andai dia bidadari untukku

Bismillah.

Salam dakwah buat semua.

*************************

Entri ini khas untuk menjawab satu persoalan yang diutarakan oleh seorang pembaca blog di dalam emel saya. Sebenarnya dan sejujurnya, saya tidak mempunyai pengalaman untuk menjawab persoalan ini. Namun, akan saya kemukakan pandangan saya tentang masalah yang diajukan.

Melihatkan tajuk entri di atas, masalahnya lebih terarah kepada pemilihan jodoh. Menjadi lebih sukar, jika kita mempunyai banyak pilihan dan tidak mahu melepaskan semua pilihan yang kita ada.

Andai dia bidadari untukku.

Soal jodoh bukan soal yang mudah untuk diambil kira. Mudah untuk menyatakan hasrat hati untuk bernikah, mendirikan rumah tangga, mahu punya teman di sisi, susah senang hadapi bersama. Tetapi hakikatnya teramatlah sukar untuk membina sebuah rumah tangga. Bertambah tanggungjawab, dan kefahaman antara satu sama lain amat diperlukan.

Bagi seorang daie, membina sebuah baitul muslim (perkahwinan) adalah satu peringkat yang dibuat untuk mencapai maratib amal seperti yang kita ketahui. Satu peringkat yang dibuat demi menjalankan dakwah dengan lebih tersusun.

Bermula dengan Individu Muslim yang diterapkan dengan 10 muwasafat tarbiyyah, diteruskan ke tangga Baitul Muslim, Masyarakat Muslim, kerajaan Muslim, Daulah Islamiyyah, empayar Islam, dan akhirnya Islam menjadi ustaziyatul alam atau dalam bahasa yang lebih mudah, Islam menjadi world order. Namun, pemantapan tarbiyyah perlu diteruskan meskipun kita sudah mencapai ustaziyatul alam satu hari nanti.

Sebagaimana Rasulullah membina rumahtangga Baginda bersama isteri-isteri, semacam itulah rumahtangga yang kita impikan. Rumahtangga yang dibina berlandaskan Al-Quran dan sunnah. Rumahtangga yang bukan sahaja dibina atas dasar kasih sayang, malah atas dasar demi dakwah ini !

Namun, bagaimana jika kita terperangkap di dalam satu situasi jika terlalu ramai bidadari atau bidadara yang muncul dalam bayangan minda.

” Sorang cantik, baik, tapi yang lagi sorang ni boleh tahan jugak. Ahhh..mane satu ni..Dua-dua kalau nak lepaskan rasa sayang pulak.”

Situasi yang merumitkan….

Hakikatnya manusia ini sentiasa berada dalam situasi memilih. Memilih apa jua perkara. Cuma terletak kepada kuasa akal dan hati untuk memilih yang mana. Tapi, jangan sampai tiada pegangan yang nyata kerana dikhuatiri kita akan dikuasai oleh nafsu sendiri.

Jika anda berada dalam situasi ini, telitilah penerangan yang saya mahu berikan di bawah. Dan jika ada tambahan, saya sangat mengalu-alukan.

:)

1. Seperti yang kita ketahui, pernikahan adalah sunnah Rasulullah S.A.W yang paling popular dalam kalangan ummat Islam hari ini.

Dari Anas Ibnu Malik Radhiyallaahu ‘anhu bahwa Nabi Sallallaahu ‘alaihi wa Sallam setelah memuji Allah dan menyanjung-Nya bersabda: “Tetapi aku solat, tidur, berpuasa, berbuka, dan mengawini perempuan. Barangsiapa membenci sunnahku, ia tidak termasuk ummatku.” Muttafaq Alaihi.

Sememangnya inilah sunnah yang paling diingati, tetapi sunnah-sunnah lain semua ditolak ke tepi begitu sahaja. Pasal menikah, suka sangat sebab agama bagi nikah sampai empat kali, tapi kalau bab solat, puasa, dakwah semua tolak tepi.

Jangan kita mengamalkan sebahagian sahaja ayat-ayat Allah ini. Bukankah Allah telah berfirman bahawa,

“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.”

( 2 : 208 )

Tidak salah jika kita ingin menikah andai itu langkah terbaik demi menjaga iman dan nafsu kita. Lagipun, perkahwinan adalah tuntutan agama.

Abdullah Ibnu Mas’ud Radhiyallaahu ‘anhu berkata: Rasulullah Sallallaahu ‘alaihi wa Sallam bersabda pada kami: “Wahai generasi muda, barangsiapa di antara kamu telah mampu berkeluarga hendaknya ia berkahwin, karena ia dapat menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Barangsiapa belum mampu hendaknya berpuasa, sebab ia dapat mengendalikanmu.” Muttafaq Alaihi.

Hadis di atas jelas menerangkan bahawa perkahwinan adalah cara untuk memelihara iman, kerana iman seorang manusia itu sentiasa turun dan naik. Jadi, nasihat saya yang pertama kepada anda, pastikan rumah tangga yang ingin anda bina berlandaskan niat yang betul. Bukan demi memenui tuntutan nafsu, tetapi memenuhi tuntutan agama itu sendiri.

2. Nasihat saya yang kedua adalah pilihlah pasangan anda itu berlandaskan agama yang ada dalam dirinya.

Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, “Kahwinilah wanita itu kerana empat perkara, kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikan dan kerana agamanya. Pilihlah wanita yang beragama, engkau akan selamat”.

Hadis ini cukup terkenal. Manusia terkadang lupa ciri yang terpenting dalam kriteria pemilihan jodoh. Memang tidak dinafikan rupa paras, keturunan dan hartanya turut menjadi faktor. Namun, agamalah faktor yang terpenting sekali.

Tidak rugi jika kita memilih pasangan kerana agama. Jika bakal pasangan kita itu seorang hamba Allah yang memenuhi tanggungjawab kepada agamanya, nescaya tuntutan perkahwinan berjaya juga dilaksanakan.

Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, “Sebaik-baik wanita itu ialah apabila kamu memandangnya kamu akan senang hati (gembira), apabila kamu perintah, ia patuh kepadamu, apabila kamu pergi, ia akan menjaga dirinya dan menjaga hartamu.”

Fikirkan kembali, dari mana datangnya seorang wanita yang patuh kepada suaminya jika bukan dari seorang hamba yang patuh kepada Tuhannya ?

Wanita solehah ataupun lelaki yang soleh, yang kita pilih untuk menjadi teman hidup kita, pasti mampu menjaga dirinya kerana pegangan agama yang kukuh dalam diri.

Jadi, tidak dapat dinafikan lagi bahawa agamalah faktor terpenting untuk kita memilih pasangan hidup kita.

Dan kita sendiri juga sepatutnya sentiasa menambah ilmu tentang agama di dada, agar diutuskan bakal jodoh yang juga baik untuk kita.

 “Wanita-wanita yang keji diperuntukkan untuk lelaki yang keji. Dan lelaki yang keji diperuntukkan untuk wanita yang keji pula, dan wanita yang baik diperuntukkan bagi lelaki yang baik, dan lelaki yang baik diperuntukkan bagi waita yang baik pula.” (An Nur: 26)

3. Setiap pilihan yang kita ada, mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing kerana manusia ini tidak sempurna. Yang Maha Sempurna hanyalah Allah S.W.T. Maka, kuatkanlah pergantungan kepada-Nya, kuatkan istikharah kepada-Nya agar kita ditunjukkan pilihan yang terbaik antara banyak pilihan. Allah telah menjanjikan dalam firman-Nya,

“Diantara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih dan sayang. (Ar-Rum 21)

Allah sudah menentukan jodoh kita sejak sebelum kita lahir ke dunia. Saat ruh ditiupkan ke dalam jasad, maka segala perkara ditentukan untuk kita. Jodoh, rezeki, ajal dan penentuan akhir kita kelak, sama ada syurga atau neraka.

Berdoalah kepada Allah agar ditemukan pasangan yang menjadi penenang hati kita. Kerana Allah telah menjanjikan kepada kita jodoh yang sesuai buat kita, yang menyejukkan mata, menenangkan jiwa.

Berdasarkan kelebihan dan kekurangan bakal pasangan, anda pilihlah yang lebih sesuai dengan diri sendiri, agar keserasian itu mudah terjalin selepas nikah kelak.

Jangan melihat pasangan anda dengan mata kasar kerana mata kasar kita kerap menipu, ditambah pula dengan pemanis yang dibisikkan oleh syaitan. Pilihlah dengan mata hati kerana mata hati tidak akan menipu. Mata hatilah sehebat-hebat penafsir untuk kita melihat jauh lebih dalam.

Gunakan mata hati yang dipandu oleh-Nya, bukan dipandu oleh nafsu yang menguasai diri.

Seperti yang saya katakan seperti di atas tadi, kembalilah kepada Allah kerana Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat anda !

4. Berdasarkan firman Allah,

Diwajibkan ke atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.

(2 : 216 )

Renung-renungkan kembali ayat di atas. Sebab itulah saya berpesan agar pasangan anda dipilih bukan atas dasar nafsu. Mungkin sahaja kita rasa kita sesuai dengan si A, tetapi tiada jodoh antara kita dengan dia, Allah lebih Maha Mengetahui.

Mungkin sahaja kita rasa tidak sesuai langsung dengan si B, namun itulah jodoh kita yang Allah takdirkan. Sesungguhnya, Allah itu Maha Mengetahui keadaan hamba-hambaNya.

Bila kita sukakan sesuatu, tidak semestinya ia sesuai dengan kita.
Bila kita tidak sukakan sesuatu, tidak semestinya ia tidak sesuai dengan kita.

Mengapa terjadi begini ?

Kerana kita ini lemah, dan tidak cukup kenal pada diri sendiri. Allah yang lebih tahu tentang diri kita dan apa yang terbaik.

Jadi, di sini saya ingin berpesan buat kali kedua, berserahlah kembali kepada Allah !

5. Pilihlah pasangan yang mempunyai taraf kesihatan yang lebih terjamin. Sihat tubuh badan dan subur.

 Anas Ibnu Malik Radhiyallaahu ‘anhu berkata: Rasulullah Sallallaahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan kami berkeluarga dan sangat melarang kami membujang. Beliau bersabda: “Nikahilah perempuan yang subur dan penyayang, sebab dengan jumlahmu yang banyak aku akan berbangga di hadapan para Nabi pada hari kiamat.” Riwayat Ahmad. Hadis sahih menurut Ibnu Hibban.

Nikahilah wanita yang subur kerana kelak dia akan meramaikan ummat Nabi Muhammad. Kehebatan seseorang wanita itu terletak pada rahimnya.

Mengapa saya berkata begini ?

Kerana seorang wanita mampu melahirkan pejuang-pejuang agama dari rahimnya. Bukankah di belakang seorang lelaki yang hebat, berdirinya seorang wanita.

Ibu kepada Imam Syafie juga mendidik beliau sejak dari dalam kandungan lagi. Lihat apa hasilnya. Lahir seorang tokoh agama yang disegani sehingga sekarang !

-benda ni macam tak sesuai sangat, tapi nak terang jugak-

**************************

Andai dia bidadari untukku, maka yakinilah, dari Allah datangnya dia untuk kita, dan kepada Allah jualah satu hari nanti dia akan kembali.

Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali.

Dari Allah datangnya masalah dan ujian kepada kita, pada Dia lah terletak penyelesaian, maka mintalah kepada-Nya agar diberi petunjuk.

p/s : hanya ini sahaja yang mampu saya coretkan, sebab pengalaman tidak banyak dan saya belum lagi menempuhnya !

M.H.Z

Semalam berjumpa dengan ramai akhawat fillah. Seronok, alhamdulillah. Allah yang bagi nikmat itu. Dan saya duduk sebelah seorang akhawat yang saya rapat dengan beliau. Bersenda-gurau dan ketawa secara kecil-kecilan. Kami berkongsi kisah yang berlaku, maklumlah, sudah lama tidak berjumpa dan masing-masing sibuk dengan kuliah. Saya universiti lain. Dia universiti lain.

Kami main tangkap-tangkap gambar, bluetooth lagu-lagu nasyid terbaru, dan tak semena-mena dia berkata,

” nak buku ko jap”

“buat apa ? “

” adalah “

****************************************************************************************************

Dia menulis sesuatu. Asalnya saya suruh tulis biodata diri dia, takut-takut ada ‘missing part’ lagi tentang dirinya yang saya tidak tahu.

Tapi dia tulis sesuatu yang lebih istimewa.

” Dakwah ni memang berliku-liku. Macam mesin ECG. Ade turun naik. Barulah namenye hidup. Tapi kalau mendatar je,haa…matilah tue :) “

” N******, May love blossom and glow always…May Allah bless…uhibbuki fillah “

 

Terima kasih Allah. Terima kasih sahabat. Segala-galanya menjadi lebih manis dalam dakwah dan tarbiyyah. Segala-galanya menjadi tidak sama seperti orang lain. Segala-galanya menjadi luar biasa.

**************************************************************************************************

Saya menemani beliau pulang ke rumah setelah selesai urusan kami berdua. Sambil berjalan, kami membuka cerita tentang sesuatu yang menandakan kami semakin meningkat dewasa.

” KAHWIN “

” Nak tak nak, kenalah kahwin dengan orang serupa dengan kita. Senang sikit nak gerak “

” Kak Ayu ada pesan hari tu, kahwin dengan orang yang sesuai. Tak semestinya satu fikrah, tapi dengan syarat, boleh support dakwah kita “

” Tapi nanti kalau bercampur-baur, tak susah ke anak-anak ? “

” Tu la, dalam satu rumah tak boleh banyak fikrah “

Dan kami berbual lagi…..

” Aku pun tak tahu nak kahwin atas dasar cinta atau atas dasar Islam. Kalau boleh nak la yang Islam tu, tapi aku tak tahulah “

Dan saya membalasnya,

” Kita ni dalam dakwah dan tarbiyyah. Dakwah dan tarbiyyah mengajar kita membuat sesuatu yang lain dari orang lain. Kalau orang lain kahwin atas dasar cinta dan nafsu, maka kita kena lainlah. Atas dasar Islam “

*******************************************************************************************************

Mungkin manusia terlalu banyak pandangan. Bila bercakap bab ini, saya tidaklah handal, maklumlah tidak berpengalaman lagi. Mungkin sampai satu masa nanti, kena juga memikirkan hal ini. Kerana hal ini sangat memperngaruhi dakwah dan tarbiyyah kita.

Dan kepada pembaca, silakan melontar pandangan anda :)

Terutama bagi yang berpengalaman…..

 

 

 

nikah mak long

13 September 2010, tarikh yang istimewa bagi ahli keluarga kami. Orang yang kami tunggu-tunggu selama ini untuk mendirikan masjid, akhirnya menjadi suri hidup orang pada hari ini.

Mak long sangat cantik hari ini. Nampak bahagia di wajahnya. Nampak keserian pengantin di wajahnya. Dan bahagia itu juga terasa di hati kami semua.

Masing-masing sibuk dengan tugas masing-masing. Yang di dapur, sibuk memasak. Yang di ruang tamu, sibuk melayan tetamu dan yang pasti masing-masing, diberi tugas mengikut kemampuan mereka. Yang pasti, semua orang memainkan peranan, ada tarbiyyah tersendiri. Bagi saya, ALLAH sudah mengatur dan menetapkan siapa yang patut berada di dapur dan di tempat-tempat lain. Kalau mereka tidak menjalankan tugas, pasti majlis ini ada kecacatannya.

———————————————————————————————————————————————-

Ini gambar-gambar mereka, kepada mak long dan pak long, Selamat Pengantin Baru dan moga berkekalan hendaknya.

———————————————————————————————————————————————–

Di sini, saya ada beberapa firman ALLAH yang saya ingin kongsi bersama :

Surah An-Nisaa’: ayat  1
“Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya iaitu Hawa) dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan, lelaki dan perempuan yang ramai dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.”

Surah An-Nuur: ayat 32

“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.

Surah Yaasin: ayat 36

“Maha Suci Tuhan Yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; samada dari yang ditumbuhkan oleh bumi atau dari diri mereka ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.”

Surah Ar-Rum: ayat 21
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

——————————————————————————————————————————————–

Inilah Islam yang indah. Firman-firman ALLAH yang indah. Gunakanlah Al-Quran dan sunnah-sunnah Rasulullah sebagai panduan kita dalam segala urusan termasuk perkahwinan.

:)

:)

:)

p/s : tersangat bahagia melihat mak long….dan entri ini khas untuk mak long saya….

p/s : terasa ingin memeluk cium mak long, tapi tak sempat….

gerbang baru….

Bulan Syawal bakal menjelang. Ramadhan pula bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi. Bukan sahaja akan meraikan hari Raya pada tahun ini, malah dihiasi dengan kenduri-kendara ahli keluarga, guru kesayangan dan rakan-rakan.

Alhamdulillah…..

Dulu seorang, kini ada pendampingnya.

Dulu ada tanggungjawab, kini bertambah tanggungjawabnya.

Dulu tiada orang sebelah, kini ada orang ‘sebelah’.

DULU INDIVIDU MUSLIM, KINI BAITUL MUSLIM.

—————————————————————————————————————–

Inilah zawaj atau perkahwinan. Pakai apa sahaja istilah, maksudnya tetap sama. Penyatuan dua hati antara dua insan. Sudah takdir ALLAH menentukan siapa jodoh mereka. Dan ALLAH telah berjanji dalam firman-Nya :

Perempuan-perempuan yang keji untuk laki-laki keji, dan laki-laki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji (pula), sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik, dan laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik (pula). Mereka itu bersih dari apa yang dituduhkan orang. Mereka memperoleh ampunan dan rezeki yang mulia (syurga) (24:26)”

Yakinlah dengan janji ALLAH. Mana mungkin ALLAH akan membohongi kita. Sentiasalah kita berusaha menjadi orang yang soleh dan solehah agar ALLAH menyediakan insan di samping yang terbaik buat kita (erk, untuk diri sendiri juga)

—————————————————————————————————————-

Wahai guru kesayanganku dan rakan-rakanku yang bakal melangkah ke alam baru,

Aku sentiasa mendoakan yang terbaik meskipun aku tidak dapat berada di sampingmu pada hari bahagiamu.

Aku yakin dengan pilihan kamu, kerana aku tahu ALLAH akan memberikan yang terbaik buat kamu.

Aku berharap masjid yang bakal dibina bakal melahirkan ramai pejuang agama-Nya.

Aku berharap kamu mampu membina sebuah keluarga yang diredhai-Nya dan diberkati-Nya.

Aku berharap kamu mampu untuk membawa tanggungjawab barumu itu.

dan Aku berharap kamu akan bina perkahwinan itu atas dasar agamamu.

——————————————————————————————————————————————–

Firman yang telah ALLAH susunkan buat hamba-hamba-Nya tentang lelaki dan perempuan cukup cantik dan cukup indah.

Katakanlah kepada laki-laki yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu lebih suci bagi mereka. (24:30) “

(lihat juga firman ALLAH seterusnya-ayat 31)

ALLAH telah menghalalkan pernikahan kerana ALLAH lebih tahu tentang fitrah kejadian kita. DIA tidak menghalalkan cara lain untuk seorang laki-laki dan seorang perempuan itu menjalin hubungan.

ALLAH sangat memahami hamba-hamba-Nya….ALLAH tahu kita ini hamba yang amat lemah. Mempunyai nafsu memerlukan pasangan hidup. Malah, jika tiada perkahwinan, ummat Islam tidak akan bertambah, dan tidak akan adalah rijal-rijal yang akan memikul panji-panji Islam.

p/s : Selamat Pengantin Baru buat guru kesayangan saya, Miss Surianawati, akhwat saya yang amat saya sayang Najwa Rosli dan Nurul  Anisah Mohd Rosalan

p/s : menunggu akhawat lain pula untuk naik tangga :)