perhambaan terhadap manusia yang rendah darjatnya. Dan sekarang, tiada lagi budaya itu wujud.

Tahukah anda betapa teruk kerjanya seorang hamba ?

SEMUA KEHENDAK tuan mesti dipenuhinya tanpa ada bantahan atau ganjaran.

SEMUA !

Kerja-kerja rumah, cari rezeki dan melayan kehendak seks tuannya !

Kalau isteri tahan lagi, ada hak. Dan jika suami berlaku zalim, pihak isteri boleh kemukakan aduan, tapi TIDAK bagi hamba !

Dan sebab inilah, pembebasan hamba sangat Allah tuntut ketika itu. Betapa pentingnya membebaskan manusia dari cengkaman manusia.

Dan antara para sahabat yang terkenal dengan sifat suka membebaskan hamba adalah Saidina Abu Bakar As-Siddiq R.A. Beliau sanggup bayar kepada Umaiyyah untuk membebaskan Bilal Bin Rabah yang sedang diseksa.

Abu Bakar menyahut seruan Allah ini dengan penuh rasa ketaatan dan penuh keyakinan serta ketenangan.

Subhanallah !

Aplikasinya untuk kita ?

Dek kerana sudah tidak ada lagi hamba pada zaman ini, maka marilah kita membebaskan manusia yang memperhambakan jiwa mereka kepada dunia ini.

Dan ternyata itu sukar bukan ?

Dalam ayat di atas juga, Allah menyebut tentang memberi makan kepada orang-orang yang memerlukan.

Tahukan anda kelaparan adalah salah satu baju uji keimanan manusia. Perhatikan sahaja diri kita ketika berpuasa. Nafsu meminta itu dan ini. Dan sebab itulah, jika kita berjaya melepasi bulan Ramadhan dengan jayanya, kita akan jadi orang yang lebih bertaqwa bukan.

Masih teringatkah anda tatkala Rasulullah dan kaum kerabatnya dikenakan boikot selama tiga tahun ?

Saat itu, mereka sangat kelaparan. Betapa kuatnya mereka untuk bertahan selama tiga tahun tanpa bekalan minuman dan makanan yang mencukupi. Sehingga ada yang terpaksa makan ranting-ranting dan daun-daun kering.

Ketika dakwah zaman Mekah, tiada lagi perintah zakat dikeluarkan. Tapi Allah sangat-sangat menggalakkan budaya untuk berinfaq kepada yang memerlukan dan bersedeqah.

Betapa susahnya ketika itu, masing-masing mempunyai naluri sayang kepada apa yang dimiliki.

Namun, inilah yang perlu mereka lakukan demi mencapai objektif dalam ayat seterusnya.

Kemudian dia termasuk orang-orang yang beriman, ………….

( 90 : 17 )

Lihat perkataan KEMUDIAN (thumma). Ayat ini mempunyai maksud yang sangat tersirat.

Menerangkan bahawa pengorbanan tadi perlu mereka lakukan, kemudian barulah mereka akan menjadi orang yang beriman.

Mereka perlu melepasi lompatan-lompatan kecil sebelum melangkah ke lompatan yang lebih besar.

Lompatan yang paling besar adalah kesanggupan untuk menyertai barisan orang-orang beriman. Kerana iman adalah pemula langkah dan penilai untuk kita melakukan kebaikan.

Berbeza bukan antara orang yang beriman melakukan kebaikan dengan orang yang tiada iman melakukan kebaikan di sisi Allah ?

p/s : akan bersambung lagi…

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s