senaman bola

Bismillah.

Salam dakwah buat semua.

**************************

Hari ini saya pergi ke klinik fisioterapi buat kali kedua untuk menyambung rawatan supaya sembuh seperti sediakala. Kali ini, lebih seronok pengalamannya. Pekerja-pekerja yang sangat mesra dan baik hati.

Sudah selesau mendaftar,

” Kejap ye N******, tunggu 15 minit boleh. Sebab bilik penuh, mak cik bagi kat patient lain dulu.”

” Boleh.”

Saya menunggu dengan mulut yang penuh senyap. Biasanya mulut peramah. Rajin bertanya itu dan ini tanpa mengira umur dan bangsa. Tetapi yang pasti, yang hanya saya akan tegur adalah perempuan dan jika lelaki pun, saya akan pastikan hanya soalan yang berfaedah yang akan ditanya.

Ada seorang mak cik memandang saya terlalu lama. Mungkin pelik kenapa diri ini senyap sangat. Bukan apa, selepas apa yang menimpa pada diri, saya lebih selesa untuk senyap. Bercakap bila perlu. Kalau tidak percaya, boleh tanya pada ahli keluarga saya. Ada kalanya saya tidak bercakap pun dengan ayah. Dan dengan umi, hanya beberapa patah perkataan, boleh dikira.

Ketika sedang menunggu, masuk seorang mak cik bersama suaminya. Kasihan betul saya melihat mak cik tersebut. Perlahan benar dia mengatur langkah. Nasib baik masih ada suami. Setia sungguh suaminya. Mak cik tersebut mengambil tempat duduknya di sebelah saya.

” Nak cakap ke ? Takkan nak diam je. Ummat Islam kena rajin bertegur sapa. ” soal saya kepada diri sendiri.

Tiba-tiba, jururawat berkata,

” Mak cik, hari ni kita naik basikal ye.”

Dalam kepala puas memikir, kuat betul mak cik untuk kayuh basikal. Rasanya saya lagi laju menapak langkah. Bukan mengutuk, cuma terlalu pelik campur kagum. Harap-harap dia berjaya dengan rawatannya.

” N******, masuk bilik tu ye dik.”

Oh, lagi sekali dapat bilik nombor tujuh. Bilik yang hanya ada katil dan dua biji bantal.

” La…aku nak alat yang canggih sikit. Alat senaman ke. Boleh regang sikit kaki ni.” getus saya dalam hati. Tapi, mungkin ahli fisioterapi lebih tahu apa yang lebih sesuai untuk kecederaaan macam saya.

” Adik ACL ke apa ni ? ”

” PCL.”

Dan dapatlah arahan untuk dua buah senaman. 10 minit untuk satu senaman. Memang penat. Mungkin sebab duduk di rumah terlalu rehat.

” Awak problem dekat VMO ni.”

Apakah VMO ?

Vastus Medialis Oblique atau nama lainnya, Vastus Medialis. Sejenis otot di bahagian paha yang digunakan untuk kepala lutut melakukan ‘extension’ atau dalam bahasa yang lebih mudah, untuk tegakkan kepala lutut. Kecederaan VMO  biasanya popular dalam kalangan atlet-atlet sukan, bukan kemalangan kereta macam saya.

inilah VMO

” Jadi lepas ni, nak bg VMO awak tu kuat semula, kita senaman guna bola lah lepas ni.”

Wah. Baru best. Senaman guna bola. Nampak cool.

Tapi senamannya, memang penat. Sakit. Kepit bola yang berdiameter lebih kurang 45 cm dengan hanya menggunakan hujung kaki, bukan guna semua bahagian kaki. Dapat lagi sepuluh minit.

Konklusinya, 30-40 minit saya senaman di klinik hari ini. Alhamdulillah, kudrat yang Allah berikan masih ada. Allah masih memberi peluang kepada saya untuk pulih seperti biasa. Mujur masih ada nyawa untuk sembahyang dan beribadah kepada-Nya. Selepas ini, memang kena sangat-sangat bersyukur dengan tubuh yang Allah bagi pinjam, dan gunakannya untuk kebaikan.

Sudah siap senaman, saya keluar. Terpempan sekejap pandangan mata saya melihat seorang pakcik diikat di katil. MashaAllah. Dugaan dia lebih kuat dari aku. Malu terhadap diri sendiri. Kadang-kadang tidak sabar dalam menunggu tempoh kaki untuk pulih. Pak cik tersebut memang tabah. Sempat saya memandang kepadanya, sayunya pandangan mata yang dia berikan.

Mulut dia semacam ingin mengatakan sesuatu, tetapi dia tidak berupaya meluahkannya.Terasa ingin menangis. Hanya Allah yang Maha Mengetahui apa yang pak cik rasa. Dan saya harap, pak cik akan jadi hamba Allah yang lebih redha, inshaAllah.

Saya tanya kepada ayah,

” Abah, kenapa dengan pak cik tu ? ”

” Die langsung tak boleh gerok.”

Subhanallah. Maha Suci Allah. Kuasa Allah. Mampu menakdirkan apa jua terhadap hamba-Nya. Dan terima kasih Allah, kerana  mengajar aku untuk lebih bersyukur. Bersyukur dengan apa jua yang terjadi terhadap diri kita.

Dan kepada anda, lihatlah apa yang anda ada di sekeliling, dan lahirkanlah rasa syukur kepada Yang Maha Esa, meskipun tiada harta, anda masih ada Allah, anda masih ada nyawa. Belajarlah untuk bersyukur kepada-Nya. Meskipun anda seorang diri, anda dibenci oleh orang sekeliling, anda masih ada Dia.

Sentiasanya, kita ada Dia. Dia tidak pernah jauh dari kita. Hanya kita yang berasa jauh dan ingin jauhkan diri dari-Nya.

p/s : dalam kereta ayah cakap dengan nada serius, ” Nanti abah beli bola kat pasar malam. Banyak jual kat pasar minggu hari ahad.”

” Yeay.”

Abah layan jugaklah anak dia yang banyak ragam ni. Paling tak boleh lupa, kalau jalan jauh sikit, ayah mesti tny,

” Nak aiskrim ? “

Leave a comment