pensel is alat tulis

Assalamualaikum.

Salam ukhuwwah buat semua pembaca yang sudi datang ke ruang penulisan yang tidak seberapa ini.

Aku hanya insan, yang juga seperti kamu semua.

Aku seorang manusia yang tidak akan gersang hatinya  dengan dakwah Islamiyyah. Jika tiada dakwah dalam jiwanya nescaya ibarat ombak yang kematian pantainya.

Aku seorang  manusia yang mengikut ke mana sahaja hembusan angin tarbiyah yang bertiup, kerana angin itu yang menyamankan jiwanya, angin itu yang menenangkan kalbunya, angin itu yang berhembus tinggi hingga ke luh mahfuz-Nya.

Aku seorang manusia yang mengimpikan syurga, seperti kamu juga. Namun ku tahu, syurga itu mahal nilainya, maka aku merelakan tubuh badanku diseksa duri-duri dakwah, aku rela dibakar sewaktu mengharung api jahiliyyah, aku rela nyawaku disentap musuh sewaktu mempertahankan kalimah-Nya.

Aku seorang manusia yang sarat dengan cinta. Cinta kepada-Nya, cinta kepada ummah, cinta kepada Islam, cinta kepada jalan dakwah ini, cinta dengan tarbiyyah ini, cinta kepada teman-teman perjuangan, cinta kepada segalanya yang akan membawanya ke syurga.

Dan kerana cintalah yang membuatkan aku bergerak ke seluruh pelusuk bumi dan aku harus tabah sewaktu memegang bara api dakwah ini. Mana mungkin cinta itu hilang kerana ianya telah aku sematkan dalam jiwa, aku pasakkan dalam pembuluh darahku. Jika hilang cinta itu, maka hilanglah Tuhan yang ku sembah selama ini. Jika hilang cinta itu, maka tiada lagi darah seorang pejuang agama yang mengalir dalam tubuhku ini. Jika cinta itu hilang, maka tamatlah riwayat hidup seorang mylittlepencil dalam dunia ini.

Aku seorang manusia yang inginkan keamanan di muka bumi. Tiada lagi tangisan si yatim, esakan si miskin yang berbunyi. Dan aku tahu keamanan itu hanya akan datang menjengah jika Islam yang menang, hanya jika Islam yang menaungi muka bumi ini.

Aku seorang manusia, bukan seorang malaikat, bukan jua orang yang terlalu istimewa. Aku hanya insan biasa, yang terkadang jua melakukan kesalahan. Penulisan yang disangka hebat, kata-kata yang diulas hangat tidak melambangkan aku tidak pernah jatuh. Aku jua pernah jatuh kerana lumpur jahiliyyah, hasutan syaitan, namun aku bangkit semula, kembali menghadap Tuhan. Dan aku mahu kamu juga begitu !

Aku seorang manusia yang juga mempunyai ibu dan ayah. Dan jika dengan izin-Nya, aku juga mahu membina keluarga sendiri, baitul Muslim yang ku impikan. Pendamping setia di sisi yang melihat setiap titis keringatku tumpah kerana dakwah ini. Aku mahukan anak-anak yang mahu aku wariskan mereka dakwah ini, mahu aku wariskan jua tarbiyyah ini. Malah aku amat mengharap mereka menjadi orang sehebat Umar Al-Khattab, Saifuddin Qutuz yang mampu memegang tampuk pemerintahan dunia ini sebagai khalifah Islamiyyah.

Aku seorang manusia yang juga nyawanya diangkat, tubuhnya dimandikan dan disemadikan  juga di kubur suatu hari nanti. Maka, sebelum masa itu tiba, aku ingin berdakwah sepuasnya semacam kau melihat betapa  luasnya langit ilahi yang menaungi kita di muka bumi ini. Aku mahu menjadi penyumbang kemenangan. Aku mahu menjadi seorang manusia yang mati dalam keadaan diri yang masih Islam.

Namun aku tidak tahu bila masanya, di mana tempatnya aku akan mati. Maka aku tidak mahu terlewat lagi dari saff-saff dua’t ini !

Daisypath Anniversary tickers