masa muda

Bismillah.

Salam dakwah buat semua.
Moga kamu tidak tercicir dari golongan mukmin yang senantiasa cuba untuk memanfaatkan masa sebaiknya.
Masa, juga makhluk yang hidup seperti kita.
Lemahnya kita adalah bila kita hanya menyia-nyiakannya.
Hebatnya masa kerana mereka boleh memotong kita !

******
Pengalaman banyak mengajar aku sepanjang 4 hari yang lalu.
Betapa aku melaluinya penuh istimewa.
Betapa aku mempelajari terlalu banyak.

Kali ini, aku tidak banyak berpeluang untuk berkongsi.
Sekadar berbisik-bisik dalam diri.
Meluahkan apa yang terbuku dalam hati pada angin yang menderu laju.

Aku memerhati dan terus memerhati.
Memerhati betapa ajaibnya apa yang Allah beri.
Memerhati betapa Allah itu Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hambanya.
Mengetahui betapa manisnya menyimpan kenangan-kenangan indah dalam jalan dakwah.

Semua ini, aku memerhati dengan mata hati.
Bukan hanya dengan sekadar pandangan mata yang tidak berhenti memandang.

Saat aku memerhati ini semua,
terasa satu panggilan dari-Nya untuk aku memahami sesuatu.
Hati dan perasaan mula terasa diuji.

Kala aku sibuk,
aku tidak boleh untuk melupai sujud yang aku lazimi.
Kala aku penat,
aku tidak boleh untuk berterusan mengeluh dengan penat aku hadapi.
Kala aku bekerja,
aku tidak boleh melupai yang orang lain juga sedang bekerja sepertiku.

Inilah masa mudaku.
Masa muda yang menyaksikan betapa aku bersungguh untuk memerah tenaga.
Masa muda yang menjadi bukti betapa aku berusaha untuk menyerahkan segalanya dalam diri dalam situasi yang sepatutnya.
Masa muda jugalah menjadi masa terbaik untuk aku memenatkan diri dengan segala kerja dakwah ini.

Sudah terlalu lambat aku kira sekiranya aku menyesal di masa tua nanti.
Buat apa kita masih menyimpan tenaga ??

 Masa muda usiaku kini
Warna hidup tinggal kupilih
Namun aku telah putuskan
Hidup diatas kebenaran

Reff :
Masa muda penuh karya untukMu Tuhan
Yang aku persembahkan sbagai insan beriman
Mumpung muda ku tak berhenti menapak cita
Menuju negeri syurga yang nun jauh disana

Kini jelas tiap langkahku
Ilahi jadi tujuanku
Apapun yang aku lakukan
Islam slalu jadi pegangan

(Masa Muda-Edcoustic)

 

Masa muda inilah masa para pemuda untuk melatih kekuatan langkah kita dalam jalan ini.
Masa muda inilah masa para pemuda untuk memilih jalan yang terbaik buat mereka.
Masa muda inilah masa yang paling sesuai bagi para pemuda untuk terus mendidik hati mereka supaya senantiasa segar dengan kerja-kerja dakwah sebegini.

Apa yang kita dapat,
mungkin penat dan lelah yang tanpa henti.
Terasa masa rehat hanyalah sehembus nafas, terlalu sekejap.
Tetapi di sebaliknya,

apa yang kita dapat adalah tarbiyyah dan latihan jiwa.
Mungkin memenatkan luaran, tetapi merehatkan dalaman.
Biarlah kepuasan itu datang dari buah-buah usaha yang dilakukan, bukan setakat dari hasil yang dapat.

Mengapa aku bercakap tentang masa muda ?
Kerana aku tidak berupaya menceritakan pengalaman kerana aku hanyalah berada di sebalik tabir yang terlindung.
Keseronokan yang mereka rasa tidak sama seperti yang aku rasa.
Kegembiraan yang mereka nikmati tidak sama seperti yang aku rasa.

Namun,
Apa yang aku dapat kongsikan adalah keberadaan aku di belakang tabir, itulah yang terbaik.
Posisi itu yang memberi tarbiyyah kepadaku.
Posisi ini yang melatih tenaga masa mudaku.
Posisi inilah yang aku perlukan sebenarnya.

Dan posisi ini telah banyak mengajar aku.
Belajar untuk bertimbang-rasa.
Belajar untuk menimbang sesuatu perkara dengan lebih baik.
Belajar untuk menguruskan urusan yang besar.
Belajar untuk menguruskan perasaan dan kepentingan sendiri yang pada masa-masa tertentu perlu untuk diketepikan.

Inilah cara terbaik untuk aku belajar tentang masa mudaku.
Di satu ketika dahulu, masa muda inilah yang aku siakan.
Di satu ketika dahulu, masa muda inilah yang aku buangkan dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah.
Di satu ketika dahulu, masa muda inilah yang aku jadikan masa untuk melunaskan segala impian duniawiku.

Kemudian,
aku mengenal kembali masa mudaku.
Masa muda yang lebih baru.
Pada penghayatanku,
terlalu ramai manusia yang menikmati masa muda mereka, tetapi sedikit sekali manusia yang menggunakannya.

Kini,

Aku tinggalkan masa muda yang lama.
Aku cuba mencari apa yang hilang dalam masa mudaku.
Aku tidak mahu menjadi seorang manusia yang hanya penuh dengan rehat  bila penat dengan urusan yang hanya memenuhi kehendak hawa nafsu.

Aku tidak mahu menjadi seorang yang terlalu leka dengan tenaga masa muda yang banyak, lalu dibazirkan begitu sahaja.

***********

Langkah yang kita tapak dalam jalan kebenaran yang kita pilih ini,
seharusnya  payah kerana kita  sedang menuju rahmat-Nya,
kita sedang menuju keredhaan-Nya.

Jika terlalu senang, hanya dihiasi kegembiraan yang tiada hentinya,
maka kembalilah semula ke permulaan,
dan carilah semula jalan yang sebenarnya.
Jalan yang benar-benar menjamin bahagia.
Jalan yang benar-benar menambah isi dan cinta dalam hati.
Jalan yang benar-benar menemani setiap masa hidup kita.
Dan pesanku,

imanilah jalan ini sampai mati nanti.
Jalan dakwah inilah yang kita dahagakan sebenarnya, maka jangan sesekali tertinggal.
Atau jangan sekali kau bertindak untuk menjauhinya.
Andai kau hadapi kekecewaan, ubatilah.
Kerana sampau mati, jalan dakwah ini akan meminta hati-hati para daie untuk terus bekerja siang dan malam.
Ibarat,

Jalan dakwah ini tidak mahu ambil tahu akan bilakah penatnya kita.
Jalan dakwah ini seolah akan mengenepikan begitu sahaja andai kau yang memilih untuk tercicir.
Jalan dakwah ini seolah tidak mahu melayan segala kerenah dan segala kemanjaan kau itu !

Begitulah.
Cinta yang mendidik hati manusia lalu memberi cahaya.
Jalan ini menjadikan kita hamba yang lebih dekat kepada pencipta.

Di setiap nafas,
segala waktu,
kita bersujud dalam hati,
menjadi hamba kepada Ar-Rahman.

Apatah lagi masa muda yang masih berbaki ini.
Masa muda ini emas buat kita.
Masa muda ini ibarat air yang bakal mengubat dahaga jiwa kita di masa tua nanti.
Masa muda ini, jika kita tidak gunakan sebaiknya,

maka kitalah golongan rugi !

Jika kita tidak mula untuk memilih jalan dakwah di waktu muda ini, maka kita akan terus tertinggal.

sekian,
mylittlepencil

kehidupan dan dakwah

Bismillah.

Salam dakwah buat semua.
Telah  lama tidak meluahkan rasa  hati di ruang penulisan ini.

Ingin menulis, tapi seperti biasa.
Masa dan kewajipan terus meminta-minta.
Dan diri seolah tersepit, antara yang penting dan yang paling cepat untuk diuruskan.
Sentiasa. Sentiasa tersepit.

*******

Dakwah dan kehidupan.

Dakwah itu kehidupan,
atau,
Kehidupan itu dakwah ?

Mana satu idaman kalbu.
Mana satu yang betul.
Mana satu yang benar-benar menepati kehendak iman.
Saya sendiri terkadang  mencari-cari.
Tetapi saya ingin berkongsi apa yang  ada di dada.

Jika dakwah itu kehidupan, maka dakwah itu adalah acuan kehidupan kita.
Jika kehidupan itu adalah dakwah, maka  hembusan nafas kita, setiap amal kita, setiap apa yang mengelilingi kita adalah dakwah.

Kedua-duanya tepat, namun susah untuk ditafsir.
Apatah lagi jika tidak berupaya untuk mendidik hati supaya merasai.
Apatah lagi jika sengaja meletakkan ‘jarak’ antara kehidupan dan dakwah.

Bila kita mula meletakkan jarak, kita sendiri yang sebenarnya semakin jauh.
Bila kita mula membeza-bezakan, kita sendiri sebenarnya yang masih tidak faham.
Bila kita mula tidak faham, memang teramat susah untuk kita mengamalkannya.

Ada dua soalan.
Kita mahu atau tidak ?
Kita faham atau tidak ?

Jawablah  keduanya  dengan hati yang luhur.
Jawablah dengan kefahaman yang telah dibina.
Jawablah dengan iradah qawiyah yang tinggi.

Jawablah dengan jujur !
Itu sahaja yang aku minta.

Jujur  dengan diri sendiri.
Tanya diri sendiri, tanya hati sendiri.
Sama ada soalan tadi berjawab atau tidak.
Atau kau memang sudah tidak mampu untuk menjawabnya.

Jika kau mempunyai jawapan,
Jawapan itu relevan atau tidak.

Apa yang aku fahami,
Dakwah ini adalah kehidupan, dan kehidupan ini adalah dakwah.
Kita tidak dapat lari dari cara hidup ini.
Malah, kita dilarang untuk mengamalkan cara hidup yang lain.

Kita bukan sekadar manusia-manusia baik yang biasa,
Apatah lagi manusia yang berlakon baik.
Kita bukan sekadar manusia yang singgah duduk di muka bumi,
Apatah lagi manusia yang duduk membuang masa.
Kita bukan sekadar manusia-manusia yang menghembus nafas-nafas biasa,
Apatah lagi manusia yang menggunakan nikmat hembusan nafasnya sia-sia.

Kita adalah daie yang mengamalkan cara hidup dakwah sebagai daie rabbani.
Kita adalah manusia yang mengamalkan cara hidup sebagai seorang hamba.

Dakwah adalah kehidupan.
Kehidupan adalah dakwah.

Keduanya perlu.
Perlu untuk aku untuk memahami mengapa aku hidup.
Perlu untuk aku yang masih terkial-kial mencari apa makna hidup dalam dakwah.
Perlu untuk aku yang sedang mengumpul pengalaman-pengalaman hidup yang boleh dijadikan pengajaran.

Kamu pula bagaimana ?

Kehidupan adalah dakwah

Hidup dalam dakwah
Atau dalam erti kata yang lainnya,
Membuat dakwah.

Hidup, maka akan ada hasilnya.
Hidup, maka akan ada peningkatannya.
Hidup, maka akan waktu susahnya.

Inilah erti hidup dalam dakwah.
Kita menjadikan dakwah ini hidup, sehingga kita menjadi benar-benar hidup.
Benar-benar hidup,

menjadi seorang manusia yang tahu tujuan hidupnya.
Menjadi seorang manusia yang faham tanggungjawab dan beban yang ditanggungnya.
Menjadi seorang manusia yang benar-benar pasti akan bezanya kebenaran dan kebatilan.

Bila kita hidup dengan dakwah, maka kehidupan kita adalah dakwah.
Kehidupan kita tidak akan pernah sunyi dari beban-beban dakwah.
Kehidupan kita tidak akan pernah lekang dek ‘panas sejuk’ dakwah.

Dan semestinya, kehidupan kita seperti juga manusia biasa.
Kita akan melakukan benda-benda biasa,
Kita akan menghadapi pengalaman-pengalaman biasa,
Kita akan menikmati perkara-perkara biasa yang menghiasi kehidupan orang lain.

Lalu, bagaimana mahu menjadikannya luar biasa ?

Dengan cara kita belajar dari kehidupan.
Kita fahami kehidupan.
Kita mengamalkan kehidupan yang sepatutnya.

Ada orang, hanya menganggap kehidupan ini hanya satu hiburan.
Ada orang, kehidupan baginya hanya satu nikmat.
Ada orang, kehidupan ini segala-galanya bagi dia.
Ada orang, kehidupan adalah satu bebanan.

Adakah orang-orang jenis ini kita ?
Atau bagaimana diri kita sebenarnya ?

Ada manusia, kehidupan ini adalah satu pahala baginya jika dia benar-benar memanfaat.
Ada manusia, kehidupan ini adalah salah satu cara dia belajar untuk mengenali penciptanya.
Ada manusia, baginya kehidupan ini bukan segala-galanya, hanya sementara.
Ada manusia, dia percaya  kehidupan ini bukanlah menjanjikan bahagia sepanjang masa.

Dan manusia itu adalah kita  !

Jangan kita memperlekehkan sebuah kehidupan.
Kerana dengan kehidupan, orang boleh mengenali kita.
Manusia apatah lagi Allah, tidak berhenti memerhati sambil mengadili.
Meskipun sekecil-kecil urusan, hadapinya sebagai seorang khalifah.
Hadapinya sebagai seorang manusia yang beragama Islam.

Paling penting, kau adalah seorang daie.
Bukan calang-calang manusia.

Sepanjang pemerhatian yang dalam,
Aku melihat ada lagi sekumpulan dua’t yang memisahkan antara kehidupan dan dakwah.
Ingin sekali aku tanya mengapa.
” Mengapa kalian berbuat demikian ? “

Mungkin mereka tidak sedar.
Mungkin mereka sedang cuba belajar.

Tetapi, ingatlah wahai daie-daie sekalian,

Kita diajar untuk hidup sebagaimana manusia biasa.
Mungkin adakalanya kegemaran kita, juga kegemaran orang lain.
Mungkin adakalanya tindakbalas kita terhadap sesuatu perkara, juga sama seperti manusia lain.
Janganlah seolah kamu tertinggal dari kehidupan yang normal ini.

Bukan aku menyuruh kamu selalu dan terlalu gembira.
Meninggalkan dunia sepenuhnya.

Apa yang aku minta,
Tinggalkan dunia ini,
tinggalkan janji-janji manisnya,
tinggalkan keseronokannya,

dari hati nurani kau itu.
Kerana telah bersusah-payah kau hiasinya dengan iman.
Dan akan malaplah cahaya-cahaya iman ini dengan kecintaan kepada dunia yang berlebihan.

Apa guna ada tarbiyyah andai tidak meninggalkan kesan ?

Jalani kehidupan dengan normal.
Jangan terlalu merasakan kau terlalu istimewa.
Sehingga kau memperlekeh kehidupan manusia lain.

Jalani kehidupan dengan penuh sikap timbang rasa kepada manusia yang lain.
Jangan terlalu mempersoal, sebaliknya cuba untuk bertanya dan fahami.
Mungkin kau tidak pernah berada pada situasi yang dia hadapi,
mana tahu pada masa akan datang, kau pula yang terkena.

Fikirkan,
Adakah di kala itu kau suka manusia lain mentertawakan apa yang kau buat ?

Semestinya kau mengharapkan manusia yang lain untuk memahami.
Semestinya kau meminta mereka untuk cuba meletakkan diri mereka pada situasi itu.

Jalani kehidupan yang penuh dengan usaha.
Usaha untuk menjadi hamba yang lebih baik.
Berusaha untuk menjalankan tanggungjawab dengan sempurna.
Berusaha untuk berjaya di dunia demi akhirat sana.
Belajar untuk berusaha tanpa lelah.
Hanya berehat di kala kau tidak menyedarinya, bukan meminta-minta untuk rehat.
Atau menyintai keselesaan tika berehat.
Kerana berfikir untuk  berehat sudah menjadi tanda kelalaian kita.

Ini baru namanya kehidupan.
Bukanlah kehidupan namanya andai tidak ada peningkatan.
Itu hanya sebuah  permulaan kepada kematian.
Atau corak awal kehidupan yang akhirnya menjanjikan sebuah kegagalan.

Race is not about competing with others, it is about being  fast as you can.

Wahai kawanku…
Seriuslah selalu dan berguraulah berpatutan
Tanpa serius, hilanglah kesungguhan
Tanpa bergurau, tawarlah kehidupan
Kata seorang penyair :
Berikan kerehatan kepada jiwamu yang sibuk dengan berfikir
ubati dengan bergurau
Tapi , kalau mengubatinya dengan bergurau mestilah dalam batas
Seperti kau memasukkan garam ke dalam gulai

Imam Syahid Hassan Al-Banna

Dakwah adalah kehidupan

Bila mana kita menyebut dakwah adalah kehidupan,
maka intipati utama sebuah kehidupan adalah dakwah.

Bila mana ia nya menjadi intipati yang utama,
maka hilangnya ia, akan punahlah kehidupan.

Bila mana ia nya menjadi bahan yang utama,
jangan sekali-kali kita cuba untuk membuangnya.

Bila mana ia nya menjadi perkara yang utama,
maka kepentingannya akan sentiasa menjadi rencana pemikiran kita.

Begitulah.
Dan perkara-perkara ini akan kau pelajari.
Sedikit demi sedikit.

Semacam aku juga yang dahulunya tidak tahu menyusun urusan,
yang terpinga-pinga tatkala terlalu banyak perkara yang perlu diselesaikan.

Tidak dapat tidak,
bila kita menabalkan diri sebagai seorang daie dengan kalimah syahadah yang sentiasa kita ucapkan,

Kita sedang menabur janji.
Kita juga sedang menanam mimpi-mimpi.

Janji yang harus ditepati.
Dan mimpi yang harus kita dijadikan realiti.

Janji kepada Allah.
Mimpi sebuah kegemilangan.

Inilah daie.
Hidup dengan mimpi-mimpi.
Kita bukan sekadar berangan, tetapi cuba untuk mencapainya.
Kita bukan manusia yang terlena dan terbuai-buai dengan mimpi-mimpi yang indah.

Sebaliknya kita bermimpi indah, tetapi penuh dengan muhasabah.
Penuh dengan ketakutan akan tidak tercapainya mimpi-mimpi itu tadi.

Kita bermimpi-mimpi indah menuju rahmat-Nya,
menuju keredhaan-Nya.

Hanyalah pada-Mu, ya Tuhanku.
Biarlah kau yang mengarah mimpiku ini,
biarkanlah kau yang tunjukkan jalan-jalan menjadikan mimpi ini nyata.

Bagi kita, sebuah kehidupan, likunya adalah dakwah.
Bagi kita, sebuah kehidupan, cabarannya adalah dakwah.
Bagi kita, sebuah kehidupan, yang mengisi masa adalah dakwah.
Bagi kita, sebuah kehidupan seluruhnya adalah dakwah !

Kerana dakwah adalah kehidupan.
Dan kehidupan adalah dakwah.

Saling bergantungan antara keduanya.
Sebagaimana kita bekerja kuat,
Sekuat itu juga gagahnya kita bersujud.

Maka apabila engkau telah selesai (dari sesuatu urusan) , tetaplah bekerja keras (untuk urusan yang lain)
( 94 : 7 )

sekian,
mylittlepencil 

tarbiyyah : rumah kita

Bismillah.

Salam dakwah buat semua.
Semua pembaca yang teramat saya rindui.
Masa amat mencemburui saya sehingga saya tidak sempat untuk meluahkan kata-kata rindu di sini buat semua.
Sekiannya, memang tanggungjawab yang terpikul memang banyak dan lebih penting.
Namun, tidak akan saya lupakan medan jihad yang satu ini.

***********

Saya pasti, anda semua pasti ada pengalaman tinggal di sebuah rumah Islam (RI) bukan ?
Atau sekurang-kurangnya pernah menyinggah melawat teman dakwah yang lain.
Atau setidak-tidaknya, pernah mendengar tentangnya.
Kalau tidak ada pengalaman ketika alam pekerjaan, sekurang-kurangnya ketika bergelar pelajar satu ketika dahulu, pengalaman itu masih segar bukan ?

Bermacam-macam nama diberi.
Ada nama tokoh-tokoh Islam, nama-nama syurga.
Menarik sungguh !

Pastinya, membina rumah Islam tiada dalam tangga maratib amal kita.
Hakikatnya memang  tidak terpampang jelas, tetapi terselindung di sebalik sebuah kejayaan.
Kejayaan sebuah tarbiyyah.
Latihan buat seorang kader dakwah.

Tangga kecil ini merupakan tangga penting buat kita.
Persediaan buat seorang daie atau daieyah untuk melangkah ke anak tangga yang lebih besar.

Seolahnya, kalau tidak pernah merasa melangkah ke anak tangga ini,
anda harus merasainya.

Tarbiyyahnya berbeza dan mempunyai kelainan yang tersendiri.
Rumah, antara tempat kita mempraktikkan segala input yang kita dapat.
Di rumahlah, tempat kita diberi ujian berhadaparan dengan orang-orang yang terdekat, teman-teman dakwah kita sendiri !
Di rumah jugalah, antara tempat lain untuk meluahkan segala curahan hati selain kepada teman-teman usrah yang hanya berjumpa seminggu sekali.

Rumah kita juga adalah sebahagian dari kehidupan.
Rumah adalah madrasah tarbiyyah kita.
Keistimewaannya, rumah kita ini terdiri dari individu-individu Muslim yang dibina dalam satu sistem yang sama.

Tetapi harus ingat,

RUMAH ISLAM KITA SAMA SEPERTI RUMAH ORANG LAIN JUGA
Mungkin terkadang kita berbangga, amat senang dan selesa,

” Eh rumah akhawat mane ade TV.”
” Bestnye rumah akhawat ni adalah akhawat memang sangat faham kita. Willing untuk ganti tugas kita bila-bila masa.”
” Datang rumah akhawat memang sejuk hati. Kalau rumah orang lain…hmmm….”

Sehingga kita terlupa, rumah Islam kita juga adalah seperti rumah orang lain juga.
Di mana kita tinggal, di situlah ada tanggungjawab yang perlu kita tunaikan.
Di mana kita tinggal, di situlah perlunya kita menjaga hak dan perasaan orang yang tinggal bersama-sama dengan kita.
Di mana kita tinggal, di situlah perlunya ada toleransi dan saling memahami antara satu sama lain.
Di mana kita tinggal, di situlah kita akan mula mengenali dengan lebih dekat ragam-ragam manusia bertarbiyyah.
Di mana kita tinggal, di situlah tempat kita belajar menghormati orang lain.

Kadang-kadang, bila dimuhasabahkan semula,
Perbezaannya hanyalah,
” Kita semua ikut usrah.”
” Kita semua join program.”

Itu sahaja.

Kau tahu,
Rumah Islam itu adalah salah satu sumber ruh dakwah kita.
Dimana kita memperkatakan masalah-masalah dakwah.
Perkongsian dengan teman-teman lain membuatkan hati kita lebih tenang.
Kita membina satu biah yang benar-benar menghidupkan iman kita.

Inilah rumah Islam.
Bukan sekadar rumah yang terdiri dari binaan batu-bata yang membina dinding-dinding rumah,
tetapi rumah Islam itu sendiri terdiri dari binaan batu-bata manusia !

Asasnya adalah individu-individu Muslim.
Yang sentiasa terjaga mutabaah amalnya, yang sentiasa terdidik muwassafat tarbiyyahnya.

Batu-bata manusia yang membina ‘ dinding-dinding ‘ yang menjadi benteng perjuangan kita.
Saat terasa lelah, teringat kembali kenangan-kenangan bersama ahli rumah tercinta.
Saat terasa hiba, teringat senyuman ahli rumah yang tidak penah hilang dari pandangan mata.

Begitulah,
Kita akan terus belajar dari pengalaman.
Jika bukan sekarang, mungkin pada masa akan datang.
Jika tidak berguna pada kita, bermanfaat untuk generasi yang seterusnya.

BERHATI-HATILAH !
Jangan sekali-kali ingat, kita akan terlepas dari masalah pabila duduk bersama dengan orang yang sama fahamnya dengan kita.
” Duduk dengan akhawat takkanlah ada masalah.”

Syaitan tidak akan pernah berehat dari tugas mereka.
Jika rumah orang lain ada duganya, rumah Islam kita ini lebih hebat cabarannya !
Percayalah.

Di sinilah akan terlatihnya kesabaran kita berhadapan dengan perangai sebenar ukhti yang sebelum ini kita tidak pernah kenal.
Mungkin hanya kenal bila bersua muka di dalam usrah, berkenal-kenalan di program,
tapi bila duduk serumah,
” Begini rupanya perangai dia.”

Belajarlah menerimanya kerana ahli rumah kita adalah manusia hamba sama seperti kita, punyai tabiatnya sendiri, punyai ragamnya sendiri, punyai haknya sendiri, punyai pantang larangnya yang tersendiri !

Meskipun semua berhimpun dalam sebuah rumah yang sama tidak semestinya kita mampu sepakat dalam semua perkara.

Maka, jangan pernah pelik jika kau sendiri terkadang susah untuk memahami mereka.
Jika kau terlalu susah untuk memahami, belajar untuk menerima.
Jika kau sudah penat bersabar, belajarlah untuk redha dengannya.
Sedarlah, mungkin kau hanya  tidak menyenangi perangai dia seorang, jangan-jangan lebih ramai lagi rupanya yang tidak menyenangi ragam diri kau sendiri.

Manusia yang sememangnya tidak akan pernah sempurna dalam memenuhi semua kehendak kita.
Siapalah dia untuk memenuhi kehendakku sedangkan diriku sendiri susah untuk memenuhi kehendaknya.
Siapalah dia untuk aku meletakkan harapan yang tinggi sedangkan aku sendiri  susah untuk mencapai harapannya.

Kesalahan-kesalahan kecil itu biasa.
Ingatlah telah sebanyak kebaikan yang telah dia lakukan kepada kita.

Do not forget small kindnesses and do not remember small faults.
Chinese Proverb

 

BERSYURALAH !
Berbincanglah dengan penuh adil dan saksama.
Di dalam musyawarahlah, kita mengambil peluang untuk mendengar curahan hati setiap seorang dari ahli rumah.
Mendengar dengan penuh hormat dan hati yang terbuka.
Kesemuanya bebas mengemukakan dan menerima apa jua pendapat.
Capailah kata persetujuan yang paling wajar untuk memuaskan hati kesemua penghuninya.

Jangan sesekali kau rasa hal-hal kecil yang tidak dibincangkan itu boleh hanya selesai sekelip mata,
kerana lubang-lubang kecil inilah pabila semakin membesar,
akan menampakkan satu kecacatan yang nyata !

Kesefahaman mula hilang.
Kesatuan hati mula lesap.

Mula segalanya serba tidak kena.
Segalanya berantakan !

When someone criticises or disagrees with you, a small ant of hatred and antagonism is born in your heart. If you do not squash that ant at once, it might grow into a snake, or even a dragon.- Jalaluddin al-Rumi

Adakah dinamakan rumah andai kita berasa tidak tenang tinggal di dalamnya ?
Adakah dinamakan rumah jika kita sendiri merasa lebih selesa untuk tinggal di rumah orang lain ?
Adakah dinamakan rumah andai rumah itu kita masuk keluar sesuka hati kita tanpa memberitahu yang lain ?

Andai begitu, lebih baiklah anda tinggal seorang diri.
Bertemankan ragam diri sendiri yang tidak perlu untuk orang lain fahami.
Berbuatlah sesuka hati tanpa perlu adanya pandangan dari orang lain.

Belajar untuk saling menghormati.
Belajar untuk lebih memberi daripada menerima.
Belajar untuk bersangkar baik sentiasa.

MEMANG TIDAK AKAN ADA BEZANYA RUMAH ISLAM KITA DENGAN RUMAH ORANG LAIN KALAU BUKAN KITA YANG MELETAKKAN NILAI-NILAI PERBEZAANYA  

Rumah Islam kita tempat kita membina semangat yang baru.
Rumah Islam kita benar-benar tempat latihan kita.
Malah, rumah Islam kita juga adalah salah satu medan dakwah kita.

Pasakkan bezanya pada kekuatan jiwa kita, yang terikat atas satu jalan yang sama.
Sama-sama merasai kesedihan, sama-sama meraikan kegembiraan.
Tidak akan ada yang tertinggal di belakang, semuanya berjalan serentak, selangkah.

Namun begitu, jangan pernah kita tinggalkan hal-hal biasa.
Seperti perihal pelajarannya, khabar keluarganya.
Tunjukkan bahawa betapa kita ini cakna.

Ringan-ringankan  bibir bertanya,

” Ibu ukhti sihat ? “
” Pelajaran ukhti bagaimana ? “

Adakan satu aktiviti santai yang boleh dilakukan bersama-sama.
Ya, sekali-kali cuba untuk berfikir di luar kotak, fikir dengan cara yang luar biasa untuk merasai betapa menariknya tarbiyyah sebuah rumah Islam.

Berjoging bersama-sama.
Membeli-belah bersama-sama.

Hidupnya sebuah rumah pabila ahli-ahlinya yang menghidupkan.

Jadikan rumah Islam kita sebagai tempat kita mengutip saham-saham syurga.
Jadikan rumah Islam kita sebagai tempat persediaan rumah kita di alam barzakh sana.
Jadikan rumah Islam kita ini seperti salah satu dari taman-taman syurga.

Sesibuk mana pun kita dengan tugas dakwah, rumah jangan diabaikan.
Tugas dan tanggungjawab tetap perlu dijalankan.
Hak terhadap manusia yang lain perlu ditunaikan.
Jangan sampai berhabuk meja kita tinggalkan rumah.

Uruslah masamu sebaiknya.
Usahalah sebaiknya untuk menunaikan segala tanggungjawab dengaan sempurna.

Jadikan aman damai sahaja rumahmu.
Tenang.

“Peace cannot be kept by force. It can only be achieved by understanding.”
——— Einstein.

RUMAH ISLAM MILIKMU MILIK TEMAN DAKWAH YANG LAIN JUGA
Dan inilah apa yang paling saya banggakan dengan rumah Islam-rumah Islam yang ada.
Mereka sentiasa terbuka untuk menerima tetamu.
Mereka memberi layanan yang teristimewa.
Mereka memberikan kita kebebasan seolah barang di dalam rumah mereka itu milik kita juga.

Mereka memberi kebenaran dengan begitu mudah sekali untuk kita buat usrah atau apa jua aktiviti.
Kagum sungguh !

FATRAH IMTIHAN
Inilah fatrah yang paling menguji.
Di kala semua orang terlalu sibuk menumpukan perhatian kepada pelajaran, rumah akan terasa begitu sunyi.
Luangkanlah masa untuk menjenguk ahli rumah yang lain.
Bukan niat untuk menganggu, hanya sekadar bercakap sepatah dua.

Teruskan budaya saling memberi semangat antara satu sama lain.
Berkongsi kata-kata penyejuk hati di kala resah-gelisah menjelang hari peperiksaan.
Saling berkorban dan saling mendoakan antara satu sama lain.
Jangan dengan alasan peperiksaan, kau melepaskan begitu sahaja tanggungjawab yang digalaskan.
Jangan dengan alasan peperiksaan, menyempitkan masamu untuk tidak langsung melayan mereka.

Akhir kalam dariku,

Mohonlah dari Allah untuk sentiasa memelihara rumah Islammu.
Kebetulan itu tidak pernah ada.
Adalah takdir Allah  sesiapa sahaja yang menjadi teman kita, menjadi ahli rumah kita.
Dan di sebalik takdir inilah, tersingkapnya satu rahsia yang tidak kita ketahui.
Pastinya, itu adalah yang terbaik buat kita dari-Nya.

Tajdid semula niat kita mengapa kita tinggal di dalam sebuah rumah yang bernama rumah Islam.
Dahulu kita katakan inilah rumah impian kita.
Terbinanya rumah ini atas asas dakwah.
Jangan kerana terlalu  sibuknya mengejar natijah sebuah rumah Islam sehingga kita terlupa pada niat asalnya.

“I’m amazed, that how salam (peace) is always the first word to start a meeting. but in prayer it is the end word. Maybe it means the end of prayer is the start of a meeting…”
——— Ali Shahri’ati.

 

Sekecil mana,
Sebesar mana rumah Islammu itu,
tidak akan bernilai andai tidak memberi manfaat kepada penghuninya.

sekian dari saya,
mylittlepencil

dakwah dan tarbiyyah (I)

Bismillah.

Salam dakwah buat semua.
Moga-moga, hidup anda sentiasa gembira dengan darah dakwah yang sentiasa mengalir dalam pembuluh darah, menyegarkan dan menyembuhkan, inshaAllah !

***********

Dakwah dan tarbiyyah.
Kalimah lazim untuk seorang daie.
Yang sentiasa didengar, yang sentiasa dilafazkan.

Semacamnya, kalimah ini sudah menjadi zikir harian kita.
Sepertinya, kalimah ini turut menjadi bahan senda gurau kita (gurau pun pakai bahasa DnT).

Setiap masa, setiap tempat.
Dakwah dan tarbiyyah.

Hidup kita berpaksikan ini.
Asasnya, iman dan taqwa.
Sumbunya, Allah Taala.

Ibarat kitalah manusia yang berjalan ke mana-mana memegang satu kain rentang yang tertera di atasnya,
” Dakwah dan tarbiyyah.”

Berjalan ke mana sahaja, kita dikenali dengan cara hidup begini.
Bercakap apa sahaja, kita dikenali dengan kata-kata bicara yang melafazkan bahasa-bahasa begini.
Berbuat apa sahaja, kita dikenali dengan amal-amal yang hanya untuk ini.

Begini dan begitu,
tetap jua dakwah dan tarbiyyah.

Berbicara tentang soal dakwah dan tarbiyyah,
terkadang saya sendiri,

masih mencari-cari erti dakwah dan tarbiyyah,
erti memasukkan perkataan dakwah dan tarbiyyah dalam kamus kehidupan.
Erti kehidupan yang lebih bererti.

Kerana bila terlalu biasa,
seolah saya sendiri menjadikan ia hanyalah satu perkara yang terlalu biasa.
Perkara-perkara biasa yang menyerabutkan kehidupan,
hal-hal biasa yang biasa berlaku dalam kehidupan.

Seolahnya, dakwah dan tarbiyyah bukan lagi ruh sebuah kehidupan,
ianya sekadar benda-benda biasa.

Benda biasa yang tidak lagi memberi sebuah cinta.
Agenda biasa yang tidak lagi memberi satu perasaan.

Kini saya mencari-carinya semula.
Kembali semula ke atas landasan, mengejar kembali keretapi yang telah jauh ini.
Kerana, saya tidak mahu tertinggal lagi dalam mengejar insan-insan lain yang berada dalam gerabak kebenaran ini.

Dan saya mahu mengajak anda semua,
bersama-sama saya kembali bangkit dalam jalan ini.

Gerakan dakwah ini  mencari penggerak,
bukan sekadar penyokong.

Gerakan dakwah ini mencari jundi,
bukan orang yang berdiam-diri.

Gerakan dakwah ini mencari orang-orang yang bersedia,
bukan mencari ahli semata.

Gerakan dakwah ini mempunyai tatacara dan kaedahnya,
bukan dakwah yang main hentam saja.

Kesimpulannya, dakwah ini bukan sekadar mencari jasadi,
tetapi kita mencari hati-hati,
kita mencari sy’uuri,

Kita mahu ruh dakwah  ini yang menguasai diri !
Kita mahu ruh ini dikuasai  oleh semangat juang dan pengorbanan yang tinggi !

Dakwah kita,
mencari manusia-manusia yang sentiasa terkedepan,
bukan yang berdiri di belakang.

Barisan dakwah kita,
akan senantiasa ditapis oleh-Nya,
diuji untuk  melihat siapa yang bertahan, siapa yang kecundang,
siapa yang hanya menabur janji, siapa yang benar-benar menunaikan janji,
siapa yang benar-benar bekerja, siapa yang sambil lewa.

Ya, kita tidak akan ketinggalan dari proses penapisan ini.
Kerana saff dakwah ini, seharusnya,
setiap masa dibersihkan dari kotoran-kotoran ini.

Hanya memalitkan debu-debu yang hina.

Buat apa disimpan parasit dalam satu tubuh badan yang sihat.
Hanya mengundang bahaya !
Sungguh, barisan dakwah ini adalah satu barisan yang suci.
Jalannya bersih, ditaburi kebenaran dan cahaya gemerlapan.

Tidak selamanya kita patut berasa selamat,
kerana keberadaan kita di atas jalan ini adalah belas dari-Nya,
jaminan untuk kita terus tsabat  terletak pada kuasa-Nya,

Maka, teruslah meminta kepadanya agar belas kasihan itu akan sentiasa ada,
jaminan itu akan sentiasa pasti.

Inilah dakwah pada amatan saya.
Jalan dakwah bukan seperti jalan-jalan biasa yang kita lalui seharian,
jalan dakwah ditemani tarbiyyah.

Tanpa tarbiyyah,
jalan dakwah ini akan kelihatan lesu dan kosong,
tidak bermakna.

Andai tanpa tarbiyyah,
sama juga seperti jalan-jalan biasa.

Keduanya saling melengkapi antara satu sama lain.
Keduanya saling memerlukan antara satu sama lain.

Dakwah dan tarbiyyah.

Aku mengenal keduanya dalam masa yang sama.
Baru aku tahu, betapa inilah keperluan iman,
inilah jalan yang membasahkan jiwa.

Tarbiyyah yang berterusan sebagai jaminan,
Jaminan untuk terus berlakunya peningkatan iman,
jaminan untuk terus berlakunya pembinaan.

Tidak dapat tidak,
Tarbiyyah-lah sebenarnya yang menjadi sendi kepada dakwah.
Menjadi tulang belakang yang kuat buat seorang daie.

Para dua’t mungkin akan bertahan dalam jalan dakwah tanpa tarbiyyah,
tetapi pastinya mereka akan cepat ketandusan.

Ini keyakinan kita.

Dakwah tidak akan hidup tanpa tarbiyyah.
Dan, tarbiyyah tidak akan sempurna tanpa dakwah.

Jika manusia yang lain tidak menerima,
biarkan mereka dengan prinsipnya.

Kita tegas pada prinsip yang kita ada.

Memang,
tarbiyyah ini mengikut tahapan.
Manusia dibina menggunakan acuan yang sesuai.

Betapa penting,
Dalam pembinaan perlu ketelitian.

 

Seorang murabbi atau murabbiyah,
perlu meneliti setiap aspek kehidupan.
Fizikal dan mental.
Jasmani dan rohani.
Jasadi dan aqli.

Barulah pembinaan akan menjadi sukses.

Keseluruhan kehidupan adalah tarbiyyah.
Mungkin ada lagi yang kurang memahami kenyataan ini.
Atau mungkin juga ada yang sudah memahami dan aplikasi.

Setiap sudut amal kita,
Setiap langkah yang diambil,
setiap keputusan yang dibuat,

Kesemuanya adalah tarbiyyah.
Lagak kita,
Percakapan kita,
Pemakaian kita,

Semuanya hasil sibghah Islam.

Apa sahaja yang datang dalam hidupnya, dia memandang sebagai tarbiyyah.
Apa sahaja yang berlaku dalam hidupnya, dia merasakan itu adalah tarbiyyah.

Kerana dia tahu,
selepas dia mengenal jalan dakwah dan tarbiyyah ini,
segalanya bertukar arah,
bertukar neraca,
bertukar sudut pandang.

Tarbiyyah memberi suntikan kelainan.
Hidupnya sudah tidak lagi seperti dulu.

Hidupnya lebih terisi.
Hidupnya lebih bermakna.

Hidupnya bukan seperti manusia-manusia biasa,
malah, dia sedang dibina untuk menjadi seorang manusia yang luar biasa.

Begitulah hendaknya.
Betapa susah untuk saya menerangkan segala.

Perlu anda sendiri yang merasainya terlebih dahulu.
Pahit dan manisnya, hanya yang sudah merasai yang tahu.

Jangan memandang dari jauh,
memberi penilaian-penilaian yang sebenarnya kau sendiri tidak pasti.

Daya tarik  jalan dakwah dan tarbiyyah ini,
bukan kuasa manusia.

Tetapi kuasa yang Maha Esa.
Maka, mintalah pada-Nya agar hati engkau sentiasa dijaga atas jalan yang mulia.

pati keimanan

Bismillah.

Salam dakwah buat semua.

Sekiannya, aku menulis lagi di ruangan ini.
Untuk berkongsi apa yang difahami.
Meluah rasa hati apa yang dirasai.

********

Aku, kamu dan dia memiliki pati yang sama.
Pati yang tersimpan di hati.
Inilah yang kita gunakan untuk membancuh amal setiap hari.

Pati sebuah keimanan.
Adakalanya ia memekat.
Adakalanya ia semakin menawar.

Pati keimanan ini bukan untuk dijual-beli.
Pati keimanan ini bukan untuk diwarisi.

Keimanan itu tidak murah kerana harganya tiada tolok bandingan.
Keimanan itu tidaklah terlalu mahal kerana semua manusia berhak memilikinya, bukan hanya layak untuk yang kaya.

Lihat di peringkat awal dahulu,
Islam ini disertai oleh barisan manusia yang memiliki pati keimanan yang cukup pekat.
Dan mereka ini terdiri daripada golongan manusia yang terhina dalam masyarakat satu ketika dahulu.
Memperhambakan diri untuk manusia.

Datangnya Islam,
memperkenalkan satu barang yang cukup berharga buat mereka untuk melarikan diri dari perhambaan diri yang tidak bermakna ini.
Dahulunya mereka dihina, kemudian mereka menjadi mulia.
Dahulunya mereka murah, kemudian mereka menjadi cukup berharga.

Mahalnya mereka kerana kepekatan pati keimanan yang mereka ada.
Mahalnya mereka kerana keyakinan yang cukup kuat terhadap Allah yang Maha Esa.
Mahalnya mereka kerana kalimah mulia itu sudah bertunjang ke dalam akar hati mereka.

Kerana pati keimanan inilah,
mereka gagah dalam menempuh siksaan yang menyiksa zahir dan batin mereka tanpa hentinya.
Kerana pati keimanan inilah,
mereka selesa berada dalam keadaan yang begitu asing di tengah-tengah bandar Mekah mempertahankan kalimah kebenaran itu.

Kini,

Di zaman kita, seolah pati keimanan itu telah semakin menghilang.
Tidak lagi fungsi iman itu adalah untuk menjadi neraca kepada hati.
Iman itu seolah hanya cukup dengan keyakinan, tidak perlu kepada pengzahiran.
Iman itu seolah hanya cukup dengan lafaz kata, ” Ya, aku beriman.”, tidak perlu kepada pembuktian.

Aduh, neraca iman dipermainkan.
Iman seperti hanya satu barang yang murah.
Bisa saja dibuang begitu sahaja.
Ambil bila perlu, buang bila tidak diguna.
Guna bila selesa, campak bila rasa tersiksa.

Pati keimanan umpama celupan.
Celupan pekat yang mewarnai hati.
Segala tindak-tanduk, amal-amal didahului dengan iman.

Sepertimana pekatnya diri kita berada dalam celupan agama, seharusnya pekat juga celupan iman dalam jiwa.
Kerana, menjadi mukmin itu lebih rasa megahnya.
Menjadi mukmin itu, kita menjai lebih terjamin untuk berada dalam syurga-Nya.
Menjadi mukmin itulah yang meninggikan darjat kita yang sebenarnya !

Seruan kepada orang-orang yang beriman tiada hentinya dalam Al-Quran.
Dahulu aku sendiri musykil mengapa wujudnya dua golongan yang sentiasa disebut-sebut dalam kalam-Nya,

” Bukankah hanya serupa mereka yang Muslim dengan mereka yang beriman ? “
Kalam-Nya memberikan jawapan,

” Tidak ! “

Golongan yang jauh sekali berbeda.
Mereka yang beriman semestinya muslim.
Tetapi bukan semua muslim itu beriman.

Ya, kerana pati keimanan itu perlu dipupuk.
Bukan hanya dibiarkan berada satu tahapan yang kita rasakan ianya seakan selamat.
Bukan hanya dibiarkan begitu sahaja meskipun kita rasakan ianya percuma.

Ketahuilah, iman itu adalah nikmat.
Nikmat yang terlampau agung hebatnya.
Bukan semua manusia merasai apa yang kita rasa.
Hanya yang terpilih.
Bukan seperti harta pusaka atau warisan yang boleh dinamakan pemiliknya semudah yang disangka.
Nama pemilik iman ini hanya ditulis oleh Allah, bukan manusia.

Iman  adalah  mutiara
Di  dalam  hari  manusia
Yang  menyakini  Allah
Maha  Esa  Maha  Kuasa

Tanpamu  iman  bagaimanalah
Merasa  diri  hamba  padanya
Tanpamu  iman  bagaimanalah
Menjadi  hamba  Allah  yang  bertaqwa

Iman  tak  dapat  diwarisi
Dari  seorang  ayah  yang  bertaqwa
Ia  tak  dapat  dijual  beli
Ia  tiada  di  tepian  pantai

Walau  apapun  caranya  jua
Engkau  mendaki  gunung  yang  tinggi
Engkau  merentas  lautan  api
Namun  tak  dapat  jua  dimiliki
Jika  tidak  kembali  pada  Allah.

Ungkapan kata yang sudah cukup aku kira untuk melambangkan nilai sebuah keimanan.
Iman adalah mutiara.
Mutiara yang berharga.

Jika dahulu, aku selesa hanya menyanyikan lagu ini seperti biasa.
Kini, aku seolah sudah dapat merasai getaran yang melanda hati seorang hamba.

Betapa penting,
hati kita ini dikuasai oleh iman.
Kerana hati sentiasa berada di antara dua jalan.
Dibolak-balikkan dalam keadaan yang sentiasa diberi pilihan.

Soalnya, terletak pada kita yang memilih.
Memilih dengan iman, atau memilih dengan kebatilan.
Hati tidak perlu dipersalahkan kerana memang itu fitrah sebuah hati.

Salahnya adalah pada kita.

Iman itu ibarat utusan dari Allah.
Yang sepatutnya sampai kepada hati.
Tetapi, alangkah kufurnya kita,
alangkah bodohnya kita,

Jika kita tidak menyampaikan utusan itu tadi pada tempat yang sepatutnya.

Lebih malang, apabila kita membuang begitu sahaja utusan itu tadi,
tanpa menyedari ada kebaikan di sebaliknya.

Imanlah penyelamat kita !
Imanlah penyegar kita !
Imanlah sumber kekuatan kita !

Iman punca kita hidup sehingga ke hari ini,
bukan sekadar hidupnya jasad, tapi hidupnya hati,
bukan sekadar bertambahnya tenaga, tetapi bertambah juga semangat.

Bertambah segalanya atas kebaikan iman berada dalam kehidupan kita.

Susah benar ingin aku menterjemahkan iman.
Mungkin senang melalui amal, tetapi sukar benar ingin menyampaikannya dalam bahasa hati.

Mungkin senang melalui kata-kata seharian, tetapi sukar benar tika mahu memuhasabah diri.

Begitulah.

Tidak dapat aku bangkitkan iman kamu semua,
carilah cara,
carilah masa,
carilah tempatnya,

Masih ada peluang buat kamu semua,
melatih hatimu menjadi rasa cinta,

Masih ada peluang buat kamu semua,
memanfaat sisa-sisa iman yang ada.

Masih ada peluang buat kamu semua,
untuk melazimi hati dengan sentuhan-sentuhan iman.

Sekian,
dariku yang terkadang tandus di hujung tanduk untuk menjaga iman.